Auto Bavaria BMW Motorrad telah menganjurkan sebuah konvoi buat para pemilik R nineT ke acara Distinguished Gentleman’s Ride 2018 di Melaka.
Tiga puluh orang penunggang telah mengambil bahagian dalam tunggangan ini.
Terdapat pelbagai aktiviti menyeronokkan telah diadakan selain daripada tunggangan tersebut buat para peserta.
Kebanyakan daripada kita para peminat dan penunggang motosikal sudah pasti sedia maklum dengan acara tahunan “Distinguished Gentleman’s Ride”. Konvoi motosikal ini telah diadakan di seluruh dunia pada satu hari yang sama bagi membawa kesedaran dan meraih dana untuk kajian dalam bidang kesihatan lelaki. Atas sebab inilah para penunggang tidak kira lelaki mahu pun wanita telah tampil segak bergaya untuk menunggang motosikal mereka bersama-sama.
Acara ini telah berkembang menjadi satu keraian besar-besaran sehinggakan ianya menjadi satu pesta yang wajib dalam kalendar setiap penunggang motosikal. Di Malaysia, DGR telah diadakan di sembilan buah bandar iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuantan, Miri, dan Sibu.
Walaupun mesej yang cuba disampaikan oleh DGR ini berkenaan dengan isu kesihatan yang serius, ini tidak bermakna mereka tidak boleh bergembira. Malah, Auto Bavaria BMW Motorrad telah mengambil bahagian dalam acara ini buat tahun kedua berturut-turut di Melaka.
Konvoi kali ini dianjurkan secara khas untuk para pemilik BMW R nineT, oleh kerana rangkaian motosikal R nineT ini merupakan rangkaian ‘warisan’ BMW. “Para pemilik BMW R nineT, adalah individu yang amat unik, jadi, kami ingin mencipta satu pengalaman yang sukar dilupakan buat mereka, di mana mereka menikmati keseronokan dan pada masa yang sama, menyumbang kepada DGR,” ujar Encik Faisal Mustafa, Pengurus Motorrad di Auto Bavaria.
“Rangkaian R nineT ini berkisarkan pada warisan, gaya hidup, dan emosi permotosikal, jadi, DGR ini cukup sesuai dengan para pemiliknya.”
Kami telah berkumpul di bilik pameran Auto Bavaria (AB) di Glenmarie, Shah Alam pada pagi Sabtu, 29 September 2018.
Sarapan ringan telah disediakan. Kru AB memasukkan bagasi kami ke dalam van sokongan ketika para peserta bersembang antara mereka sewaktu menikmati “Nasi Lemak AB”, yang mana telah menjadi buah mulut di kalangan pelanggan AB.
Taklimat konvoi telah diadakan sejurus itu. Motosikal R nineT yang ada pada pagi itu terdiri daripada ke semua varian, kecuali varian Racer. Model-model ini telah direka untuk dikhususkan oleh pemilik, jadi tiada satu pun motosikal yang hadir pada pagi itu 100% sama antara satu sama lain. (Termasuklah yang ditunggangi penulis, yang mana merupakan motosikal R nineT Scrambler yang mempunyai tangki bahanapi yang diliputi dengan tandatangan.)
Kami mulai perjalanan dengan menaiki lebuh raya dan menuju ke selatan. Kru AB juga turut menyertai konvoi di atas motosikal mereka sendiri bagi memberi bantuan untuk konvoi ini serta DGR.
Ia tampak jelas sekali yang kru AB telah berusaha keras dalam merancang penunggangan ini sewaktu kami memasuki lebuh raya Seremban – Port Dickson. Laluannya cukup lancar sekali walaupun ianya adalah hujung minggu. Ketua konvoi turut memberi isyarat membenarkan kami menunggang secara bebas, jika itu yang diingini.
