- Royal Enfield Himalayan model 2018 kini telah sedia untuk tempahan pada harga RM36,880 (harga asas tanpa GST).
- Dijana oleh enjin LS 410 terkini mereka, motosikal kembara 411cc mereka menghasilkan 24.5hp dan 32Nm tork.
- RE Motorcycles Sdn. Bhd. akan menawarkan model Himalayan terbaru ini dalam dua warna yang berbeza: Granite dan Snow.
Lewat tahun lalu, Royal Enfield dengan secara rasminya telah melancarkan motosikal Royal Enfield Himalayan 2018, sebuah motosikal kembara tahap permulaan dengan lebih kuasa, gaya, dan kekuatan. Ianya telah dijanjikan akan mula memasuki pasaran di seluruh dunia pada sekitar bulan Jun dan Royal Enfield Malaysia (RE Motorcycles Sdn. Bhd.) telah mengotakan janji tersebut apabila motosikal berkenaan telah dibawa masuk pada minggu lepas.
Ditetapkan pada paras harga RM36,880 (harga asas tanpa GST), jentera yang dibina khusus untuk pengembaraan dan perjalanan jarak jauh ini telah dibuka untuk tempahan dan ianya mewakili masa hadapan Royal Enfield dengan motosikal dan enjin yang telah direka serba baru.
Dijana oleh enjin LS 410 terkini mereka, enjin suntikan bahanapi, sejukan udara, satu silinder 411cc ini mampu menghasilkan sehingga 24.5hp pada 6,500rpm dan 32Nm tork maksimum pada 4,250rpm. Hasilnya ialah sebuah jentera kembara sejati dengan lengkungan tork rata yang sesuai bagi penunggang baru mahu pun veteran.
Menurut Encik Muhammad Syahrul, Pengurus Besar RE Motorcycles Sdn. Bhd., “Model Himalayan ini adalah hasil daripada sejarah 60 tahun Royal Enfield di ‘spiritual home’nya – Banjaran Himalaya. Motosikal adventure tourer bersaiz besar yang sedang menguasai kategori ini, tidak sesuai dengan muka bumi bergunung ganang seperti Himalaya kerana ianya amat berat, teramatlah rumit, menyukarkan penunggang dan tidak sesuai dengan untuk persekitaran sebegitu.”
Dengan reka bentuk khususnya itu, model Himalayan ini sebuah motosikal yang ringkas dan mampu merentasi apa jua keadaan muka bumi dan akan menginterpretasi semula ‘adventure touring’ di Malaysia. Dari segi fungsinya, rekaan “Spartan”nya yang amat ringkas, lengkungan tork rata, ketinggian pelana yang mudah dicapai ramai dan ruang gerakan suspensi yang panjang, berserta kemudahan untuk memilikiya, menjadikan motosikal Himalayan ini sebuah motosikal yang amat serba boleh yang sesuai untuk perjalanan jauh dan pada masa yang sama merupakan satu pilihan yang definitif bagi menangani jalan raya kota kita. Kami percaya yang motosikal ini akan membuka ruang yang bagi segmen pelanggan yang baru bagi Royal Enfield di Malaysia.”
Ciri-ciri lain yang ada pada model Himalayan terkini ini:
- Fork teleskopik 41mm dengan ruang gerakan 200mm.
- Penyerap hentakan belakang dengan pautan yang memberikan ruang gerakan sebanyak 180mm.
- Tangki bahanapi 15 liter.
- Cakera brek hadapan 300mm dengan angkup terapung dua omboh.
- Cakera brek belakang 240mm dengan angkup satu omboh.
- Roda hadapan 21 inci; roda belakang 17 inci.
Terdapat dua pilihan warna yang ditawarkan bagi motosikal Royal Enfield Himalayan 2018 ini; Granite dan Snow. Ditetapkan pada harga RM36,880 (harga asas dengan 0% GST), anda kini boleh mengunjungi mana-mana wakil pengedar sah Royal Enfield Malaysia yang berada di seluruh negara.