
- Adakah ini sebuah motosikal sport-tourer BMW F 850 GT atau XR yang sedang diuji?
- Enjinnya tampak jelas sekali sebuah enjin parallel-Twin, besar kemungkinan ianya enjin 853cc dari F 850 GS.
- Model ini akan mengisi jurang motosikal sport-tourer kelas pertengahan BMW.
Adakah Motorrad sedang menguji sebuah motosikal sport-tourer kelas pertengahan BMW F 850 GT atau XR? BMW Motorrad mengerti bahawa mereka memerlukan sebuah motosikal bagi mengisi kekosongan motosikal sport-tourer kelas pertengahan yang lebih mudah dimiliki dari segi prestasi, berat, dan paling utama sekali, harga.
Berdasarkan gambar-gambar ini, kita dapat mengandaikan yang motosikal baharu ini dilengkapi dengan enjin ‘parallel-Twin’ 853cc baharu yang menjana model F 850 GS dan F 850 GS Adventure. Motosikal prototaip ini mempunyai penggayaan yang kemas seperti mana motosikal sport-tourer, S 1000 XR.
Anda juga boleh lihat adanya bagasi sisi besar (pannier) dan kotak simpanan ‘top box’ yang dipaut pada motosikal ini. Jadi, mungkinkah ini model F 850 GT atau F 850 XR akan datang yang akan menggantikan model F 800 GT semasa?

Gambar intipan juga turut menunjukkan ketinggian pelana yang direndahkan, bersama dengan roda 17 inci dan suspensi kegunaan jalan raya yang lebih pendek. Model F 850 GS pula dilengkapi dengan roda 21 inci di bahagian hadapan dan suspensi yang lebih panjang untuk penunggangan ‘off-road’.
Satu lagi perkara yang telah kami sedari adalah penghadangnya yang lebih tinggi dengan skrin TFT di sebaliknya. Motosikal sport-tourer baharu tersebut sudah pasti akan dilengkapi dengan kawalan cengkaman, ABS menyelekoh, kawalan bersiar, quickshifter, ‘Dynamic ESA’, dan lampu LED keseluruhan, seperti mana spesifikasi F 850 GS premium.
Kami andaikan bahawa BMW akan memberi cabaran kepada model Yamaha MT-09 Tracer GT, tetapi, mampukah pengeluar dari Jerman itu menyaingi harga rendah model keluaran Jepun itu?
Kita tunggu dan lihat sahaja.