Artikel oleh: Wahid Ooi Abdullah
- Yamaha XMAX 250 secara rasminya merupakan skuter terbesar yang dijual oleh Hong Leong Yamaha.
- Ia lebih kepada sebuah skuter GT berbanding NMAX dan NVX.
- Harga asas baharu skuter Yamaha XMAX 250 2018 ini ialah RM21,225.00 dengan 0% GST.
Tidak dinafikan yang penunggangan skuter adalah cukup ringkas sekali – tidak banyak yang perlu anda lakukan kecuali isi, pulas, dan bergerak. Selain itu, kita tidak perlu risau aka sakit bahu dan belakang akibat terlalu lama menggalas beg di belakang, kerana kita boleh letak ke semua bagasi di ruangan simpanan bawah pelana.
Namun begitu, tidak pernah terdetik bagi diri saya untuk memiliki skuter sebelum ini; ianya disebabkan oleh suspensi yang agak keras, yang pasti dirasai sewaktu terlanggar bonggol atau lubang. Tidak cukup dengan itu, tayar hadapannya terasa agak tidak meyakinkan sewaktu menyelekoh. Dua faktor ini sahaja sudah cukup untuk melunturkan keinginan saya.
Tetapi, bagaimana pula dengan skuter Yamaha XMAX 250 yang baharu ini? Saya sebenarnya ternanti akan peluang untuk menguji motosikal MT-09 yang baharu, namun, menjadi agak tertarik dengan XMAX ini sewaktu Hong Leong Yamaha menawarkannya untuk tunggang uji. Jadi, untuk manfaat para peminat skuter di luar sana, saya terima tawaran tersebut.
SKUTER YAMAHA XMAX 250
Hong Leong Yamaha Motor adalah salah sebuah pengeluar yang menawarkan pelbagai pilihan skuter dalam pasaran motosikal Malaysia.
Skuter XMAX 250 ini, dijana oleh enjin satu silinder, 250cc, menjadikannya skuter terbesar yang ditawarkan secara rasmi oleh HLYM. Di mana skuter-skuter Yamaha yang lain lebih kepada skuter dalam bandar, XMAX ini lebih kepada sebuah skuter maxi/GT. Dan oleh kerana itu, XMAX ini lebih ‘sado’ saiznya, lengkap dengan skrin penghadang angin yang besar, begitu tangki bahanapinya. Ruang simpanan bawah pelananya juga cukup besar, sehinggakan anda boleh memuatkan dua buah helmet ‘full face’, atau, sebuah helmet dengan sebuah beg galas berisi laptop 15 inci.
CIRI-CIRI YANG ADA
Panel instrumennya juga cukup besar, dengan tolok speedometer dan takometer yang besar mengapit paparan LCD.
Terdapat kompartmen simpanan di kedua-dua belah panel hadapan – di sebelah kirinya berkunci, manakala sebelah kanannya pula tidak. Satu punca kuasa 12V berada di kompartmen sebelah kiri, membolehkan anda mengecas peranti sewaktu dalam perjalanan.
Skuter XMAX ini dilengkapi dengan sistem SMART Key, yang pernah kita lihat sebelum ini pada skuter NVX. Ia memerlukan sedikit masa untuk dibiasakan, namun, dengan pantas akan terasa semulajadi. Sebaik sahaja anda sudah biasa dengan sistem ini, anda pasti memuji kebijaksaan sistem penguncian motosikal ini. Contohnya, ia akan mengingatkan anda sekiranya anda lupa untuk menghidupkannya.
Skuter XMAX ini merupakan salah sebuah skuter yang paling laris di Eropah, dan dengan itu, ianya dilengkapi dengan ABS dan TCS (kawalan cengkaman) sebagai kelengkapan standard.
Lampu hadapan yang telah direka bentuk dengan cantik sekali itu dilengkapi dengan lampu LED, dengan ‘positioning lights’ (yang digelar lampu nyalaan siang oleh pengeluar yang lain) LED. Lampu belakangnya juga sama cantik dan juga lampu LED. Cuma lampu isyaratnya masih kekal menggunakan lampu mentol biasa.
