- Ducati Hypermotard 950 2019 telah diperkenalkan sewaktu acara Ducati 2019 World Première baru-baru ini.
- Dilengkapi dengan enjin dwi silinder Testastretta 11º, 937cc, model Hypermotard 950 baharu ini menghasilkan 114hp dan 96Nm tork.
- Dua varian berbeza telah diperkenalkan, iaitu model Hypermotard 950 asas dan Hypermotard 950 SP.
Ada banyak yang boleh diperkatakan tentang pelancaran motosikal di Ducati 2019 World Première dan salah satu daripadanya yang benar-benar telah mengujakan kami (selain daripada jentera buas Ducati Panigale V4 R 2019) adalah model Ducati Hypermotard 950 2019. Model supermoto ‘hooligan’ generasi seterusnya ini didatangkan dengan spesifikasi yang menjadikan motosikal ini begitu mengagumkan.
https://youtu.be/Qa3xSKitezk
Kemaskini terbesar bagi motosikal Hypermotard generasi terkini ini dilengkapi dengan enjin dwi-silinder Testastretta 11º, 937cc yang dikatakan mampu menghasilkan sehingga 114hp pada 9,000rp dan 96Nm tork maksimum pada 7,250rpm. Enjin yang dirombak semula ini 1.5kg lebih ringan dan menghasilkan 4hp lebih berbanding pendahulunya.
Melihat pada reka bentuknya, motosikal Ducati Hypermotard 950 2019 ini masih mengekalkan tarikan ‘Motard’-nya yang ikonik, yang telah menjadi satu tarikan malar segar bagi model keluaran Itali ini. Gabungan minimalis, kegarangan, dan prestasinya, ke semuanya membentuk sebuah jentera yang mampu membuatkan mana-mana penunggang tersenyum lebar.
Motosikal Hypermotard 950 baharu ini juga dilengkapi pelbagai spesikasi bagi meningkatkan lagi tahap ergonomik keseluruhan penunggang, antaranya palang pemegang yang lebih lebar, profil sisi yang lebih kurus, dan pelana baharu yang lebih leper bagi memberikan tahap kebolehpanduan yang lebih baik sewaktu menyusuri dari selekoh ke selekoh (serta posisi menunggang yang lebih baik bagi penunggang yang lebih pendek dengan pelana dan profil sisinya yang lebih tirus).
Model Ducati Hypermotard 950 2019 dan juga Hypermotard 950 SP kini dilengkapkan dengan skrin TFT 4.3 inci baharu dan juga pelbagai kemaskini elektronik, diinspirasikan oleh motosikal superbike utama mereka, Ducati Panigale V4. Di antara kemaskini elektronik ini termasuklah:
- Bosch Cornering ABS.
- Kawalan Cengkaman Ducati (DTC) EVO dengan Kawalan Gelongsoran Roda Belakang.
- Mod Penunggangan Boleh Pilih.
- Kawalan Wheelie Ducati (DWC) EVO.
- ‘Inertial Measurement Unit’ 6-paksi (6D IMU).
- Quickshifter dwi-arah (standard pada SP, kelengkapan pilihan tambahan bagi model standard).
Casisnya telah dipertingkatkan lagi dengan pelbagai pilihan kemaskini yang mana antaranya termasuklah kerangka keluli trellis serba baharu yang lebih ringan, fork Marzocchi baharu dengan tiub aluminium dan topang boleh laras sepenuhnya 45mm, dan angkup empat omboh pautan berjejari monobloc Brembo M4.32 dioperasikan dengan silinder utama brek jejari dengan tuil lima posisi boleh laras.
Bagi memastikan yang ke semuanya berjalan dengan lancar dalam sebarang keadaan penunggangan, model Ducati Hypermotard 950 2019 baharu disediakan dengan sepasang rim aluminium berjejari tiga bentuk ‘Y’, yang dilitupi dengan tayar Pirelli Diablo Rosso III generasi terkini.
Inginkan jentera yang lebih agresif? Pilih model Hypermotard 950 SP dan anda akan dapati motosikal anda didatangkan dengan pakej boleh laras sepenuhnya Öhlins, tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP V3, roda tempa Marchesini, palang pemegang aluminium yang tirus, alat ganti karbon fiber, dan juga pelbagai kelengkapan premium.
Secara keseluruhannya, tiada jentera yang lebih baik setakat ini yang boleh digelar sebagai jentera ‘hooligan’ muktamad. KAMI BENAR-BENAR INGINKAN SEBUAH. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, sila layari https://www.ducati.com/ww/en/bikes/hypermotard/hypermotard-950.
Ducati Panigale V4 R 2019 Buat Kemunculan Pertama Di World Ducati Premiére 2019!