- BMW Motorrad akan kembali ke siri perlumbaan World Superbike Championship (WorldSBK) 2019.
- Pengeluar tersebut akan mempertaruhkan jentera BMW S 1000 RR 2019.
- Tom Sykes dan Markus Reiterberger dinamakan sebagai penunggang pasukan.
BMW Motorrad telah mengumumkan kemunculan semula mereka dalam siri perlumbaan World Superbike Championship (WorldSBK) 2019.
BMW adalah salah sebuah pengeluar yang tidak bertanding dalam WorldSBK buat beberapa ketika. Usaha mereka yang terakhir adalah dengan pasukan GoldBet BMW yang telah dibubarkan selepas 2013. Penunggang mereka pada waktu itu adalah Marco Melandri dan Leon Haslam.
Pasukan yang baharu ini akan mempertaruhkan jentera BMW S 1000 RR 2019 yang baharu dilancarkan. Motosikal tersebut akan dibangunkan dan disediakan oleh kilang BMW di Munich bersama dengan Shaun Muir Racing Team.
BMW Motorrad telah mengumumkan yang Juara WorldSBK 2013, Tom Sykes, dan Juara European Superstock 1000, Markus Reiterberger, sebagai penunggang pasukan mereka.
Kejohanan tahun hadapan sudah pasti semakin sengit dengan penyertaan semula BMW bersama dengan jentera S 1000 RR yang baharu. Motosikal baharu itu telah dibangunkan serba baharu dengan penekanan kepada kuasa yang lebih tinggi dan kepadatan. Di mana jentera pengeluaran standard S 1000 RR 2019 “hanya” mampu menghasilkan sehingga 204hp berbanding dengan model terbaru Ducati, jentera perlumbaan S 1000 RR sudah pasti akan dipertingkatkan bagi memberi saingan kepada pencabar utama.
Ada harapan di kalangan para penggemar perlumbaan yang kejohanan WorldSBK musim 2019 akan menyaksikan berakhirnya dominasi juara dunia semasa empat kali, Jonathan Rea dan Kawasaki dan siri perlumbaan ini.