Kami menuju ke arah barat, ke arah Ayer Kuning dan Linggi sewaktu kami menghampiri Port Dickson untuk menunggang di pesisir pantai. Kami berhenti di sebuah rumah kedai dua tingkat lama, lengkap dengan papan tanda klasik “Singer” untuk mengambil beberapa buah gambar, sebelum meneruskan perjalanan melewati tempat-tempat terkenal seperti Masjid Tanah.
Laluan ini mempunyai campuran baik jalan yang lurus dan selekoh, dilitupi dengan asfalt yang rata. Pemandangan kampung di kiri dan kanan jalan cukup menarik sekali dan udara segar yang masih dapat dinikmati walaupun matahari telah pun tegak di atas kepala.
Para peserta telah mempamerkan disiplin mereka sepanjang perjalanan. Tiada sebarang aksi menunjuk-nunjuk, penunggangan merbahaya, memperlahankan lalulintas, dan sebagainya.
Kami kemudiannya tiba di sebuah kedai makan kecil yang diberi nama Anjung Santai di Pantai Puteri, di mana kami berhenti untuk makan tengah hari. Dan seperti mana kedai makan tradisional dalam negara kita, ianya dibina dalam kompaun sebuah rumah dan diuruskan oleh sebuah keluarga. Jika anda teringin untuk menikmati asam pedas Melaka, lupakan sahaja restoran yang besar dan sibuk di tengah-tengah bandar kerana asam pedas di Anjung Santai ini jauh lebih sedap.
Kami makan dengan agak banyak dan risau yang kami akan berasa mengantuk sepanjang baki perjalanan. Kami kemudiannya berasa senang hati mengetahui bahawa kedai makan tersebut hanyalah 1.8km jauh dari Shah’s Beach Resort.
Kami mendaftar masuk dan telah diberikan masa bebas yang banyak sebelum berkumpul semula untuk permainan dan acara sukaneka.
AB telah menganjurkan satu pertandingan penunggang paling perlahan, yang mana penunggang paling perlahan menang. Sebuah motosikal G 310 R telah dibekalkan sebagai motosikal pertandingan.Pemenangnya merekodkan masa 30 saat bagi meliputi jarak 50 meter. Keseronokan timbul apabila para sahabat handai mengacah teman mereka yang sedang menunggang.
“Kami mahukan para penunggang untuk berseronok sesama mereka”, ujar Hasrul dari AB. “Cara terbaik adalah untuk menganjurkan permainan dan acara sukaneka. Konvoi sudah pasti membosankan jika kita hanya menunggang ke destinasi dan hanya memberikan masa santai yang banyak dan tiada aktiviti yang menyeronokkan. Dengan cara ini, semangat setiakawan dapat dipupuk.”
Kami kemudiannya menikmati makan malam. AB memilih resort ini kerana ianya agak jauh dari pusat bandar Melaka dan dengan itu agak tenang dan senyap, dan ianya satu pilihan yang hebat. Namun begitu, menunggang memasuki bandar pada malam Sabtu sudah pasti akan menjadi satu cabaran. Tetapi, kegusaran ini terhapus kerana AB telah meminta bantuan polis trafik dan marsyal untuk mengiringi kami sehingga restoran Nyonya Kitchen di Jonker Walk.
Kami menikmati makan malam tradisional Baba dan Nyonya. Hadiah telah diberikan kepada pemenang pertandingan selepas makan malam. Kami telah diberikan masa bebas untuk berjalan-jalan di sekitar Jonker Walk atau melakukan sebarang aktiviti yng diingini.
Ada sesetengah yang keluar menunggang mengelilingi bandar untuk menangkap gambar, ada yang keluar membeli belah, sebahagiannya telah menuju ke Hard Rock Melaka, manakala selainnya telah kembali ke hotel untuk berehat.
Kami berhimpun semula awal keesokan harinya (Ahad, 30 September) untuk tunggangan DGR. Para penunggang, tidak kira lelaki dan wanita pastinya amat teruja untuk menyertai DGR kerana mereka telah pun siap sedia pada jam 8 pagi.
