Apa Yang Anda Perlu Tahu Sebelum ‘Knee Down’

Sumber imej: motorcyclenews.com
  • Teknik menyelekoh ‘knee down’ amat penting untuk penunggangan atas litar.
  • Dilakukan dengan betul, ia akan memberi keyakinan dan memastikan keselamatan.
  • Pastikan diri dalam keadaan selesa dan tidak terlalu tegang.

Penunggang professional pada masa kini lebih gemar menggunakan teknik ‘elbow down’ bagi menangani selekoh, namun teknik asas menyelekoh bermula dengan teknik ‘knee down’.

Memahirkan diri dengan teknik ‘knee down’ ini amat bermanfaat bagi memastikan motosikal anda dalam kawalan anda sewaktu menangani selekoh. Ianya berguna bagi menentukan setakat mana anda telah mengiring dan menegakkan kembali sedikit motosikal sekiranya tayar hadapan mula menggelongsor. Menginjak berat badan dan merapatkan lutut ke permukaan asfalt juga mengurangkan sudut condong motosikal, dan dengan itu menggunakan bahagian tayar yang lebih lebar dan bukannya memperjudikan nasib anda pada bahagian tirus tayar.

Marquez melakukan teknik ‘elbow down’ dan ‘knee down’ – Sumber imej: MotoGP,com

Namun begitu, sebelum kami meneruskan artikel ini, diingatkan yang kami TIDAK menggalakkan anda mencuba teknik ini di atas jalan raya awam. Sila menunggang dengan selamat dan terokailah kebolehan anda di atas litar.

1. Kelengkapan Menunggang

Paling utama sekali, anda memerlukan kelengkapan menunggang yang mempunyai ‘knee sliders’; lagi pun anda diwajibkan memakai sut lumba kulit ketika memasuki litar. Jadi, jangan sesekali mencubanya teknik ini di atas jalan raya awam dengan sut buatan sendiri.

2. Lokasi

Ya, betul, kami telah menyatakannya berkali-kali namun ia perlu diingatkan berulang kali. Litar. Di atas litar sahaja. Tiada tempat yang lain selain litar. Sekiranya anda menunggang motosikal di bawah 500cc, anda boleh pergi ke litar ELITE atau Sepang International Kart Circuit. Bagi motosikal dengan kapasiti yang lebih besar, satu-satunya tempat tujuan anda adalah Litar Antarabangsa Sepang.

3. Lakukannya Dengan Betul

Kemalangan ‘lowside’ akibat kelajuan yang terlalu tinggi – Sumber imej: RNikeyMouse

Jangan hentam kromo sahaja masuk selekoh pada kelajuan tertinggi termampu tanpa menganalisa prosesnya. Benar, motosikal moden dan komponen terkininya, termasuk tayarnya (ya, tayar sport touring juga) pada kebiasaannya mampu mengendalikan tugas ini. Walau bagaimana pun, sebarang kesilapan boleh menyebabkan kesilapan yang seterusnya, dan yang seterusnya, sehingga anda tidak dapat memperbetulkannya, dan boleh menyebabkan kecederaan dan merosakkan motosikal anda.

4. Lihat Ke Mana Yang Ingin Dituju

Anda akan menuju ke mana pandangan anda – Sumber imej: MotoGP.com

Tip pertama yang perlu diketahui oleh seorang penunggang adalah untuk melihat ke mana yang ingin dituju. Tip ini juga digunapakai dalam menyelekoh, di mana bahagian pertama penyelekohan adalah untuk melihat ke mana yang anda ingin tuju dan lakarkan satu garisan buat-buatan melaluinya. Sekiranya anda terbiasa dengan merenung tajam ke hadapan di atas jalan raya, inilah masanya untuk mempelajari teknik visual yang betul. Ingat: angkat kepala anda, pandang terus, dan luaskan sudut pandangan anda, lihat ke mana yang ingin dituju. Anda pasti akan berasa kagum dengan betapa santainya rasanya nanti.

