Hari Litar Aprilia Malaysia Kali Pertama

  • Pemilik Aprilia di Malaysia telah menikmati satu hari yang cukup menyeronokkan di Litar Antarabangsa Sepang semalam.
  • Didi Resources, pengedar rasmi baharu jenama tersebut, telah menganjurkan satu hari litar, seperti mana yang telah dijanjikan.
  • Pelbagai model motosikal Aprilia telah turun ke litar.

Seperti mana yang telah dijanjikan oleh Didi Resources, pengedar rasmi baharu motosikal Aprilia di Malaysia, Hari Litar Aprilia Malaysia Kali Pertama (di bawah pengurusan baharu) berjalan dengan lancar semalam di Litar Antarabangsa Sepang.

Didi Resources Anjurkan Hari Litar Aprilia Dan Modclass Yang Pertama

Selain daripada tunggangan dan konvoi, penganjuran hari litar buat para pemilik Aprilia adalah satu aktiviti yang amat sesuai sekali bagi mempamerkan falsafah “Be a Racer” pengeluar berkenaan.

Ianya satu pemandangan yang cukup mengujakan, menyaksikan para pemilik hadir dari seluruh pelusuk Malaysia dan juga Singapura di atas jentera Aprilia yang pelbagai, kerana kita hanya biasa melihat model superbike RSV4 sewaktu Malaysian Superbike Championship (MSBK), Malaysian Speed Foundation (MSF), dan juga hari litar sewaktu hujung minggu.

Sebaliknya, hari litar yang dianjurkan oleh Didi Resources ini memberikan peluang pada pemilik untuk menunggang motosikal milik mereka sendiri di atas litar.

Kami dapat lihat model-model yang lain seperti Shiver 750, Tuono V4, SL1000R, RSV Mille (pendahulu model RSV4), RS250 dua lejang, dan sebuah skuter SR-Max tunggangan encik Khairul Hafiz.

Seperti kelazimannya, para penunggang telah diberikan taklimat keselamatan selepas selesainya pendaftaran. Aprilia Malaysia juga turut menyediakan sewaan sut perlumbaan dan kelengkapan menunggang bagi mereka yang tidak memilikinya.

Hujan telah membasahi litar pada awal pagi tersebut dan penunggang hari litar terbuka telah kembali semula ke garaj dengan laporan yang litar licin selepas sesi pertama mereka. Bagaimana pun, para penunggang Aprilia bernasib baik kerana sesi mereka bermula pada awal tengah hari dan berlanjutan sehingga lewat petang. Matahari telah mula memancar pada waktu itu dan mengeringkan litar.

Tampak jelas sekali yang para peserta berasa amat seronok pada hari itu, walaupun kepenatan setelah menunggang di bawah terik mentari. Didi Resources turut menyediakan sajian ringan serta makan tengah hari supaya para peserta boleh menumpukan perhatian mereka menikmati keseronokan hari litar tersebut.


Akhir sekali, walaupun jumlah peserta yang turun ke litar tidak seramai yang dijangkakan, walau dengan jumlah pemilik Aprilia yang hadir hari itu, kami percaya pasti akan ada ramai lagi yang akan muncul pada hari litar yang berikutnya. Kami juga ingin nyatakan bahawa acara berkenaan berjalan dengan lancar, tanpa sebarang kemalangan.

GALERI GAMBAR

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply