MotoGP: Dani Pedrosa Bersara

  • Dani Pedrosa dengan secara rasminya telah mengumumkan persaraannya dari perlumbaan sewaktu sidang akhbar pra-perlumbaan MotoGP semalam.
  • Penunggang Repsol Honda itu telah menyatakan bahawa walaupun dia telah menerima pelbagai tawaran yang hebat bagi meneruskan kerjaya perlumbaannya, dia perlu menumpukan pada keutamaan yang lain dalam hidupnya.
  • Dani Pedrosa merupakan salah seorang penunggang yang paling berjaya, dengan kerjaya selama 18 tahun yang memberansangkan.

Selepas berbulan-bulan spekulasi, penunggang bagi pasukan Repsol Honda, Dani Pedrosa, akhirnya telah mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan masa depannya dalam MotoGP. Di penghujung musim 2018, Dani Pedrosa akan bersara dari dunia perlumbaan motosikal, satu berita yang menyedihkan buat para peminat sukan ini.

Menurut Pedrosa, “Tahun hadapan saya tidak akan bertanding dalam Kejohanan, saya akan menamatkan kerjaya saya dalam MotoGP pada musim ini. Ianya satu keputusan yang telah saya fikir panjang dan ianya keputusan yang sukar kerana ianya sukan yang saya cintai namun walaupun saya mempunyai banyak tawaran hebat untuk terus berlumba, saya rasa yang saya tidak berlumba dengan kesungguhan yang sama seperti sebelum ini dan saya kini ada keutamaan yang berbeza dalam hidup saya.”

“Saya ingin meluahkan betapa bertuahnya rasa kerana memperolehi pengalaman dan peluang sebegini dalam hidup saya, ianya satu pengalaman yang cukup menakjubkan dapat berlumba bagi sebuah pasukan yang cukup terkemuka di hadapan para peminat. Saya telah mencapai jauh lebih banyak daripada apa yang saya jangkakan dan saya berasa teramat, amat bangga dengan pencapaian saya dalam sukan ini. Saya telah mengecapi impian saya menjadi seorang pelumba dan ianya sesuatu yang tidak saya jangka sewaktu saya masih kecil, menonton TV, melihat para penunggang di Kejohanan Dunia,” tambah Pedrosa.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dorna dan Honda kerana memberikan peluang ini kepada saya pada tahun 1999 yang lalu, dan kepada semua penaja saya yang telah bersama sepanjang kerjaya saya. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya, dan juga ke semua peminat yang menyokong saya sepanjang kerjaya saya tidak kira susah dan senang, yang telah membantu saya dengan mengutuskan pesanan bagi mengatasi kesukaran pada masa yang lalu.”

Selama 18 tahun Dani Pedrosa bersaing dalam perlumbaan Grand Prix motosikal, penuh dengan suka dan duka, serta cabaran dan kejayaan. Dianggap sebagai salah seorang penunggang paling berjaya sepanjang zaman, penunggang berusia 32 itu telah mengecapi rekod yang menakjubkan sepanjang kerjaya, termasuklah:

  • Tiga kejohanan dunia (125cc pada tahun 2003, dan 250cc pada tahun 2004 dan 2005).
  • 153 podium (112 dalam kelas premier) – Ketiga terbanyak sepanjang zaman.
  • 285 perlumbaan Grand Prix – Ketiga terbanyak selepas Rossi (373) dan Loris Capirossi (328).
  • 54 kemenangan perlumbaan – sama banyak seperti Legenda MotoGP, Mick Doohan.
  • 49 Petak Pertama – Keenam terbanyak sepanjang zaman.
  • 4,086 mata yang dikutip setakat ini – Kedua di belakang Valentino Rossi yang kini dengan 5,974 kutipan mata.

Sebagai tanda penghargaan, hormat, dan sokongan kepada Dani Pedrosa, MotoGP telah mencipta tanda pagar #ThankYouDani dan dari kami, para peminat dan penunggang professional yang lain, tiada kata yang lebih sesuai untuk mengungkapkannya. Terima kasih Dani, di atas segala keseronokan yang telah diberikan. Kami akan sentiasa menjadi peminat tegar anda.

https://youtu.be/AqPQBSlmQpA

Sumber imej: MotoGP

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]