Tag RFID – masa depan plaza tol Malaysia?

Makin hari, makin banyak cerita yang kami dengari tentang situasi plaza tol di dalam negara. Dari jumlah kutipan, pemansuhan hingga sistem baharu tag RFID, Malaysia nampaknya bergerak ke arah masa hadapan dan semakin banyak penambahbaikan telah dilancarkan dari segi teknologi untuk kesenangan rakyat bersama.

Antara inovasi terkini yang masih dalam fasa percubaan atau ‘pilot test’ adalah teknologi RFID. RFID atau ‘Radio Frequency Identification’ adalah cara pembayaraan baharu yang sedang dilaksanakan oleh Touch n Go Sdn Bhd. Mereka telah menganjurkan satu sesi bersama pihak media untuk mempamer sistem bayaran terkini mereka yang bukan pengganti kad Touch ‘n Go atau SmartTAG tetapi sebagai ‘pelengkap’.

Apakah itu RFID atau tag RFID? Ia merupakan sistem bayaran tol yang menggunakan sejenis pelekat yang dapat dikesan melalui sistem frekuensi radio. Servis terkini ini bukan jenis tanpa halangan (barrier-less) dan ia berfungsi seperti sistem SmartTAG yang digunakan oleh ramai pengguna jalan raya. Cuma perbezaan paling ketara adalah ia tidak menggunakan mana-mana alat peranti seperti SmartTAG!

Inovasi terkini dari Touch ‘n Go membenarkan pengguna menyemak segala maklumat dari baki akaun hingga sejarah perjalanan melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet yang boleh dimuat turun kepada telefon anda melalui Google Play Store atau Apple App Store (Bayaran tol akan ditolak melalui akaun yang telah didaftar dalam aplikasi dan bukan mana-mana kad Touch ‘n Go).

Soalan seterusnya yang mungkin bermain di dalam minda anda adalah “Apakah kelebihan RFID dan kenapa tidak guna sahaja kad Touch ‘n Go dan SmartTAG?” Terdapat beberapa kelebihan yang boleh dilihat melalui sistem tag RFID iaitu:

  • Tiada caj tambahan nilai melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet
  • Mudah untuk semakan baki (untuk akaun RFID dan juga kad-kad Touch ‘n Go berdaftar)
  • Tidak menggunakan mana-mana alat yang memerlukan bateri
  • Akses segera kepada pernyataan elektronik dan sejarah perjalanan
  • Selamat dan mudah dari segi pemantauan transaksi

Kami diberi peluang untuk mencuba sistem tag RFID ini dimana ia telah dipasangkan oleh pihak Touch ‘n Go di pusat pemasangan mereka. Kami telah diberitahu bahawa terdapat dua jenis pelekat yang mereka sedang cuba iaitu jenis yang boleh dilekat di dalam bahagian cermin hadapan (bawah cermin pandang belakang) dan pelekat luaran yang diletak di bahagian lampu hadapan.

Dalam fasa percubaan ini, mereka memberi peluang kepada pihak awam untuk mencuba sistem RFID ini dan kami telah diberi pelekat jenis luaran. Pihak Touch ‘n Go juga telah menerangkan bahawa lokasi pelekat ini adalah paling optimum untuk pengesan di plaza tol untuk mengesan kenderaan.

Kami juga diberitahu bahawa kereta yang telah dipasangkan dengan cermin gelap atau ‘tinted’ tidak boleh menggunakan sistem RFID kerana ia akan mengganggu keberkesanan pelekat tersebut. Setelah disoalsiasat dengan lebih lanjut, pihak Touch ‘n Go menjelaskan bahawa ia boleh digunakan pada cermin gelap yang telah diiktirafkan oleh pihak JPJ sahaja.

Kami juga mengemukakan kerisauan tentang keselamatan kerana pelekat tersebut berada di bahagian luar kereta. Jika berlaku apa-apa kemalangan atau vandalisme, baki dalam akaun Touch ‘n Go eWallet anda kekal selamat kerana pelekat tidak lagi berfungsi jika diganggu atau dialih.

Mengikut pengalaman kami sendiri, sistem RFID ini sangat senang untuk diguna kerana anda tidak perlu mana-mana alat peranti seperti SmartTAG. Pelekat yang telah diletakkan pada kereta bermakna kereta tersebut boleh melalui mana-mana plaza tol yang menawar khidmat RFID tanpa kehadiran pemegang akaun di dalam kenderaan.

Kami juga dapati bahawa terdapat plaza tol yang boleh mengesan sistem RFID dengan cepat dan juga terdapat kes di mana kami perlu berhenti betul-betul sebelum palang halangan sebelum pelekat RFID dapat dikesan. Ini kerana pihak Touch ‘n Go masih dalam fasa percubaan dan konfigurasi serta sistem integrasi masih di dalam fasa penambahbaikan.

Anda juga tidak perlu risau jika telefon anda kehabisan bateri atau tidak mempunyai data pada waktu anda lalui plaza tol yang mempunyai RFID kerana sistem akan mengesan pelekat RFID dan bukan telefon pengguna. Ketidakhadiran bunyi sperti SmartTAG atau keterangan baki akaun di papan tanda juga sesuatu yang baharu tapi aneh dan perlu dibiasakan bagi para pengguna baru sistem RFID ini.

Buat masa terkini, hanya terdapat 16 lebuh raya yang menggunakan sistem RFID dan lebih 100,000 pengguna di dalam negara. Bagi mereka yang berminat untuk menggunakan sistem RFID terkini ini, terdapat lima pusat pemasangan di serata Lembah Kelang. Untuk  maklumat lanjut, layari www.rfid.touchngo.com.my/.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]