Sejauh Mana Anda Boleh Pergi Dengan Satu Tangki Penuh Proton?

Advertisements

  • Ramai yang ingin tahu sejauh mana anda boleh pergi dengan satu tangki petrol penuh bagi model-model Proton yang baharu.

  • Proton sedang menganjurkan Proton 1-Tank Adventure 2018 dimana pemilik-pemilik Proton Iriz, Persona dan Saga menyahut cabaran.

  • Kami telah mengambil bahagian di dalam pusingan ke-tiga dimana kami telah harungi sejauh 420km dari Kota Kinabalu ke Kundasang dan balik.

Apabila kita memilih sebuah kereta yang ingin dimiliki, terdapat pelbagai faktor yang memainkan peranan dalam pemilihannya. Dari prestasi, reka bentuk, spesifikasi dan yang lain-lain lagi, ada satu faktor penting yang akan menjadi penentu bagi kebanyakan pengguna; kecekapan bahanapi. Menyedari betapa pentingnya aspek ini, Proton telah menganjurkan satu acara istimewa bagi memperagakan kepada dunia betapa cekap bahanapinya model keluaran mereka dalam pemanduan dunia sebenar.

Dinamakan “Proton 1-Tank Adventure 2018”, satu siri pemanduan dua hari bagi menguji tahap ekonmi bahanapi telah dianjurkan. Terdapat lima pusingan yang sedang dijalankan dan kami cukup bertuah telah dijemput untuk menyertai pusingan ketiga yang baru berakhir di Sabah, baru-baru ini. Bermula dari Kota Kinabalu menuju ke Kundasang dan kembali, cabaran ini meliputi jarak sejauh 420km dengan keadaan jalan raya yang pelbagai.

Dari jalan raya satu laluan mendaki gunung yang bersimpang-siur sehingga 2,000 meter dari aras laut, perjalanan dua hari kami pada 24 dan 25 Julai yang lalu telah dilalui dengan pelbagai senario pemanduan yang mencabar, antaranya adalah jalan yang tidak berturap, dakian bukit yang curam, kawasan bahaya tanah runtuh, dan kesesakan trafik yang tidak diramal. Matlamat kami adalah untuk merentasi jarak ini dengan hanya satu tangki bahanapi.

16 pasukan telah mengambil bahagian dalam pusingan ketiga “Proton 1-Tank Adventure 2018” ini dan saya telah membentuk satu pasukan bersama Adrian Chia dari Autobuzz dan kami telah mengharungi satu perjalanan yang sukar untuk dilupakan sepanjang hayat kami. Sebagai sebahagian daripada warga media permotoran negara, kami tidak mempunyai sebarang masalah memandu dengan laju, namun, pemanduan secara ekonomikal ternyata satu cabaran yang cukup hebat sekali. Kami berasa yakin yang kami mampu melakukannya dan kami melakukan sebaik mungkin bagi melihat sendiri betapa hebatnya Proton Saga ini dari segi kecekapan bahanapi.

Tiga buah model Proton yang berbeza telah digunakan dalam cabaran “Proton 1-Tank Adventure 2018” ini, iaitu Saga, Iriz, dan Persona. Kami memulakan perjalanan dari bilik pameran Proton di Inanam, dan telah melalui lima ‘checkpoint’ yang ada pada laluan sejauh 260km tersebut.

Kami telah mengisi penuh tangki kami di sebuah stesen minyak Petronas berdekatan sebelum penutup tangki bahanapi ditutup oleh penganjur acara sebelum bergerak ke beberapa destinasi tarikan pelancong seperti Menara Jam Tuaran, sub-stesyen Serinsim Taman Kinabalu, ladang Sabah Tea, dan akhir sekali, Nabalu Kundasang Lodge yang terletak pada 1,800 meter dari aras laut.

Saya dan Adrian bergilir memandu secermat mungkin kereta Proton Saga 1.3 CVT, dan ianya agak mudah dilakukan dengan bantuan Eco Drive Assist yang tersergam pada panel meternya. Kami sedia maklum akan penggunaan bahanapi purata bagi model Saga ini adalah di antara 5.6 liter hingga 6.17 liter bagi setiap 100km, namun, oleh kerana ini adalah satu cabaran, kami cuba untuk mencapai jumlah yang sebaik mungkin.

