Max Biaggi Dilantik Sebagai Duta Global Aprilia

Sumber imej: autoevolution
  • Max Biaggi telah memenangi lima daripada enam kejuaraan dunianya dengan Aprilia.
  • Juga dikenali dengan gelaran “The Roman Emperor”, dia merupakan salah seorang penunggang yang telah menjulang jenama tersebut, ke tahap yang lebih tinggi berbanding dengan mana-mana penunggang yang lain.
  • Dan oleh kerana itu, jenama dari Itali tersebut telah melantiknya sebagai Duta Global mereka.

Juara Dunia enam kali, Max Biaggi telah dilantik sebagai Duta Global Aprilia.

Terkenal dengan nama gelaran “The Roman Emperor”, dia mempunyai pengalaman yang luas bekerjasama dengan jenama dari Itali itu, bermula dari permulaan kerjayanya dalam GP 250cc pada tahun 1991 dan telah memenangi lima daripada enam kejuaraan GP 250cc dan World Superbike bersama Aprilia. Malah, di atas usahanya itulah yang telah menjadikan nama Aprilia terkenal di kalangan peminat, jauh sebelum kemunculan Valentino Rossi.

Dia merupakan salah seorang penunggang yang membantu dalam pembangunan jentera Aprilia RSV250, menjadikannya jentera yang hebat dan menggondoli kejohanan tahun 1994 dengan lima kemenangan.

Max Biaggi pada tahun 1991 – Sumber imej: www.daidegasforum.com

Dia telah kekal bersama dengan pasukan Chesterfield Aprilia dan memenangi kejuaraan dunia untuk dua tahun yang berikutnya, dengan memenangi 8 perlumbaan pada tahun 1995 dan 9 perlumbaan pada tahun 1996, sebelum berpindah ke pasukan yang lain pada tahun 1997.

Max Biaggi pada tahun 1995 – Sumber imej: motogeo.com

Biaggi berpindah ke kelas 500cc pada tahun 1998 dan berlumba dalam kategori premier tersebut di atas jentera Honda dan Yamaha sehinggalah persaraannya pada tahun 2005.

Tahun 2007 menyaksikan kemunculannya bersama pasukan World Superbike (WSBK) Alstare Suzuki, mengemudi jentera Suzuki GSX-R1000. Dia menduduki tempat ketiga keseluruhan pada penghujung tahun itu.

Biaggi kemudiannya telah berpindah menyertai pasukan Sterilgarda Go Eleven dan menunggang jentera Ducati 1098 RS pada tahun yang berikutnya. Menamatkan musim di tempat ketujuh, telah berlaku pertelingkahan yang cukup terkenal antara kedua belah pihak itu.

Biaggi dan Aprilia telah bersatu kembali pada tahun 2009. Biaggi kini telah mempunyai senjata yang baharu, jentera Aprilia RSV4. Tahun tersebut merupakan tahun untuk mempelajari kebolehan jentera tersebut dan Biaggi telah mengemudinya ke tempat keempat keseluruhan pada penghujung musim.

Pada tahun 2010, pasukan pengilang Aprilia telah bertukar nama kepada Aprilia Alitalia dan Biaggi berjaya merangkul kejuaraan dunianya yang kelima dengan mendominasi siri perlumbaan tersebut dengan sejumlah 10 kemenangan.

Max Biaggi di atas jentera Aprilia Alitalia RSV4 – Sumber imej: asphaltandrubber.com

2011 adalah satu tahun yang malang buat Biaggi di mana dia terpaksa berehat setelah mengalami kecederaan patah kaki, namun begitu, masih tetap berjaya menduduki tempat ketiga keseluruhan. Biaggi tampil gah pada tahun 2012 dan berjaya mengungguli kejohanan WSBK dalam satu musim yang teramat kompetitif, berada hanya 1/2 mata di hadapan Tom Sykes.

Adakah kita bakal menyaksikan kemunculan “The Roman Emperor di Aprilia Malaysia dalam masa terdekat ini, memandangkan jumlah peminatnya yang ramai di sini? Barang kali sewaktu pusingan MotoGP di Sepang nanti?

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply