- Motosikal Triumph Scrambler 1200 2019 yang dinanti-nantikan telah pun diperkenalkan secara rasmi kepada warga media.
- Motosikal ini menggabungkan rupa paras klasik motosikal Bonneville dengan kebolehan model Tiger 800.
- Model Scrambler 1200 akan merevolusikan jentera scrambler moden.
Triumph nampaknya telah berjaya memulakan satu revolusi besar dengan pelancaran motosikal Triumph Scrambler 1200 2019.
Ditawarkan dalam dua variasi, model Scrambler 1200 baharu tampak seperti satu penjiwaan sempurna penunggangan kembara dalam reka bentuk klasik Bonneville yang malar segar.
Triumph adalah sebuah pengeluar yang gemar melengkapkan motosikal terkini mereka dengan segala perincian terbaru. Dan itulah yang telah dilakukan bagi model Scrambler 1200 2019. Pengilang yang bertapak di Hinckley ini mensasarkan untuk menjadikan motosikal baharu ini sebagai tanda aras bagi motosikal scrambler. Dan oleh kerana itu, senarai perinciannya cukup panjang. Jadi, di manakah hendak kita mulakan?
APAKAH IA?
Triumph merupakan peneraju bagi perlumbaan ‘off-road’ beberapa dekad yang dahulu. Pelakon ‘A-list’ dan pengejar adrenalin terkemuka, Steve McQueen, telah mengemudi jentera Triumph TR6 Trophy SC di perlumbaan ‘Baja Rally’ yang menjerihkan di New Mexico. Pelagak ngeri untuk McQueen, Bud Ekins (yang melakukan aksi lompatan dalam filem “The Great Escape”) juga turut berlumba menggunakan jentera Triumph dan memenangi perlumbaan rali berkenaan.
Sejujurnya, motosikal Triumph adalah motosikal scrambler yang original (walaupun mereka tidak menuntut hak nama tersebut).
Motosikal Bonneville T-120TT, T120C, dan TR6 “C” dan “SC” telah diringkaskan bagi perlumbaan padang pasir, bercirikan paip ekzos berganda yang dipaut tinggi dan dipendekkan. Dan motosikal dirtbike pada zaman itu, dikenali sebagai “scrambler”, kelihatan mirip seperti motosikal Bonneville masa kini.
Triumph kekal bersahaja ketika pesaingnya menghasilkan “Scrambler” mereka sendiri. Triumph memiliki model Street Scrambler 900cc tetapi mereka sedari bahawa mereka memerlukan sesuatu yang lebih ekstrim. Dan dengan itu, motosikal Street Scrambler 2019-lah “missing link” mereka, bak kata pengeluar itu sendiri.
Dua varian tersebut adalah:
Triumph Scrambler 1200 XC 2019 – dibangunkan sebagai motosikal serba boleh dengan kebolehan ‘off-road’.
Triumph Scrambler 1200 XE 2019 – Sebuah motosikal serba boleh sehebat model XC, tetapi, lebih ditumpukan kepada penunggangan tanah merah yang lebih ekstrim. Huruf “E” adalah singkatan bagi perkataan “Extreme”.
TARIKAN UTAMA
- Instrumentasi TFT generasi ke-2.
Dilengkapkan pada kedua-dua model, dengan dua tema reka bentuk paparan maklumat yang boleh dikhususkan. Sebuah perincian serba baharu membolehkan penunggang untuk mengemaskini pesanan skrin ‘start-up’ dengan nama mereka.
- Enam mod penunggangan (Road, Rain, Sport, Off-Road, boleh dilaras oleh penunggang) termasuklah Off-Road Pro untuk model XE.
Kedua-dua model dilengkapi dengan mod penunggangan Road, Rain, Off-Road, Sport, dan mod penunggangan yang boleh dilaras penunggang yang melaraskan tindak balas pendikit, atur cara ABS dan kawalan cengkaman. Model Scrambler 1200 XE bercirikan mod tambahan “Off-Road Pro”, yang menampilkan atur cara bertumpukan pada penunggangan kembara tahap lanjutan dan ‘scrambling’. Mod “Off-Road Pro” mematikan kawalan cengkaman dan ABS, dan menggunakan pemetaan pendikit “Off-Road”.
- “Optimised Cornering ABS” dan kawalan cengkaman menyelekoh pada model XE.
Ianya yang pertama seadanya buat mana-mana model motosikal scrambler. Eksklusif buat motosikal Scrambler XE ialah “Optimised Cornering ABS” dan “Optimised Cornering Traction Control”. Berdasarkan kepada Continental IMU (Inertial Measurement Unit). Brek hadapan terdiri daripada dwi cakera brek yang diapit oleh angkup Brembo M.50 Monobloc.
- Pencahayaan LED keseluruhan, termasuklah lampu hadapan DRL.
Kedua-dua model Scrambler 1200 dilengkapi dengan pencahayaan LED keseluruhan. Lampu hadapannya juga diterapkan dengan Lampu Nyalaan Siang (DRL – Daylight Running Light) LED untuk tahap keterlihatan maksimum.
- Suis disuluhi cahaya belakang.
Butang-butang suis yang ada pada kedua-dua model Scrambler ini disuluhi cahaya belakang LED yang diletakkan di sebelah dalam kiub suis. Anda tidak akan tergapai-gapai mencari butang sewaktu kegelapan malam.
- Klac bantuan tork.
Direka bagi mengurangkan daya pengoperasian tuil klac untuk penunggang, memberikannya sentuhan yang lebih ringan pada klac dan menjadikannya lebih mudah untuk ditunggang, walaupun untuk jangka masa yang lebih panjang.