Kami menunggang menuju ke Strait Werks Café di tengah-tengah bandar Melaka, bertentangan dengan Masjid Kampung Hulu, yang mana merupakan masjid tertua di Malaysia, untuk permulaan DGR Melaka 2018.
Dan seperti mana dengan setiap DGR sebelum ini, ia menarik perhatian pelbagai jenis motosikal dan kami telah menyaksikan kehadiran motosikal klasik, buatan khas, motosikal lumba, naked, retro, dan bermacam-macam lagi, ke semuanya berkumpul di satu tempat. Konvoi ini dilepaskan oleh TYT Melaka.
Para pemilik BMW R nineT, tidak kiralah sama ada mereka datang dengan AB atau tidak, menjaga satu sama lain dan mulai menunggang dalam satu kumpulan besar motosikal Boxer Jerman. Deruan gerombolan motosikal Boxer ini telah menyerupai bunyi skuadron pesawat pejuang enjin piston.
Mengadakan DGR di Melaka telah mendatangkan cabarannya yang tersendiri, yang utamanya adalah lalulintas hujung minggu di mana orang luar (seperti kami) telah datang membanjiri bandaraya bersejarah ini. Jalan raya di sekitar tapak-tapak bersejarah sudah pasti akan sesak, begitu juga jalan yang memasuki bandar.
Oleh itu, DGR 2018 di Melaka ini berbeza, di mana kami melakukan pusingan tanpa henti, tidak seperti tahun sebelumnya dan tahun ini di bandar-bandar yang lain.
Kami menunggang dari Straits Werks Café, melintasi Stadthuys, Hard Rock Café dan pintu masuk Jonker Walk, ke Klebang dan kembali. Selesai dalam masa satu jam. Namun begitu, masih ada pemandu kereta yang menyondol masuk dalam tengah-tengah konvoi sewaktu polis pengiring tidak kelihatan.
Cuaca terlalu panas dan pada ketika kami kembali, para peserta turut pun merasai bahangnya itu. Kami menuju kembali dengan pantas ke hotel untuk menyegarkan diri sebelum mendaftar keluar dari resort.
AB kemudiannya mengadakan upacara penyampaian hadiah kepada pemilik dengan motosikal R nineT tercantik dan peserta lelaki dan wanita berpakaian terbaik.
Kami kemudiannya menunggang kembali mengikut jalan yang kami datang dan berhenti Alor Gajah untuk makan tengah hari di kedai cucur udang yang terkenal berhampiran bulatan utama pekan. Sedap sekali!
Peserta konvoi kemudiannya berpisah dari situ kerana ada sebahagian daripada mereka ingin menuju ke destinasi berlainan, termasuklah ke DGR di Kuala Lumpur.
Kesimpulannya, ianya salah satu penunggangan terbaik yang pernah saya sertai. Pujian perlu diberikan kepada kru Auto Bavaria Motorrad yang telah bekerja keras bagi memastikan konvoi ini berjalan dengan lancar. Ianya dikatakan bahawa satu penunggangan yang berjaya hanya melambangkan 10% usaha manakala baki 90% adalah pada tugas menganjurkannya.
“Menganjurkan konvoi di Melaka sentiasa mencabar. Kesesakan (lalulintas), mencari tempat parkir, memastikan konvoi kekal bersama, namun saya berasa amat berpuas hati dengan tunggangan kali ini kerana para penunggang bersuka ria; dan itulah objektif utama kami. Konvoi ini telah dirancang sejak dua bulan yang lalu, terutamanya dalam pemilihan laluan, permarsyalan, dan keselamatan. Saya berasa amat bersyukur kerana memiliki pasukan yang hebat dan banyak membantu,” ujar encik Faisal dalam ucapan penutupnya.
Tunggangan ini juga telah dijayakan oleh para pemilik R nineT sendiri di mana mereka adalah sekelompok yang cukup meriangkan dan suka bergembira. Mereka menunggang bersama, dan bersuka ria bersama sebagai satu unit. Perwatakan mereka terserlah dari motosikal pilihan mereka.