TANGGAPAN PERTAMA KAMI
Pelananya lebih tinggi dari apa yang kami jangka. Walaupun lembaran spesifikasinya mencatatkan tinggi pelananya pada 795mm, saya perlu memperbetulkan kedudukan punggung saya bagi mencecah sebelah kaki, bagaikan saya tengah berada di atas motosikal kembara. Bahagian lebar di bawah pelananya adalah puncanya. Dan, tidak syak lagi, motosikal uji ini pernah terbaring pada sisinya sebelum ini.
Palang pemegangnya ditetapkan pada posisi yang lebih rendah berbanding kebanyakan skuter dan ianya terasa sporty. Posisi yang lebih rendah itu juga bermakna yang pandangan saya ke panel instrumennya tidak terhalang langsung.
Pelananya amat selesa sekali.
BAGAIMANA PULA DENGAN PRESTASINYA?
Enjin satu silinder, 250cc skuter ini bercirikan teknologi ‘Blue Core’ Yamaha, termasuk ‘variable valve timing’ (VVT). Ia hidup dengan mudah dan pantas pada setiap masa dan untuk sebuah skuter, gegarannya amat minima.
Keseronokan pulasan pendikit sudah pasti dari pemecutannya, dan skuter XMAX ini memecut dengan pantas sekali menuju ke ‘redline’nya. Kekalkan pada paras itu dan anda akan mencecah kelajuan lebih daripada 140km/j. Walaupun sering memulas habis pendikitnya, skuter ini amat ekonomikal. Kami berjaya mencecah jarak 324km/j dari 11 liter minyak petrol, walaupun dengan pengujian yang kasar dan kami hanya perlu mengisi semula hanya sekali dalam masa sembilan hari skuter ini di tangan kami.
Dan, yang terbaik sekali, tidak pernah sekali pun palang pemegang skuter XMAX ini bergegar kuat sewaktu kami menangani selekoh panjang yang laju, tidak seperti skuter-skuter yang lain.
Pengendaliannya memupuk keyakinan, dan saya tidak teragak-agak menunggangnya mendaki Genting Highlands. Pada sebelah malam. Di atas jalan raya, ianya terasa amat menyeronokkan dapat menunggang skuter XMAX ini, di mana saya tidak perlu risau memacunya menangani selekoh. Ianya mempunyai ruang kelegaan menyelekoh yang banyak dan saya perlu betul-betul mengiring untuk mencecah tongkatnya. Pada waktu itu sekali pun, ia tidak terasa seperti akan menyebabkan saya terbabas sewaktu mengiring penuh.
Breknya amat kuat, walaupun ia terasa agak tidak ketara sewaktu ditekan penuh, mungkin sekali kerana hos getahnya. Bagaimanapun, ini adalah pandangan peribadi penulis, di mana saya rasa para pemilik pasti akan mendapati yang ianya agak kuat dalam atur cara standard. Satu lagi perkara yang saya sedari ialah tuil breknya tidak bergetar sewaktu ABS diaktifkan. Sebaliknya, tuil tersebut memanjang sedikit ke hadapan apabila ABS diaktifkan, membolehkan saya mengekalkan tekanan brek maksimum.
Lampu hadapannya terang dan amat berguna dalam keadaan berkabus.
Menyusuri Lebuhraya Karak, saya mampu menunggang skuter XMAX ini seperti motosikal biasa, malah ia telah mengejutkan beberapa orang pemandu kereta.
Bagi suspensinya, ianya satu imbangan yang bagus antara prestasi dan keselesaan. Lubang besar masih terasa kesannya namun ianya diserap dengan lebih baik berbanding dengan skuter dan moped yang lain di luar sana.
KESIMPULAN
Skuter Yamaha XMAX 250 ini adalah sebuah skuter yang hebat untuk kegunaan berulang alik harian, dan juga untuk tunggangan pengembaraan hujung minggu. Rupa parasnya yang hebat setanding dengan prestasinya yang menakjubkan, lebih-lebih lagi kerana ia tidak bergegar dengan kuat sewaktu berada dalam selekoh. Ia juga amat praktikal serta menjimatkan.
Nampak gayanya saya sudah menjumpai skuter yang telah saya cari selama ini.