- Pemulaan tanpa kunci.
Sistem pemulaan tanpa kunci Triumph adalah standard pada kedua-dua model. Sistem ini mengenal pasti jarak ‘fob’ tanpa kunci dan kemudiannya membolehkan pencucuhan enjin melalui kiub suis yang dipaut pada butang penghidup enjin. Anda juga boleh mematikan fungsi transmisi tanpa wayar kunci ini.
- Kawalan bersiar.
Kawalan bersiar elektronik adalah standard. Ianya adalah sistem satu butang, mirip pada model Triumph Tiger 800 XRx/XRa/XCx/XCa.
- Palam pengecas USB.
Kedua-dua Scrambler baharu ini bercirikan palam pengecas USB 5 volt bagi mengecas sebarang peranti elektronik. Ianya diterapkan dalam kotak simpanan berlapik busa di bawah pelana.
- Motosikal pertama dalam dunia berterapkan sistem kawalan GoPro.
Sistem navigasi ‘turn-by-turn’ pertama Triumph serta Bluetooth dan muzik telefon (ke semua diaktifkan dengan sebuah modul keterpautan aksesori Bluetooth).
Spesifikasi dan kelengkapan
- Spesifikasi dan kelengkapan tercanggih dalam kelasnya.
- Penyerap hentakan belakang Öhlins dengan RSU boleh laras sepenuhnya, ruang gerak panjang yang terbaik dalam kelasnya.
- Fork ruang gerak panjang boleh laras sepenuhnya Showa.
- Angkup hadapan monobloc jejari berganda Brembo M50.
- Lengan ayun aluminium ruang gerak panjang.
- Kerangka Scrambler yang khusus.
- Tempat letak kaki boleh lipat, boleh dilaras pada model XE.
- Roda pemasangan sisi berspesifikasi tinggi.
- Roda hadapan 21 inci terbaik, dengan tayar tanpa tiub berfokuskan kembara.
- Tayar Pirelli Scorpion Rally.
- Ruang gerak suspensi panjang: 200mm bagi model XC dan 250mm bagi model XE, untuk bahagian hadapan dan juga belakang.
Penjana kuasa.
Kita akhirnya telah mengetahui enjin manakah yang akan digunakan pada motosikal ini (dan jangkaan kami meleset sama sekali).
- Ianya enjin ‘parallel-twin’, sejukan cecair, 1,200cc, namun, merupakan variasi High Power (HP) yang telah dilengkapkan pada motosikal café racer Bonneville Thruxton R.
- Bagaimana pun, enjin ini telah ditala secara eksklusif untuk model Scrambler 1200. Ia menghasilkan 88.8hp (90 PS) pada 7,400rpm dan 110Nm tork pada hanya 3,950rpm.
- Ekzos berganda pautan tingginya juga telah ditala bagi menghasilkan nota bunyi baharu tersendiri buat model ini.
Penggayaan
Triumph TIDAK mengikuti rekaan konvensional “scrambler moden”, sebaliknya telah menetapkan satu tanda aras baharu. Ianya dicapai dengan menggabungkan reka bentuk klasik dengan sentuhan, ciri, dan kebolehan moden.
- Reka bentuk tangki bahanapi Scrambler baharu yang lancar, dengan ciri ‘cut-away’ tangki scrambler yang klasik.
- Roda pemasangan sisi yang dijurutera dengan begitu cantik sekali.
- Penutup tangki bahanapi ala-Monza buatan aluminium yang digilap.
- Pengikat tangki bahanapi daripada keluli tahan karat yang digilap.
- Pelana bangku klasik.
- Model Scrambler 1200 XE didatangkan dengan perincian premium tambahan, termasuklah sebagai motosikal pertama yang memiliki lencana segitiga ikonik Triumph pada tangkinya.
- Selain itu, model XE juga bercirikan pelindung tangan dengan pendakap aluminium, tuil Brembo MCS, kemasan palang pemegang berwarna perak dengan apit dan pengangkat berwarna hitam beranod, fork berwarna emas.
- Pilihan warna bagi kedua-dua model ini adalah dalam dua tona. Bagi model XC: Jet Black dan Matte Black, Khaki Green dan Brookland Green. Bagi model XE” Fusion White dan Brookland Green, Cobalt Blue dan Jet Black, (seperti dalam gambar).
Kit Inspirasi dan Aksesori Pengkhususan
Pemilik akan diberikan pelbagai pilihan dalam pengkhususan motosikal ini. Dari palang pemegang hinggalah ke bagasi. Kit Inspirasi meluaskan lagi pengkhususan dengan ‘fly-screen’, peredam ekzos Arrow, madgad hadapan tinggi.
Koleksi Pakaian Triumph Bonneville – Rangkaian Scrambler
Triumph telah membangunkan sebuah rangkaian khusus pakaian Scrambler 1200, dengan pilihan baju-t lengan pendek, gogal bercorak ‘checkerboard’, dan koleksi pakaian menunggang dan kasual untuk lelaki dan juga wanita.
Kesimpulan
Dari satu sudut, anda boleh rumuskan yang model Triumph Scrambler 1200 2019 ini sebagai gabungan motosikal Thruxton R dan Tiger 800. Kebolehan dan perincian yang ada pada motosikal ini bukan calang-calang. Mengetahui kebolehan Triumph dalam menghasilkan motosikal yang serba boleh, sudah tiba masanya bagi mereka menakluki persaingan motosikal scrambler.