- Dengan semakin banyak kereta dilengkapkan dengan sistem nyah-pertembungan, Ducati juga turut membangunkan teknologi tersebut.
- Dibangunkan bersama dengan Audi, sistem ini menggunakan jaringan 5G.
- Sistem ini akan memberi amaran kepada penunggang mengenai sebarang bahaya, dan pada masa akan datang, mungkin akan dapat mengerjakan brek secara automatik.
Setiap penunggang motosikal pasti sudah sedia maklum yang pertembungan dengan sebarang kenderaan boleh mengancam nyawa, dan kita senantiasa mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkannya. Ducati bertekad untuk mengurangkan jumlah pertembungan ini dengan sebuah teknologi baharu yang dibangunkan bersama dengan Audi.
Bergelar “Cellular Vehicle-to-Everything” (C-V2X), teknologi ini membentuk gambaran kenderaan di sekeliling bagi memberikan kesedaran persekitaran. Ia menggunakan jaringan mudah alih 5G yang sedang dibangunkan.
Ducati dan Audi telah membuat satu demonstrasi pengelakan pertembungan terkawal baru-baru ini menggunakan sebuah motosikal Multistrada dan dua buah kereta. Kenderaan-kenderaan tersebut ‘berkomunikasi’ sesama mereka bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. Terdapat dua jenis bantuan, bergelar “Intersection Collision Warning” (Amaran Pertembungan Persimpangan), dan “Across Traffic Turn Collision Risk Warning” (Amaran Risiko Membelok Merentas Trafik).
Ciri utama C-V2X
- “Ducati Advanced Radar Assistance System” memerhati jalan raya dan mengawasi beberapa buah kenderaan pada masa yang sama.
- Ia mengesan kenderaan yang memperlahankan kelajuan dan memberi amaran kepada penunggang akan sebarang halangan. Ia juga mungkin akan dapat mengurangkan kelajuan atau mengerjakan brek secara automatik pada masa yang akan datang.
- Sistem radar belakang mengesan sebarang halangan di titik buta penunggang dan menyorotkannya pada cermin pandang belakangnya.
- Ducati dan Audi berkata yang ke semua kenderaan akan ‘berkomunikasi’ sesama mereka pada masa hadapan bagi mengelakkan pertembungan secara kendiri.
- Teknologi ini juga sedang dibangunkan bagi mengesan sebarang halangan di atas mahu pun di bahu jalan raya seperti lampu trafik, papan tanda jalan raya, dan juga had laju.
Sistem ini memberikan amaran buat penunggang dan pemandu tentang sebarang halangan atau pun bahaya pada masa ini, namun, pembangunan selanjutnya bakal menyaksikan ciri autonomi kenderaan diperkenalkan pada motosikal. Kereta gerak kendiri sudah mula memasuki pasaran, seperti mana yang telah kami laporkan sebelum ini (tekan pautan di bawah untuk mendapatkan maklumat selanjutnya).
Sistem yang ada dalam kereta secara automatik akan mengerjakan brek bagi mengelak pertembungan, walaupun sebelum pemandu menyedari akan bahayanya. Sistem ini bukan hanya untuk kereta mewah; Perodua Myvi baharu telah dilengkapi dengan versi terdahulu sistem ini.
Dan mana ada penunggang yang memandang serong akan teknologi ini, perlu diingatkan reaksi yang sama telah ditunjukkan sewaktu pengenalan ABS dalam pasaran. Kini, ia bagaikan komponen yang wajib bagi setiap motosikal pilihan ramai.