- Boon Siew Honda telah melancarkan model CB1000R dan CB250R sebagai sebahagian daripada rangkaian Neo Sports Café mereka.
- Kedua-dua motosikal baharu ini menyertai model X-ADV dan Africa Twin sebagai sebahagian daripada tawaran ‘Big Bike’ Boon Siew Honda.
- CB1000R datang dengan harga dari RM74,999 dan untuk CB250R, dari RM22,999 (harga asas dengan 0% GST).
Pengedar motosikal Honda di Malaysia, Boon Siew Honda, telah melancarkan dua buah motosikal baharu dalam rangkaian Neo Sports Café mereka – CB1000R dan CB250R.
Acara pelancaran model-model berkenaan juga dimanfaatkan oleh BSH sebagai sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama dengan warga media di Malaysia. Ianya satu tradisi BSH yang telah diadakan saban tahun, dan bagi memeriahkannya lagi, warga media turut diberi peluang untuk menunggang model-model CB1000R, CB250R, X-ADV, dan CRF1000L Africa Twin di Litar Antarabangsa Sepang.
Dalam ucapannya, Encik Keiichi Yasuda, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda telah mendedahkan bahawa syarikat berkenaan telah menerima respons yang cukup hebat sekali bagi model Africa Twin dan X-ADV – yang mana telah menjadi pemangkin untuk memperkenalkan motosikal-motosikal Neo Sports Café terbaru.
Taklimat keselamatan daripada jurulatih penunggangan BSH dan juga kerani SIC telah diadakan selepas ucapan Encik Yasuda, dan kami kemudiannya diiring ke paddock untuk pengenalan dan taklimat ringkas produk.
Taklimatnya bertumpukan kepada model Africa Twin dan X-ADV, yang mana kedua-duanya datang dengan teknologi ‘Dual-Clutch Transmission’ (DCT) Honda. Teknologi DCT pada kedua-dua motosikal ini mampu beraksi dalam mod SPORT yang automatik sepenuhnya dan lebih garang, atau manual dengan menekan sebuah butang di sebelah kiri palang pemegang.
X-ADV
Model pertama yang penulis tunggang uji adalah X-ADV. Penulis pernah menunggangnya di Pattaya, Thailand, dan mendapati yang ianya cukup hebat dalam kesesakan lalulintas kota. Penulis biarkan transmisinya di “D” (untuk “DRIVE”, yang bermakna ianya automatik penuh, seperti sebuah kereta), membolehkan penulis untuk menumpukan perhatian pada pemanduan arah menyusuri trafik yang sesak dan pelancong yang ramai.
Betul, ia kelihatan seperti sebuah skuter dengan kebolehan ‘off-road’, namun sejujunya, model X-ADV ini adalah motosikal dengan konsep yang berbeza. Ianya sebuah motosikal yang boleh meneroka pelbagai muka bumi dan ia dapat melakukannya dengan cukup mudah sekali. Slogan pemasarannya sahaja sudah cukup untuk menggambarkan intipatinya; “A motorcycle that thinks it’s an SUV.”
Oleh kerana kami dibenarkan untuk membuat tiga pusingan sahaja untuk setiap motosikal di litar SIC ini, saya telah memutuskan untuk membiarkannya di “D” sahaja.
Keluar sahaja dari pit dan memasuki Selekoh 1, motosikal X-ADV terasa agak ganjil sedikit pada mulanya. Rupa-rupanya, saya cuba untuk ‘trail brake’ sewaktu memasuki selekoh.
Ia tidak mengambil masa yang lama untuk saya memahami motosikal ini dan saya telah mula memecut masuk Selekoh 5 dengan pendikitnya kekal digenggam. Namun begitu, sebaik sahaja saya melepaskan sedikit pendikit untuk bersedia memasuki Selekoh 6, gearnya turun dengan lancar sekali, hampir tidak terasa langsung, dan saya memiliki jumlah kuasa yang sesuai untuk keluar dari selekoh tersebut.
Motosikal terasa amat lancar sewaktu saya memecut laju di ‘front straight’ (padanlah dengan 750cc-nya itu). Breknya terasa amat kuat sewaktu saya membrek di Selekoh 1. Semudah itu sahaja. X-ADV ini mencecah tongkat tengahnya melalui Selekoh 2, namun, secara keseluruhannya, ianya mempunyai kebolehan menyelekoh yang besar.
Dan ianya BUKAN sebuah skuter.
CRF1000L AFRICA TWIN
Seperti motosikal X-ADV, saya juga pernah menunggang motosikal Africa Twin sebelum ini, tetapi, model tersebut mempunyai kotak gear yang ‘normal’. Benda pertama yang saya sedari adalah model ini mempunyai ketinggian pelana yang rendah, yang mana telah mengejutkan saya.
Kemudian, saya telah melakukan satu kesilapan ‘orang baru’: saya cuba untuk menggenggam ‘tuil klac’ namun ianya terlalu jauh dari capaian jari saya. Kumpulan kami sedang meninggalkan kawasan pit, jadi saya lambaikan tangan cuba mendapatkan perhatian. Seorang kakitangan Honda mendekati saya dan cuba menahan ketawa sambil menerangkan kepada saya, “Ini brek parkir untuk memanjat bukit.” Oooooookaaayyy.