5. Injak Berat Badan Dengan Lebih Awal

Injak badan dengan awal – Sumber imej: tv3.it

Sewaktu anda mendekati selekoh, gerakkan punggung anda dari pelana dan bahagian atas badan anda dari garis tengah motosikal. Anda patut menggunakan bahagian tangki dan tengah motosikal bagi menyokong diri anda. Julurkan lutut keluar, kekalkan diri di situ dan jangan bergerak lagi. Injak badan ke posisi yang selesa untuk anda kerana anda boleh sahaja mengubah suai posisi badan anda apabila anda sudah semakin berpengalaman. Jangan injak terlalu banyak pula, kerana dengan memaksa diri sebegitu akan menyebabkan anda berasa tidak selesa dan mengurangkan keyakinan anda di atas motosikal.

Sentiasa menginjak dengan lebih awal berbanding hanya mengubah kedudukan anda sewaktu anda telah pun mula membelok motosikal anda memasuki selekoh kerana ini akan menidakstabilkan motosikal, menyebabkan anda hilang keyakinan dan tidak meneruskan dengan ‘knee down’ ini.

6. Tetapkan Kelajuan Anda

Tetapkan kelajuan dan gear anda sebelum memasuki selekoh – Sumber imej: Moto.GP

Tetapkan kelajuan anda menggunakan brek, dan bukannya mengharap sangat pada pembrekan enjin. Pilih gear yang memberikan anda kelajuan bergerak yang lancar melalui selekoh, yang juga akan membolehkan anda memecut keluar pantas dari selekoh. Kelajuan atau gear yang terlalu rendah akan menyebabkan anda kehilangan terlalu banyak kelajuan, menyebabkan motosikal untuk menegak semula, dan memaksa anda untuk memulas pendikit dengan lebih awal.

7. Memandu Arah Berlawanan (Countersteer)

Sewaktu anda tiba di titik masuk selekoh, pandu arah secara berlawanan (tekan kiri untuk membelok ke kiri, tekan kanan untuk membelok ke kanan) dan pastikan badan dan motosikal anda menyondong ke arah selekoh tersebut. Hala dagu dan siku anda ke arah selekoh tersebut.

8. Stabilkan Penggunaan Pendikit

Pulas pendikit anda secara stabil tanpa terlalu bersungguh memulasnya. Pulas terlalu banyak, terlalu awal pada sudut condong ekstrim akan memberi tekanan tambahan pada tompok sentuhan tayar belakang. Melepaskan pendikit, atau lepas dan pulas pendikit akan menjejaskan kestabilan motosikal – kekalkan pulasan pendikit yang berterusan dan lancar.

9. Skrrrth…..

Tahniah! Anda berjaya melakukan teknik ‘knee down’ – Sumber imej: Suzuki

Lambat laun anda pasti akan mendengar bunyi plastik menggeser asfalt. Tahniah! Anda berjaya melakukan ‘knee down’.

10. Seterusnya?

Sebaik sahaja anda telah mencecah lutut ke jalan, anda tidak perlu terus menekannya. Sebaliknya, kekal relaks dan bersahaja bagi merasai sendiri keseluruhan tayar, suspensi, dan motosikal pada sudut berkenaan. Jika anda rasa ada lagi cengkaman yang boleh digunakan, tambah sedikit lagi kelajuan pada pusingan yang berikutnya. Jika tayar telah pun mula bergelongsor, anda perlu sama ada memperlahankan kelajuan atau gunakan sudut yang lebih tegak pada pusingan yang seterusnya.

Begitulah caranya, tidak terlalu sukar. Apa yang perlu diingatkan ialah, gunakan teknik yang betul dan kekal relaks dan selesa. Jangan risau jika anda gagal untuk cecah lutut pada kali pertama, sebaliknya, tumpukan perhatian anda terlebih dahulu kepada titik pembrekan anda, kelajuan memasuki selekoh, garis perlumbaan, dan posisi badan dan bukannya masuk selekoh secara membuta tuli. Pastikan anda perbetulkan faktor-faktor ini dan anda pasti akan dapat kelajuan yang betul bagi melakukannya.

Dan akhir sekali, JANGAN BUAT AKSI INI ATAS JALAN RAYA!

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]