- Jonathan Rea telah mengesahkan bahawa dia akan terus berada dalam siri perlumbaan WorldSBK sehingga akhir tahun 2020.
- Penunggang berusia 31 tahun dari Ireland itu telah menandatangani perjanjian dua tahun bersama Kawasaki Racing Team.
- Pembaharuan kontrak ini juga telah menghentikan segala khabar angin yang megatakan bahawa dia akan berpindah ke MotoGP pada tahun 2019.
Juara dunia WorldSBK berbilang kali, Jonathan Rea, akhirnya telah menandatangani perjanjian dua tahun bersama Kawasaki Racing Team (KRT). Penunggang berusia 31 tahun dari Ireland itu telah menghentikan segala khabar angin dengan mengesahkan penyertaan dalam siri perlumbaan FIM Superbike World Championship sehingga hujung tahun 2020.
Selepas mengatasi rekod kemenangan perlumbaan WorldSBK milik Carl Fogarty pada hari Sabtu yang lalu, Jonathan Rea telah menyampaikan berita ini kepada orang ramai. Pengumuman ini juga menidakkan perpindahan ke MotoGP pada tahun 2019, di mana ada khabar yang mengatakan kemungkinan dia adalah pengganti Dani Pedrosa di Repsol Honda.
Berita tentang Jonathan Rea memperbaharui kontraknya bersama Kawasaki Racing Team bukannya satu kejutan. Sejak menyertai pasukan tersebut pada tahun 2015, dia telah memenangi tiga kejohanan dunia secara berturut-turut, dan tampak cerah untuk merangkul kejohanannya yang ke-empat. Buat masa ini, dia sedang mendahului tangga kejuaraan 2018 dengan perbezaan sebanyak 65 mata.
Menurut Rea, “Saya teramat gembira dapat meneruskan dua musim berikutnya dengan Kawasaki Racing Team. Sejak hujung musim lalu, kami telah pun memulakan perbincangan mengenai penyambungan kerjasama kami, jadi, ianya cukup melegakan dapat memeterai perjanjian ini supaya kami boleh menumpukan perhatian kepada baki perlumbaan untuk musim 2018. Sejak dari detik pertama saya tiba pada penghujung 2014, saya telah dialu-alukan dalam keluarga Kawasaki dan semenjak itu kami telah mengecapi kejayaan yang jauh lebih hebat daripada apa yang boleh kami impikan. Di sinilah tempat yang saya berada.”
“Sudah pasti ia lebih mudah untuk terus bersama dengan pasukan KRT, dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua di Kawasaki Racing Team kerana memberi kepercayaan kepada saya dan untuk peluang ini. Bersama, kita akan berusaha dengan lebih keras bagi memastikan jentera ZX-10RR terus berada di depan dalam WorldSBK pada masa yang akan datang. Saya mempunyai pasukan yang terbaik yang memastikan kami dapat terus bersaing untuk kejohanan dunia,” tambah Rea.
Berita mengenai teman sepasukannya pada waktu ini, Tom Sykes, adalah dia telah bersedia untuk melakukan perubahan dengan desas desus mengatakan dia akan meninggalkan KRT pada penghujung musim 2018 nanti.
Sumber imej: WorldSBK