Sekarang, untuk kesilapan ‘orang baru’ nombor dua. Saya mula tercari-cari akan pedal gearnya. Kakitangan Honda yang sama ternampak saya yang terkial-kial dan memberitahu saya untuk menukar gear, hannya gunakan butang yang ada pada gugusan suis sebelah kiri. Saya cuba menekannya dengan sarung tangan saya yang keras, dan tanpa sengaja tertekan hon. Jadi, saya biarkan sahaja di gear “D”.
Motosikal Africa Twin mungkin mempunyai kapasiti yang lebih besar berbanding X-ADV, namun, ia bermula dengan lebih lancar. Suspensinya telah diredam dengan lebih lembut dan saya dapat merasainya sebaik sahaja saya membrek untuk Selekoh 1. Bagaimana pun, saya dapat rasa lengan ayun belakangnya bergerak ke atas dan bawah sewaktu menangani daya menyelekoh. Tetapi ianya tidaklah seteruk sebuah teksi lama.
Menunggang motosikal Africa Twin dengan DCT ini cukup mudah sekali, barang kali sesiapa sahaja boleh melakukannya. Pecut, brek, pusing, ulang.
Melalui pengalaman pertama ini, saya boleh andaikan yang motosikal ini lebih tertumpu untuk penunggangan ‘off-road’, yang mana jelas dengan adanya suspensinya yang lembut itu. Kuasanya juga lebih ke arah yang lebih lembut dan lancar. Bukan bermaksud anda tidak boleh memecutnya di atas tarmac, tetapi ini tidak memanfaatkan kebolehan sebenar motosikal ini. Bagi DCT-nya pula, ia akan meringankan beban kerja penunggang sewaktu dia menumpukan perhatian menangani laluan denai ‘off-road’.
Sila tekan pautan di bawah untuk membaca artikel kami mengenai harga X-ADV dan Africa Twin.
Harga Honda X-ADV Dan Africa Twin 2018 Diumumkan! Bermula Dari RM57,999!
CB1000R
Dan tibalah masanya untuk santapan utama kita. Nota bunyi ekzosnya cukup bingit, ia boleh didengari walaupun pada ketika saya lengkap memakai helmet Arai dan plag telinga saya. Barangkali salah sebuah daripada sebilangan kecil motosikal yang tidak perlu ditukar ekzos standardnya.
Gayanya sudah pasti gabungan ranggi elemen yang lama dan juga baharu, bertepatan dengan tema Neo Sports-nya.
Enjinnya didasarkan dari model CBR1000RR Fireblade yang lama, dan kini dengan lejang yang lebih panjang. Ia mampu menghasilkan 143hp pada 7,500rpm dan 104Nm tork pada 8,250rpm.
Dalam mod SPORT, ia meluncur laju ke hadapan dengan begitu lancar sekali. Daya pembrekan enjinnya juga sama lancarnya, tanpa melenyapkan kelajuan bergerak melalui selekoh. Suspensi dan pelananya sama selesa.
Walaupun selesa, CB1000R ini dengan mudah dapat dikerah menangani selekoh, walaupun di Selekoh 2 dan 4 yang sempit. Ia menanganinya tanpa sebarang tindak balas stereng.
Di laluan lurus, ia memecut dengan laju. Sewaktu membrek dengan keras di Selekoh 1, saya hairan kerana forknya tidak terjunam. Kemudiannya baru saya ketahui bahawa forknya adalah fork ‘Separate Function Fork – Big Piston’ (SFF – BP) Showa yang baharu.
Baru sahaja seronok menunggang, ketua marsyal kami sudah melambai kami pulang ke pit. Aduhai.
CB250R
Pasti janggal, getus hati saya. Saya sepatutnya mula dengan menunggang motosikal ini, dan berpindah motosikal yang lebih besar.
Tetapi ianya cukup seronok sekali untuk menunggang sebuah motosikal ringan, sebaik sahaja dilepaskan tuil klacnya. Enjin satu silindernya meng’rev’ dengan pantas tanpa banyak gegaran. Seperti motosikal lain yang telah ditunggang uji sebelumnya, suspensinya agak lembut, namun, ianya tidak bermakna yang motosikal ini akan banyak bergoyang.
Dan oleh kerana ianya cukup ringan, saya telah menghumbannya memasuki selekoh dalam gear yang tinggi. Enjinnya juga teramatlah lancar bagi sebuah enjin satu silinder dan ianya tidaklah terasa seperti di’rev’ dengan melampau-lampau, walaupun telah mencecah ‘rev limiter’ beberapa kali. Begitu seronok sekali hinggakan saya tidak perasan akan bendera penamatnya dan perlu mengelilingi litar untuk satu kali lagi.
Namun, perkara yang paling menakjubkan mengenai motosikal ini adalah betapa mudahnya untuk menunggangnya. Digandingkan dengan ketinggian pelananya yang rendah, penunggang baru pasti tidak akan berasa terlalu gentar dengannya.
Kesimpulannya, keempat-empat buah model ini cukup hebat sekali dan menunjukkan perhatian Honda terhadap perincian dan kualiti. Ke semua panel tersemat kemas, kualiti kerja cat baik keseluruhannya pada ke semua empat buah motosikal.
Tidak sabar menanti masa untuk menunggang uji CB1000R pada masa yang akan datang.