Omar Jumiran, pembina dari Eastern Bobber kini sedang bertanding di “AMD World Championship of Custom Bike Building 2018”.
Kejohanan ini sedang berlangsung di pertunjukan motosikal Intermot di Cologne, Jerman.
Omar bersama dengan ciptaannya, “Bone-X” telah memasuki Top 10 sewaktu artikel ini disiarkan.
Omar Jumiran dari Eastern Bobber telah memenangi pertandingan motosikal buatan khas di Motonation 2017, melayakkannya untuk mendapat satu tempat di “AMD World Championship of Custom Bike Building 2018” (AMD). AMD merupakan sebahagian daripada acara pertunjukan motosikal berprestij Intermot di Cologne, Jerman.
Eastern Bobber Memenangi Pertandingan Motosikal Buatan Khas di Motonation 2017!
Hasil ciptaan encik Omar untuk pertandingan Motonation merupakan Bone-X, sebuah motosikal berkerangka buatan khas yang radikal, dibina meliputi enjin satu silinder AJS 1967. Selain daripada enjinnya itu, bahagian-bahagian yang ada pada motosikal ini telah dihasilkan sendiri dan dikimpal tanpa menggunakan mesin CNC atau pengimpal robotik TIG. Namun, aspek paling radikal pada motosikal ini sudah semestinya pada suspensinya, yang mana ianya adalah hab stereng tengah bagi bahagian hadapannya dan dari jenis ‘plunger’ untuk bahagian belakangnya. Pegas dan penyerap hentakannya terletak di bahagian atas tulang belakang kerangka bagi menangani kedua -dua bahagian.
Hasilnya adalah sebuah motosikal yang kelihatan seperti tulang kerangka, dan dengan itu telah dinamakan sebagai “Bone-X”.
Encik Omar telah mengimpikan untuk menyertai pertandingan AMD sejak 30 tahun yang lalu dan kini impiannya itu telah menjadi kenyataan, dan semua ini adalah atas jasa Motonation yang telah menaja penuh penyertaan dan perjalanannya ke Jerman.
Pembina veteran itu mempunyai tujuh bulan untuk membuat persiapan terakhir pada motosikalnya itu, dan membelanjakan sekitar RM80,000 dalam proses tersebut. Bone-X telah dihantar keluar Malaysia pada bulan Julai dan tiba di gudang MalProC (kumpulan syarikat Motonation) di Jerman. Motosikal tersebut telah dihantar untuk pertandingan pada hari Selasa lalu di kalangan penyertaan daripada 45 buah negara.
Dianjurkan oleh AMD Magazine, sistem pemarkahan dalam pertandingan AMD ini unik, di mana ianya dikenali sebagai “Peer Group Review”. Seperti mana yang diandaikan oleh namanya itu, para peserta sendiri, bersama dengan beberapa orang VIP industri buatan khas yang dipilih secara teliti dan juga peserta sebelum ini, akan menilai penyertaan setiap peserta yang lain, dan dengan itu, memastikan penghakiman yang terbuka, jujur, dan adil.
Tujuan AMD adalah untuk menganugerahkan rekaan motosikal dan kualiti kejuruteraan, dengan keutamaan diberikan pada originaliti dan hasil pertukangan. Ke semua pembina perlu menyertakan sebuah “Run Test Video” bagi melayakkan diri untuk pertandingan ini.
Bone-X telah menyertai kategori “Freestyle” yang mana ianya tidak perlu mengikut peraturan kategori yang lain seperti “Custom Harley”.
Omar dan Bone-X telah menduduki ‘Top 10’ sewaktu artikel ini disiarkan. Dia telah pun membanggakan negara kita Malaysia, tidak kiralah di mana kedudukannya nanti, namun, marilah kita doakan semoga encik Omar mendapat keputusan yang terbaik.