Sebaik sahaja tiba di hotel kami di Kundasang, kami dapati yang Proton Saga kami hanya menggunakan kira-kira separuh dari bahanapi yang ada berdasarkan tolok bahanapi. Dengan kapasiti tangki bahanapi sebanyak 40 liter, kami telah membuat congakan dan dapati yang kami berjaya mencecah tahap 7.69 liter/100km, yang mana merupakan satu jumlah yang berpatutan, berdasarkan jalan yang bersimpang-siur dan mendaki bukit yang telah kami lalui untuk sampai ke Kundasang.

Malamnya telah diisi dengan aktiviti makan malam dan satu bual bicara yang amat menarik mengenai spesifikasi keselamatan terkini Proton yang telah diterapkan pada model terbaru mereka, yang mana adalah gabungan ‘Anti-lock Braking System’ (ABS), ‘Traction Control’ (TC), dan ‘Vehicle Stability Control’ (VHC). Kami berpeluang menguji ke semua ciri ini pada Hari 2 sewaktu perjalanan pulang ke Kota Kinabalu.

Hari yang berikutnya, kami memulakan perjalanan dengan bahanapi yang masih ada dalam tangki, dan diarah mengikuti laluan penuh dengan beberapa buah ‘checkpoint’ (dan juga halangan seperti lori, trafik sesak, tanah runtuh, jalan tidak berturap, dan juga lembu!) menyusuri Pantai Kuala Abai yang cukup indah dan Stadium Likas. Di sini kami telah mengambil bahagian dalam “Dynamic Driving Activity” bagi menguji tahap pengendalian Proton Persona dan Iriz, dalam satu siri ujian melibatkan slalom, pembrekan kecemasan, pembrekan mengelak, dan pertukaran laluan.

Diterapkan dengan DNA Lotus, kami mengalami sendiri kehebatan pengendalian model-model Proton ini dalam keadaan pemanduan yang mencabar. Di sinilah di mana kami dapat memahami dengan lebih mendalam ciri keselamatan dan pengendalian dinamik yang ada pada kenderaan dengan harga yang berpatutan ini, yang mana, ianya cukup hebat sekali.

Hentian terakhir kami adalah di stesen minyak Petronas yang terletak di Inanam, tempat di mana kami mengisi bahanapi pada Hari 1, bagi menentukan banyak mana bahanapi yang telah kami semua gunakan dalam dua hari tersebut. Ke semua 16 buah kereta telah merentasi jarak sejauh 420km, mendaki jalan curam, tidak berturap, dan pelbagai halangan lain di sekitar Kota Kinabalu dan kembali dengan tangki masih berisi bahanapi.

Di bilik pameran Proton pula, para pemenang telah diumumkan dan hadiah bernilai RM24,000 telah diberikan kepada pemandu paling berjimat bagi Pusingan 3 bagi acara “Proton 1-Tank Adventure 2018” ini. Para pemenangnya telah mencapai jumlah yang amat mengagumkan, yang mana boleh dilihat di bawah ini:

Keputusan penggunaan bahanapi terbaik:

  • Proton Saga 1.3 CVT – 5.46 liter/100km (22.947 liter/420km)
  • Proton Iriz 1.3 CVT – 5.76 liter/100km (24.197 liter/420km)
  • Proton Persona 1.6 CVT 5.83 liter/100km (24.48/420km)

Dengan jumlah yang menakjubkan ini, bagi setiap tangki penuh, Proton Saga boleh merentasi jarak sejauh 736km, 694km bagi Iriz, dan 686 untuk Persona! Bukan itu sahaja, kami telah meliputi laluan yang mencabar mendaki dan menuruni bukit di sekitar Kundasang dan Kota Kinabalu.

Sebagai pemenang, kami telah dijemput untuk menyertai pusingan akhir “Proton 1-Tank Adventure” pada bulan Ogos, di mana para finalis akan melakukan perjalanan satu tangki penuh dari Johor Bahru, Johor, menuju ke Seberang Prai, Pulau Pinang! Dapatkah kami merentasi jarak ini dengan satu tangki? Teruskan bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan selanjutnya!

Kereta Proton Akan Berkadar 0% GST Dengan SERTA MERTA!

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.