MV Agusta Brutale 1000 Serie Oro 2019 – Jentera Super Naked Buas 205hp

  • Motosikal MV Agusta Brutale 1000 Serie Oro 2019 ini merupakan model super naked paling berkuasa dengan 205hp.
  • MV Agusta telah berusaha bagi mengurangkan geseran dalam enjin dan mengurangkan beratnya.
  • Hanya 300 unit yang akan dibina.

Adakah rangkaian model Brutale keluaran MV Agusta layak dengan namanya itu? Kini, dengan pengenalan model MV Agusta Brutale 1000 Serie Oro 2019, ianya tidak dapat dinafikan lagi.

Rangkaian motosikal MV Agusta Brutale senantiasa dikenali dengan rupa bentuknya yang mengagumkan, namun, sejujurnya, ianya tidaklah segarang namanya itu sebelum ini. Ini tampak amat jelas sekali apabila ianya dibandingkan dengan pesaing semasanya sama ada Ducati Monster 1200 S, BMW S 1000 R, Aprilia Tuono 1000 dan 1100, Triumph Speed Triple, dan model KTM 1290 Super Duke R yang amat mengagumkan. Namun, ia memiliki nama yang hebat: “Brutale”, yang membawa maksud ganas dalam bahasa Itali.

Kini, sudah tiba masanya bagi MV untuk mengorak langkahnya dan menghasilkan model Brutale paling berkuasa, dan motosikal super naked paling berkuasa setakat ini.

Pertama sekali, motosikal MV Agusta Brutale 1000 Serie Oro (bermaksud Siri Emas dalam bahasa Itali) dilengkapi dengan 205hp. Ini meletakkannya jauh di hadapan model super naked semasa yang lain yang menghasilkan sekitar 160 hingga 180hp.

Tetapi jika jumlah 205hp tidak cukup untuk membuatkan anda teruja, anda boleh mempertingkatkannya menjadi 209hp dengan melengkapkannya dengan sistem ekzos titanium 4-1-4 SC Project.

MV Agusta telah berjaya melakukannya dengan menggunakan segala pengalaman yang telah mereka perolehi dari kejohanan dunia WorldSBK dan WorldSSP. Objektif utama mereka adalah pengurangan geseran.

Motosikal Brutale 1000 meneruskan lagi tradisi empat silinder MV. Enjin 998cc-nya itu berdimensikan gerek 79mm dan lejang 50.9mm, dengan nisbah mampatan 13:65:1, yang mana ianya mirip dengan jentera superbike perlumbaan F4. Injapnya masih diperbuat dari titanium, tetapi, pemandunya kini dihasilkan melalui proses ‘sintering’. Kebuk pembakarannya juga telah direka semula. Pemasaan aci ‘cam’ juga telah dirombak, selain perubahan pada lohong masukan dan ekzos. Ombohnya kini dilengkapi dengan cecincin pemampatan berdaya geseran rendah Asso. Aci engkolnya juga serba baharu.

Apa yang membezakan model Serie Oro ini adalah perinciannya. Rodanya buatan karbon fiber. Selain itu, pelitup radiator sudah pasti akan berjaya menarik perhatian dengan serta merta. Ianya dibentuk seperti winglet aerobody. Ia akan mula menghasilkan daya ‘downforce’ dari kelajuan 200km/j ke atas. Keseluruhan panel badannya adalah buatan karbon fiber.

Perincial kecil yang lain termasuklah pelitup klac karbon fiber dan pelitup roda fonik. Turut dilengkapkan adalah palang pemegang ‘clip-on’, dan bukannya palang yang ditiruskan seperti motosikal naked yang lain.

Penggunaan karbon fiber membantu mengurangkan berat motosikal ini. Model MV Agusta Brutale 1000 Serie Oro ini hanyalah seberat 186kg (bersih). Mengggunakan kit perlumbaan akan mengurangkan lagi berat motosikal ini sebanyak 2kg.

Suspensinya adalah sistem elektronik Öhlins bagi bahagian hadapan dan juga belakang, dilengkapkan dengan fork NIX dan penyerap hentakan belakang TTX36. Angkup Brembo Stylema digunakan bagi bahagian hadapannya.

Satu lagi berita yang mengujakan: MV Agusta telah bertukar kepada skrin TFT 5 inci daripada skrin LCDnya yang dahulu.

Berita yang kurang gembiranya, motosikal MV Agusta Brutale 1000 Serie Oro ini adalah model pengeluaran terhad. Hanya 300 unit sahaja yang akan dihasilkan.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]