- Motosikal Norton Atlas Ranger dan Norton Atlas Nomad telah pun diperkenalkan.
- Kedua-dua model ini adalah motosikal jenis scrambler yang dijana enjin 650cc.
- Model Ranger mempunyai kebolehan ‘off-road’ manakala model Nomad pula untuk kegunaan jalan raya.
Khabar angin yang mengatakan bahawa Norton sedang membangunkan motosikal moden klasik jenis scrambler telah tersebar buat sekian lama. Dan kini, model Norton Atlas Ranger dan Norton Atlas Nomad akhirnya telah pun diperkenalkan.
Model Ranger lebih berkebolehan untuk tunggangan ‘off-road’ dengan roda hadapan 19 inci dan suspensi yang lebih tinggi. Model Nomad pula lebih sesuai untuk kegunaan jalan raya dengan roda hadapan 18 inci.
Kedua-dua buah motosikal ini berkongsi enjin ‘parallel-Twin’, engkolan 270º, 650cc yang sama. Norton mendakwa yang ianya menghasilkan sehingga 84hp dan 63.7Nm tork. Penjana kuasa ini secara amnya enjin ‘V-Four’ Norton sendiri, tanpa dua silinder belakangnya.
Namun begitu, janganlah anda tersalah jangka, kerana Norton Atlas ini bukanlah sama seperti model Triumph Scrambler 1200 2019. ABS-nya standard, seperti mana yang telah ditetapkan oleh Kesatuan Eropah, tetapi, tidak memiliki Cornering ABS. Kawalan cengkaman adalah kawalan asas dengan pilihan ‘road’, ‘off-road’, dan ‘off’. Toloknya adalah dari jenis analog.
Motosikal ini dilengkapi dengan suspensi jenama Roadholder milik Norton sendiri, dan brek Brembo yang disediakan adalah dari jenis yang asas.
Norton mengurangkan berat Atlas ke 178kg bagi membolehkannya lebih mudah untuk ditunggangi.
Syarikat berkenaan berharap dapat menjual sejumlah 2,000 unit model Atlas dalam satu tahun dengan menetapkannya pada harga yang agresif. Norton menetapkan model Nomad pada harga £9,995 dan model Ranger pada harga £11,995 bagi pasaran United Kingdom.