Honda Wave 125i Baharu Diperkenalkan! Dari RM5,999

  • Boon Siew Honda (BSH) telah memperkenalkan motosikal Honda Wave 125i serba baharu.
  • Motosikal kapchai 125cc yang versatil dan tahan lasak ini kini dilengkapi dengan reka bentuk yang segar dan moden.
  • BSH telah menetapkan harga bagi motosikal Honda Wave 125i baharu ini bermula dari RM5,999 hingga RM6,299 (harga asas tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

Sebelum bermulanya acara Kuala Lumpur International Motor Show 2018 (KLIMS2018), di mana kami telah dimaklumkan bahawa Boon Siew Honda (BSH) akan melancarkan tiga buah model baharu yang mengujakan, mereka memutuskan untuk memberikan pembuka selera sebelum berlangsungnya acara tersebut dengan pengenalan motosikal Honda Wave 125i serba baharu.

Tawaran terkini dalam rangkaian motosikal kapchai premium mereka ini merupakan pilihan di kalangan rakyat Malaysia yang inginkan sebuah motosikal yang mampu milik dan juga serba boleh. Bagi tahun 2019, motosikal Honda Wave 125i didatangkan dengan pelbagai ciri yang dikemaskini bagi mengikuti peredaran zaman.

Reka bentuk bahagian luaran yang baharu kini menampilkan rupa paras yang lebih garang dengan adanya jalur seluruh badan dan warna panel badan dwi tona. Reka bentuk ini digandingkan dengan ciri-ciri moden seperti lampu hadapan LED yang mempertingkatkan lagi tahap keselamatan keseluruhan motosikal Honda Wave 125i dengan membekalkannya dengan tahap keterlihatan yang lebih tinggi dan juga mempunyai jangka hayat yang lebih panjang.

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Encik Keiichi Yasuda, “Honda Wave 125i merupakan sebuah motosikal yang amat istimewa, terutamanya bagi penunggang yang bijak yang inginkan sebuah motosikal yang bukan sahaja menawarkan tahap reliabiliti yang tertinggi tetapi juga memberikan pemiliknya kebolehan untuk menunggang pada jarak yang jauh. Pasaran bagi model kapchai premium semakin pesat dan para pembeli inginkan sebuah motosikal yang membolehkan mereka untuk melakukan perjalanan ulang-alik harian yang berjarak jauh dengan mudah”.

Dijana oleh enjin empat lejang, sejukan udara, satu silinder, 125cc yang amat tahan lasak dan boleh diharapkan, model Honda Wave 125i serba baharu ini menghasilkan 9.2hp pada 7,500rpm dan 10.2Nm tork maksima pada 5,500rpm. Sistem bahanapi PGM-FI yang dipertingkatkan memberikan pemecutan yang responsif dan pada masa yang sama, mengurangkan penggunaan bahanapi.

Ciri-ciri menarik lain yang ada pada motosikal Honda Wave 125i serba baharu ini adalah:

  • Reka bentuk meter berwarna ‘amber’ baharu yang memberi penekanan kepada penyampaian visual maklumat yang lebih nyata.
  • Ruang simpanan bawah pelana 18 liter.
  • Tangki bahanapi 4 liter (julat perjalanan dianggarkan 300km).

Model Wave 125i serba baharu ini didatangkan dalam dua varian berbeza; satu cakera brek hadapan (RM5,999) dan dwi cakera brek hadapan (RM6,299) dengan tiga pilihan warna yang disediakan, iaitu Pearl Magellanic Black dan Candy Scintillate Red, Pearl Magellanic Black dengan Pearl Nightfall Blue, serta Force Silver Metallic.

Motosikal Wave 125i serba baharu ini didatangkan dengan waranti pengilang selama 2 tahun atau 20,000km (yang mana dahulu) bagi memastikan yang para pelanggan boleh menikmati kemudahan dan perkhidmatan berkualiti tinggi. Bagi mendapatkan sebarang maklumat lanjut mengenai motosikal Honda Wave 125i serba baharu ini, anda boleh kunjungi mana-mana wakil pengedar rasmi Honda, atau layari www.boonsiewhonda.com.my.

Honda CBR650R 2019 Diperkenalkan Di EICMA 2018

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply