Harga 0% GST KIA; Menukar Aspirasi Menjadi Realiti Dengan Kejohanan Futsal “Champ Into The Arena”

NAZA Kia, pengimport rasmi jenama Kia di Malaysia telah mengumumkan harga bagi modelnya dengan 0% GST, berkuatkuasa serta merta. Pengurangan harga ini membuatkan model Kia Picanto yang baharu berharga pada RM47,079.43! Senarai harga baharu bagi model-model Kia dapat dilihat DI SINI.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Kia Picanto terbaru ini, bacalah ulasan yang telah dibuat oleh laman saudara kami dengan menekan pautan di bawah.

REVIEWED: Kia Picanto 1.2 – Why It’s The BEST Value Car Out There Now! [+Video]

Bersempena dengan kerjasama mereka dengan Piala Dunia FIFA 2018, Kia telah memberikan peluang kepada para peminat serta pemain bola sepak muda untuk setapak lebih maju dalam mengecapi impian mereka melalui kejohanan futsal “Champ Into The Arena” Kia, dan pertandingan ‘Kia Official Match Ball Carrier’ di Malaysia yang telah dilangsungkan pada dua hujung minggu.

Dato’ Samson Anand George, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Automotive Group, Naza Corporation Holdings (di bawah) berkata, “Melalui pertandingan-pertandingan ini, Kia ingin mengeratkan pertalian dengan bakal pelanggan dan peminat acara-acara ini dan memberikan mereka peluang untuk lebih mendekati jenama ini pada tahap yang lebih peribadi dan bermakna bagi memupuk bakat muda bola sepak.”

Pertandingan ‘Official Match Ball Carrier’ peringkat Malaysia telah diadakan di Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) pada 22 April 2018, bagi kanak-kanak berusia 10 hingga 14 tahun. Pertandingan ini menyaksikan adik Adam Riezman, 14 tahun, berjaya merangkul gelaran “Official Match Ball Carrier” bagi mewakili Malaysia sebagai salah seorang daripada 64 orang kanak-kanak dari seluruh dunia yang telah menerima peluang sekali dalam seumur hidup untuk membawa bola perlawanan ke atas padang sewaktu Piala Dunia FIFA 2018.

Penyokong Portugal di Piala Dunia FIFA dan juga peminat setia Cristiano Ronaldo, Adam (di atas) berharap dapat menyaksikan aksi pasukan serta pemain kegemarannya di Russia nanti. “Saya berterima kasih pada ibu bapa saya kerana menyokong minat serta impian bola sepak saya sejak berumur 9 tahun. Saya tidak sabar menantikan perjalanan ke Russia ini di mana saya akan berpeluang bertemu dengan para peminat bola sepak yang berkongsi minat yang sama terhadap bola sepak. Terima kasih juga kepada Naza Kia Malaysia kerana memberikan saya peluang ini untuk mewakili Malaysia sebagai “Kia Official Match Ball Carrier” mereka,” ujar Adam.

Pertandingan “Kia Official Match Ball Carrier” telah diadakan di pelbagai negara di seluruh dunia bagi mencari peminat muda bola sepak. Di Malaysia, lebih daripada 200 orang peserta dari seluruh pelusuk negara berkumpul di KLFA Sport Centre Kuala Lumpur bagi menunjukkan kebolehan mereka untuk merebut tempat yang teramat bernilai itu. Para peserta telah diuji dari pelbagai segi seperti kelincahan, kemahiran, perwatakan, dan kerjasama dalam satu pertandingan satu negara yang diadakan di Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

TOT United dari Kuala Lumpur yang muncul juara kejohanan “Champ Into The Arena” Kia dan mewakili Malaysia di “Champ Into The Arena World Finals” di Russia

Lebih kurang 170 buah pasukan yang telah mengambil bahagian dalam kejohanan “Champ Into The Arena” Kia 2018, yang mana mereka telah berdepan dengan persaingan yang getir, dengan pusingan kelayakan telah diadakan dari 31 Mac hingga 21 April 2018 di Semenanjung Malaysia – iaitu di Pulau Pinang (Utara), Terengganu (Pantai Timur), Johor (Selatan), dan Selangor (Tengah). Hanya empat buah pasukan teratas dari setiap wilayah yang layak maju ke peringkat Grand Final Malaysia, yang telah berlangsung di KLFA Sport Centre di Taman Melawati, Kuala Lumpur, pada hari Ahad yang lalu.

Diadakan pada 29 April 2018, kejohanan futsal “Champ Into The Arena” ini bertujuan untuk mencari pasukan futsal yang berbakat yang akan mewakili Malaysia untuk bertanding di peringkat dunia. Ini adalah kali keempat Naza Kia Malaysia menganjurkan kejohanan futsal ini bersempena dengan Piala Dunia FIFA dan EUFA Euro 2018. Kali pertama ianya diadakan adalah pada tahun 2010.

TOT United, dari Kuala Lumpur muncul juara dan akan mewakili negara di “Kia Champ Into The Arena World Finals” di Russia! Pertandingan ini akan berjalan serentak dengan Piala Dunia FIFA 2018 dari 15 Jun hingga 15 Julai di Russia.

“Saya dan pasukan berasa amat teruja dan bangga dapat mewakili Malaysia di “Kia Champ Into The Arena World Finals” di Russia! Pasukan kami baru sahaja dibentuk sewaktu pusingan kelayakan di Pulau Pinang. Bagi menyediakan pasukan untuk beberapa perlawanan kelayakan yang terakhir, kami telah menjalani latihan intensif dalam jangka masa yang pendek dan saya berasa amat gembira kerana segala penat lelah kami telah membuahkan hasil,” kata Hazizi Bin Mansor, ahli pasukan senior TOT United.

Hazizi yang berusia 25 tahun, bukannya orang yang asing di pentas antarabangsa, di mana pasukannya sebelum ini juga telah muncul juara bagi kejohanan “Champ In The Arena” Kia pada tahun 2014 dan mewakili Malaysia di Brazil pada tahun itu.

TOT United yang terdiri daripada enam orang pemain berumur antara 23 hingga 26 tahun, akan terbang ke Russia dengan segala perbelanjaan perjalanan ditanggung termasuk penginapan, tiket kapal terbang, lawatan, hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 dan tiket eksklusif bagi menonton salah satu daripada perlawanan Piala Dunia secara langsung.

“Kia Champ Into The Arena” bukan sekadar sebuah kejohanan Futsal, ianya merupakan salah satu cara yang digunakan Naza Kia Malaysia untuk berbakti kepada masyarakat setempat dan juga kepada pengguna mereka di atas kesetiaan dan sokongan mereka. Selain daripada kejohanan futsal, terdapat pelbagai aktiviti seperti perlawanan persahabatan dan stesen bergambar, dan peluang untuk memandu uji dan merasai sendiri rangkaian produk Kia yang telah diperagakan.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]