Paul Teutel Sr. Dari American Choppers Kini Telah Kembali!

Paul Teutel Sr. – Sumber imej: www.cycledrag.com

Paul Teutel Sr. dari Orange County Choppers akan mula membina kembali motosikal untuk jualan.
Bintang siri televisyen “American Chopper” berkenaan akan bekerjasama dengan Bubba’s Exotic Motorsports.
Rangkaian baharu ini akan diberi nama “Senior”, dan ia terdiri daripada dua buah model.

Paul Teutel Sr., Pemilik Orange County Choppers (OCC) dan bintang siri televisyen realiti “American Choppers” kini kembali dengan usahasama baharu.

Bagaimana pun, untuk kali ini, kita tidak akan menyaksikan kerenah dan aksi Paul Sr. yang membuatkannya cukup terkenal di kalangan peminat, sebaliknya, dia akan membina motosikal chopper untuk jualan.

OCC akan bekerjasama dengan Bubba’s Exotic Motorsports di mana mereka akan melancarkan motosikal ‘pengeluaran’. Rangkaian yang diberi nama “Senior” itu akan dilancarkan di acara Exotics on Las Olas di Fort Lauderdale, Florida pada hari Ahad, 11 November. Paul Sr. sendiri akan hadir sewaktu acara berkenaan bagi melancarkan motosikal choppernya, bertemu dengan peminat, dan juga untuk menandatangani autograf.

Bubba’s Exotic Motorsports pula akan memperagakan beberapa buah kenderaan buatan khas binaan mereka seperti Jeep ‘monster’ yang telah dikhususkan dan sebuah Audi R8 V10 yang telah dibina khusus untuk pemain besbol professional untuk pasukan Miami Marlin, Derek Dietrich.

1Malaysia Chopper hasil binaan OCC

“Rangkaian Senior ini berdasarkan rekaan motosikal asal saya yang telah menjadi titik tolak kerjaya saya, bertahun yang lalu,” ujar Teutel. “Saya berasa amat berbesar hati dapat membawa kembali reka bentuk ini dengan ciri dan teknologi moden.”

Ada dua model yang telah disediakan. yang pertama adalah sebuah motosikal berkerangka tegar tanpa suspensi belakang. Yang satu lagi adalah sebuah motosikal ‘soft tail’ bagi mereka yang lebih sayangkan organ dalaman mereka. Selain daripada itu, kedua-dua buah motosikal ini berkongsi ciri-ciri yang sama seperti bahagian hadapan ‘springer’, pelana berpegas, roda hadapan 21 inci dan roda belakang 16 inci. Cakera brek dilengkapkan pada kedua-dua bahagian hadapan dan belakang.

Rangkaian “Senior” akan dijana oleh sebuah enjin “panhead” ala Harley-Davidson yang moden. Ianya dilengkapi dengan karburetor E Series S&S, pacuan utama tali sawat EDL, dan pacuan akhir rantai. Transmisinya adalah kotak gear lima kelajuan yang dirumahkan dengan rangka empat kelajuan bagi memberikannya rupa paras gaya lama.

OCC akan hanya membina sebanyak 100 buah motosikal ini dalam tahun pertama pengeluarannya. Sebahagian daripada keuntungan jualan di acara Exotics on Las Olas akan disalurkan kepada tabung “Wounded Veterans’ Relief Fund”. OCC juga turut akan memperagakan beberapa buah motosikal daripada koleksi peribadi mereka.