700km Dengan Sebuah Proton Tanpa Isian Semula? Boleh Rupanya!

  • Pusingan akhir bagi “Proton 1-Tank Adventure 2018” telah berakhir pada hujung minggu lalu.

  • 31 buah kereta Proton telah menamatkan perjalanan sejauh 700km dari Kulai, Johor, menuju ke Seberang Perai, Pulau Pinang.

  • Cabarannya adalah untuk memandu sejauh jarak tersebut dengan hanya satu tangki penuh bahanapi dan ke semua kereta berjaya menamatkan perjalanan tersebut.

Pada bulan lepas kami telah dijemput untuk bertanding dalam pusingan ketiga cabaran “Proton 1-Tank Adventure 2018” di Kota Kinabalu, Sabah. Matlamatnya adalah untuk merentasi laluan yang dirancang di samping memandu dengan cara yang paling berjimat cermat dan kami (saya bersama dengan seorang pemandu bersama, Adrian Chia dari Autobuzz.my) telah mengungguli kategori media bagi kelas Proton Saga.

Oleh kerana kami adalah pemenang bagi pusingan ketiga di Sabah, kami telah layak menyertai pusingan akhir cabaran penjimatan bahanapi yang telah dianjurkan oleh Proton ini. Pusingan akhirnya telah diadakan pada minggu lalu dan kami telah berdepan dengan satu cabaran yang cukup hebat sekali; Liputi jarak 700km dari Johor ke Pulau Pinang tanpa berhenti untuk isian semula!

Untuk kali ini, kami telah bertanding dalam kategori media Proton Persona, di mana cabaran ini bermula di Proton Edar di Kulai, Johor, dan berakhir di Juru Autocity di Seberang Perai, Pulau Pinang. Ianya merupakan perjalanan dua hari di mana sebanyak 31 buah kereta telah bertanding dalam dua buah kategori utama yang berlainan: Awam dan Media.

Sensasi Youtube, Faiz Dickie

Dengan jumlah penggunaan bahanapi pada tahap 6.1 liter/100km yang telah dikira oleh Proton, kami berasa agak ragu-ragu dapat menyempurnakan cabaran ini dengan jayanya memandangkan kebanyakan warga media permotoran cukup biasa menggunakan pedal minyak dengan sewenangnya. bagi kami, cabarannya ternyata adalah untuk mengekalkan kelajuan pada tahap yang ‘sejimat’ yang kami mampu.

Perjalanan ke Pulau Pinang itu diselitkan dengan beberapa hentian di mana kami perlu mendaftar diri di tempat pemeriksaan yang telah ditetapkan bagi memastikan yang semua peserta bertanding dengan adil. Kebanyakan daripada perjalanan itu melalui lebuh raya dengan sebahagian daripadanya melalui jalan negeri dan juga musuh ketat penjimatan bahanapi, kesesakan trafik.

Sebahagian besar seksyen lebuh raya mempunyai had laju 110km/j, itu kita sudah sedia maklum. Proton Persona yang kami pandu tidak mempunyai sebarang masalah mencapai kelajuan tersebut tetapi matlamatnya adalah untuk membuktikan yang kereta Proton amat jimat dalam penggunaan bahanapinya. Berdasarkan pengetahuan mengenai laluan yang akan kami lalui dan juga pengetahuan kami mengenai cabaran ini, kami memutuskan yang kelajuan yang paling selamat dan terbaik untuk digunakan adalah antara 70 hingga 90km/j bagi menyempurnakan cabaran memandu tersebut.

Proton mengatakan yang cabaran ini boleh disempurnakan dengan memandu seperti biasa (dengan dipasang penghawa dingin, memandu pada kelajuan biasa, dan lain-lain lagi). Kami agak ragu-ragu pada awalnya, namun, memutuskan untuk mencubanya kerana kami tahu yang jarak 700km boleh dicapai dengan mudah jika kami memandu dengan amat perlahan tanpa memasang penghawa dingin.

Hari pertama diselesaikan dengan mudah dari Kulai, Johor ke Shah Alam, Selangor. Kami adalah antara kereta pertama yang tiba di ke semua tempat pemeriksaan kerana kebanyakan mereka memutuskan untuk mengambil serius cabaran ini memandangkan hadiah utama wang tunainya yang lumayan. Pasti hebat sekali sekiranya dapat memenangi hadiah tersebut, namun, kami ada sesuatu yang berbeza untuk dibuktikan; bahawa kereta Proton mampu merentasi jarak ini di bawah keadaan pemanduan yang normal.

Pada hari Ahad, kami menuju ke Pulau Pinang di mana hentian terakhirnya adalah sebuah stesen minyak Petronas yang terletak di Juru Autocity, Seberang Perai. Ianya satu perjalanan yang panjang di atas Lebuh Raya Utara Selatan, tetapi, kami telah berjaya menyempurnakan perjalanan sejauh 700km ini dengan sedikit minyak petrol dalam tangki (ada kira-kira 70km lagi yang ia boleh pergi).

Kami mengekalkan halaju pada sekitar 80 hingga 90km/j berdasarkan keadaan trafik dan jumlah kenderaan yang ada di atas jalan raya bagi memastikan keselamatan semua pengguna pada tahap maksimum. Kereta saya telah diisi dengan lebih kurang 35.7 liter minyak petrol Ron 95, di mana satu tangki penuh adalah 40 liter. Ke semua 31 buah kereta telah tiba di stesen isian semula terakhir di mana ketiga-tiga model Proton (Persona, Iriz, dan Saga) tiba tanpa perlu berhenti untuk isian semula sewaktu perjalanannya itu.

Penganjur telah memaklumkan bahawa jumlah terbaik telah dicapai oleh Proton Iriz pada 3.5 liter / 100km, diikuti dengan Proton Saga pada 3.72 liter / 100km, dan Proton Persona pada 3.92 liter / 100km. Secara teorinya, kadar ini mampu merentasi jarak sekitar 1,000km tanpa perlu berhenti untuk isian semula!

Kami bagaimana pun, telah mencapai tahap sekitar 4.8 liter / 100km pada kelajuan yang sedikit lebih rendah berbanding had kelajuan lebuh raya, dan kami juga sampai di hentian terakhir tanpa sebarang masalah. Walaupun kami tidak memenangi cabaran ini, kami telah berjaya mmbuktikan yang anda tidak perlu merana dengan memandu pada kelajuan yang amat perlahan atau tanpa penghawa dingin bagi merentasi jarak sehingga 700km dengan satu tangki sahaja.

Secara keseluruhannya, “Proton 1-Tank Adventure 2018” adalah satu pengalaman yang telah membuka mata kami. Dan yang lebih penting lagi, kami dengan yakinnya dapat mengatakan yang kereta Proton sememangnya jimat untuk dipandu, walaupun ketika ia dipandu dalam keadaan pemanduan yang biasa, selain daripada kebolehpanduan, pengendalian, dan agihan kuasa mereka yang cukup menakjubkan.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Proton dan rangkaian kereta mereka yang jimat penggunaan bahanapi, sila layari laman sesawang rasmi mereka.

Kereta Proton Akan Berkadar 0% GST Dengan SERTA MERTA!

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]