Ducati Multistrada 1260 Enduro 2019 Diperkenalkan

  • Ducati telah memperkenalkan model Ducati Multistrada 1260 Enduro 2019.
  • Ia menggunakan enjin yang sama seperti motosikal Multistrada dan XDiavel kegunaan jalan raya, namun, telah dipertingkatkan kuasanya ke 158hp dan 127Nm.
  • Ducati telah merombak semula ciri ergonomiknya bagi membolehkannya lebih mudah untuk ditunggangi oleh penunggang bersaiz sederhana.

Motosikal Ducati Multistrada 1260 Enduro 2019 telah diperkenalkan selepas pengeluar dari Itali itu mengusik kita dengan gambar-gambar motosikal tersebut.

Pelancaran model Multistrada 1260 Enduro ini menyusuli pelancaran model kegunaan jalan raya Multistrada 1260 dan Multistrada 1260 S.

Tarikan utama pada model Enduro baharu ini sudah pasti pada enjinnya yang baharu itu. Enjin V-Twin (Ducati menggelarnya sebagai “L-Twin”) 90º, Testastretta 11º dilengkapi DVT, 1262cc ini adalah platform yang sama seperti dua buah model Multistrada yang lain dan XDiavel.

64cc kapasiti tambahannya melonjakkan keluaran kuasanya ke 158hp dan tork sehingga 127Nm. Model Multistrada Enduro ini sudah pasti dapat memanfaatkannya kerana 85% daripada tork kemuncaknya boleh didapati dari tahap di bawah 3,500rpm, di samping agihan kuasa yang lebih lancar dari enjin yang dilengkapi DVT ini, terutamanya di jalan tanah merah.

Dan melengkapi lagi motosikal Multistrada 1260 Enduro ini adalah pakej elektronik Ducati yang ekstensif, yang menjadikannya seperti sebuah superkomputer dua roda.

Cornering ABS dan kawalan cengkaman berdasarkan IMU, lampu menyelekoh, kawalan ‘wheelie’, bantuan mula daki (hill-start assist), quickshifter dwi-arah, suspensi semi-aktif Sachs, ke semuanya adalah kelengkapan standard pada motosikal Enduro ini. Susun atur paparan pada pemapar TFT juga telah dirombak semula supaya mirip seperti yang ada pada Ducati Panigale V4. Penunggang boleh menggunakan aplikasi “Ducati Link App” untuk melaraskan pelbagai mod penunggangan, bantuan penunggang, selain daripada merakam laluan.

Ducati juga turut merombak semula ciri ergonomik motosikal ini, walaupun ia tampak mirip seperti model yang sebelumnya. Hasilnya, motosikal 1260 Enduro ini mempunyai pusat graviti dan ketinggian pelana yang lebih rendah, menjadikannya lebih mudah untuk ditunggang untuk lebih ramai penunggang.

Tangki bahanapi 30 liter dikekalkan. Begitu juga dengan roda berjejari 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]