Marc Marquez Menangi Perlumbaan MotoGP Motul TT Assen 2018 Yang Cukup Mengujakan!

  • Perlumbaan MotoGP Motul TT Assen 2018 semalam yang telah dimenangi oleh Marc Marquez dianggap ramai sebagai antara perlumbaan MotoGP terbaik setakat ini.
  • Hampir 10 orang penunggang telah bersaing sengit dalam kelompok utama dan begitu banyak aksi pintas memintas dan drama yang telah berlaku.
  • Marc Marquez melintasi garisan penamat di tempat pertama, diikuti oleh Alex Rins (Team Suzuki Ecstar), dan Maverick Viñales (Movistar Yamaha MotoGP).

Bagi kita yang cukup bernasib baik dapat menyaksikan pusingan Motul TT Assen MotoGP pada malam semalam pasti bersetuju dengan satu fakta; pertarungan antara para penunggangnya cukup menakjubkan! Hampir sepuluh orang penunggang telah bersaing dengan sengit dalam kelompok utama bagi mendapat tempat di atas podium, yang mana ianya berakhir dengan penunggang pasukan Repsol Honda, Marc Marquez, memenangi perlumbaan yang teramat hebat ini.

Kita semua sudah pasti tidak menjangkakan pertarungan lapan penjuru ala Moto3 di antara para penunggang pengilang terpantas beserta beberapa buah penunggang pasukan satelit, dan, seperti mana yang telah dinyatakan oleh Marquez, ” Semua orang bertarung dengan semua orang!” Sukar untuk mengikuti segala aksi yang berlaku, dengan segala tempikan yang terdengar sewaktu Valentino Rossi ‘melancarkan’ jentera Yamaha M1-nya menyondol jentera Ducati Desmosedici yang ditunggangi Jorge Lorenzo, ke cubaan memintas Marquez yang membawa kepada sebuah perlumbaan ‘drag’ tiga penjuru antara Honda, Yamaha, dan Ducati.

Bukan itu sahaja ya, tuan-tuan dan puan-puan. Cubaan demi cubaan telah berlaku sepanjang perlumbaan, bertali arus tanpa henti, dan ramai yang mengandaikan yang Jorge Lorenzo bakal merangkul kemenangan buat kali ketiga berturut-turut dengan jentera Ducatinya. Dan ianya hampir-hampir menjadi kenyataan sewaktu dia mendahului 18 pusingan yang pertama sebelum dia mulai dipintas oleh para penunggang yang lain.

Tidak terkira banyaknya aksi-aksi yang telah berlaku, dan salah satu daripadanya, yang cukup mengujakan adalah sewaktu penunggang pasukan Suzuki Ecstar, Alex Rins, memintas Marquez di separuh kedua perlumbaan. Walaupun tidak berlaku sebarang pertembungan, Marquez hampir kehilangan kawalan jentera Honda RC213V-nya, dan ini telah menyebabkan Marquez kehilangan beberapa tempat.

Ke semua penunggang telah mempamerkan aksi terbaik mereka pada perlumbaan ini dan akhirnya, podium telah diisi oleh Marc Marquez yang menduduki tangga teratas, diikuti oleh Alex Rins dan juga Maverick Viñales. Podium semua penunggang Sepanyol itu menggembirakan ke semua yang berada di atasnya; Marquez menjarakkan lagi diri di hadapan dalam kejohanan 2018, Rins dengan keputusan terbaiknya setakat ini di atas jentera Suzuki GSX-RR, dan kemunculan kembali Viñales di atas podium setelah kemarau panjang.

Andrea Dovizioso (Ducati Team) berjaya menangkis serangan Valentino Rossi dari merampas tempat ke-empat miliknya dengan mengakali Rossi sewaktu cubaan memintas kegemarannya di tiga selekoh yang terakhir. Cal Crutchlow (LCR Honda) melintasi garisan penamat di P6, diikuti oleh Jorge Lorenzo, Johann Zarco (Monster Yamaha Tech 3), Alvaro Bautista (Angel Nieto Team), dan Jack Miller (Alma Pramac Racing).

Penunggang negara, Hafizh Syahrin bagai menghadapi kesukaran sedikit di litar Assen ini di mana dia hanya berjaya melintasi garisan penamat di P18. Terdapat pelbagai faktor yang memberi kesan pada prestasinya, namun, dia masih lagi berpeluang memenangi ‘2018 MotoGP Rookie of the Year” dengan perbezaan 2 mata sahaja dengan penunggang pasukan Marc VDS, Franco Morbidelli.

Kejohanan MotoGP 2018 sedang didahului dengan selesa oleh Marc Marquez, dengan kutipan mata sebanyak 150 mata, diikuti oleh Rossi dengan 99 mata, dan Maverick Viñales dengan 93 mata. Para penunggang akan bertarung sekali lagi dalam masa dua minggu di Pramac Motorrad Grand Prix Deutschland di litar Sachsenring, Jerman, dari 13 hingga 15 Julai 2018.

Sumber imej: MotoGP

MotoGP: Dani Pedrosa Akan Menyertai Pasukan Petronas Yamaha?

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]