Sepuluh Peralatan Asas Yang Mesti Dimiliki Penunggang Motosikal

  • Peralatan asas penting buat setiap motosikal.
  • Walaupun motosikal masa kini amat boleh diharap, ada baiknya kita bersedia untuk sebarang kecemasan.
  • Kita perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Pemandangan motosikal yang dibaiki di tepi jalan raya semakin jarang dilihat lewat ini kerana motosikal zaman sekarang semakin boleh diharap. Bagaimana pun, ianya tidak bermakna motosikal tidak akan rosak langsung, lebih-lbih lagi jika berlakunya kemalangan, seperti mana yang telah dialami salah seorang editor kami sewaktu acara GIVI Rimba Raid Mat Daling baru-baru ini.

Masa inilah untuk mengeluarkan kit peralatan.

Dan tiada gunanya sekiranya kotak peralatan anda tidak lengkap dengan peralatan yang diperlukan oleh motosikal anda (bergantung pada pengeluar).

Di sini kami senaraikan Sepuluh Peralatan Yang Mesti Ada. Anda boleh pilih sama ada untuk menyimpannya di bawah pelana atau dalam kotak peralatan, cuma pastikan anda bersedia untuk menggunakannya.

1. Multi-tool

Sebuah multi-tool adalah peralatan yang paling penting sekali kerana ianya menggabungkan pelbagai peralatan dalam satu pakej padat. Ianya selalu didatangkan dengan sebuah pisau, sepasang playar, serta sepasang pemutar skru dengan mata berlainan. Dapatkan satu set dari jenama yang dipercayai seperti Victorinox (pengeluar Swiss Army Knife), Gerber, atau Leatherman.

Multi-tool hanya dilengkapi dengan peralatan asas. Oleh itu, ianya tidak dilengkapi dengan perengkuh.

2. Pemutar Skru

Pemutar skru yang ada pada multi-tool selalunya terlalu pendek, dan dengan itu kurang daya kilas bagi memutarkan skru yang amat ketat, selain tidak dapat mencapai tempat yang sukar dicapai. Anda disyorkan untuk mendapatkan sepasang pemutar skru 15cm (6 inci) bermata rata dan juga Phillip dan simpan di bawah pelana. Selain itu, dapatkan yang mempunyai mata magnetik untuk membantu anda dalam mendapatkan semula barangan keluli yang mungkin terjatuh di tempat sukar dicapai.

3. Playar

Anda mungkin telah memiliki multi-tool, namun ianya masih disyorkan untuk mendapatkan sepasang playar untuk disimpan di bawah pelana, sebagai keselamatan. Kami sarankan anda dapatkan playar muncung panjang kerana in mudah untuk mencapai tempat yang sukar dicapai.Dapatkan sepasang yang mempunyai pemotong yang kuat dan tajam.

4. Kunci Allen/Heksagonal

Kebanyakan motosikal menggunakan gabungan skru biasa dan allen atau heksagonal (skru bunga). Benar, anda boleh dapatkan seluruh set dalam pemegang gaya ‘flip-out’, tetapi kami sarankan anda dapatkan jenis berpemegang panjang untuk mendapatkan daya kilas yang mencukupi. Selain itu, dapatkan yang dari jenis ball-ends kerana ianya lebih mudah masuk dalam ruang skru pada sudut yang runcing. Anda boleh bawa keseluruhan set atau pun bawa sahaja yang sama saiz dengan skru motosikal anda.

5. Perengkuh boleh laras (spanar)

Jujurnya, kami kurang gemar dengan perengkuh boleh laras kerana jarang sekali ia muat dengan tepat pada nat dan selak, menyebabkan kehausan kepala nat dan selak. Namun, ia satu-satunya peralatan yang boleh anda gunakan apabila anda tidak mempunyai perengkuh yang mencukupi. Jenis yang berkunci disyorkan kerana ianya membebaskan tangan anda untuk tugas-tugas lain.

6. Perengkuh (spanar)

Alat yang cukup penting sekali. Anda tidak perlu mendapatkan keseluruhan set, cukup dengan spanar yang sesuai dengan saiz yang ada pada motosikal anda. Dan dapatkan peralatan yang berkualiti tinggi. Jika tidak, nat dan selak anda pasti akan mengalami kerosakan jika menggunakan spanar berkualiti rendah.

7. Kit membaiki kebocoran

Setiap pengguna jalan raya, termasuklah penunggang motosikal, perlu tahu cara untuk membaiki tayar yang bocor, dan sentiasa ada satu set kit membaiki kebocoran. Ya, anda boleh dapatkan bantuan tetapi, bayangkan sekiranya anda mengalami kebocoran tayar nun jauh di pedalaman tanpa sebarang isyarat telefon. Pada waktu malam. Kami telah menjumpai kit membaiki tayar jenama Oxford ini di Hodaka Motoworld.

8. Lampu suluh.

Anda boleh kata yang sebarang telefon mudah alih mempunyai fungsi lampu suluh. Benar sekali. Namun anda perlu menggunakan tangan untuk memegangnya atau meletakkan pada tempat yang boleh menyuluh tempat yang anda ingin lihat dan pada masa yang sama, stabil. Lampu suluh yang boleh dipakai pada kepala adalah pilihan terbaik. Kami telah menemui sebuah lampu LED kalis cuaca, terang, padat dan tahan lama dari Energizer.

9. Pengikat kabel

Mana-mana kotak peralatan pasti tidak akan lengkap tanpa pengikat kabel. Anda boleh membaiki apa sahaja dengannya, tidak kiralah nombor plet tercabut, panel badan longgar, dan lain-lain lagi.

10. Pita perekat ‘Duct Tape’

Satu lagi peralatan yang wajib ada. ‘Duct tape’ cukup sesuai sekali untuk menampal sebarang kebocoran, contohnya pada paip, atau menampal lubang kecil.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.