- Marc Marquez (Repsol Honda) merangkul kemenangan MotoGP ketiganya pada musim ini sewaktu Pusingan MotoGP Perancis 2018 semalam.
- Danilo Petrucci (Alma Pramac Racing) mendapat tempat ke-dua sebagai penunggang Ducati terpantas.
- Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP) kembali semula ke atas podium walaupun bergelut dengan masalah pengendalian dan cengkaman.
Ianya sebuah perlumbaan yang tersangat dramatik pada malam semalam di HJC Helmets Grand Prix de France. Begitu banyak insiden yang telah berlaku yang membolehkan penunggang pasukan pengilang Repsol Honda, Marc Marquez, memenangi perlumbaan ketiganya pada musim ini, dan menyamai rekod kemenangan perlumbaan dalam kelas premier milik Casey Stoner, sebanyak 38 kali.
Johann Zarco (Monster Yamaha Tech 3) merupakan penunggang yang disebut ramai bakal memenangi perlumbaan di hadapan penyokong tuan rumah semalam, setelah memperolehi Petak Pertama sewaktu sesi kelayakan pada hari Sabtu. Impiannya untuk memenangi perlumbaan MotoGP pertamanya tidak kesampaian pada kali ini apabila dia terbabas sewaktu pusingan ke-lapan.
Kejadian itu adalah akibat kesilapan Zarco sendiri sewaktu bertarung di hadapan dengan para penunggang seperti penunggang pasukan pengilang Ducati, Jorge Lorenzo dan Andrea Dovizioso, dan sudah pasti, bersama Marc Marquez. Lorenzo telah mengejutkan semua orang buat sekian kali dengan melakukan aksi permulaan perlumbaan yang cukup sempurna bagi mendahului perlumbaan dari Selekoh 1.
Andrea Dovizioso juga turut terbabas setelah satu kesilapan perlumbaan yang mengejutkan (dan amat jarang berlaku) yang telah membuatkan penunggang tersebut kebingungan mengenai bagaimana ianya boleh berlaku. Oleh kerana kejadian tersebut, penunggang pasukan pengilang Ducati tersebut telah jatuh dalam kedudukan kejohanan 2018 sehingga ke P9 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 46 mata.
Beberapa pusingan kemudian, Lorenzo mula dapat dikejar dan ini telah memberikan peluang buat Danilo Petrucci (Alma Pramac Racing) untuk menamatkan perlumbaan ini di tempat ke-dua dan juga sebagai penunggang Ducati terpantas. Turut membuat kejutan adalah Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP) yang telah kembali di atas podium dengan jentera Yamaha M1-nya.
Jack Miller (Alma Pramac Racing) juga telah memperbaiki rentaknya dengan ketara dan menamatkan perlumbaan di hadapan Jorge Lorenzo. Telah ada banyak khabar angin yang mengatakan Miller bakal mengganti tempat Lorenzo dalam pasukan pengilang Ducati dan aksinya pada perlumbaan ini sudah pasti lebih menguntungkan Miller.
Telah berlaku begitu banyak insiden sewaktu perlumbaan ini dan mangsa pertamanya adalah Andrea Iannone (Team Suzuki Ecstar). Dia hilang kawalan jentera Suzuki GSX-RR tunggangannya sewaktu pusingan pertama dan membantutkan harapan mereka untuk berada di atas podium buat kali ke-empat pada musim ini.
Di belakang para penunggang utama, telah berlaku satu pertarungan sengit bagi gelaran penunggang rookie MotoGP terbaik antara juara dunia Moto2, Franco Morbidelli (EG 0,0 Marc VDS) dan penunggang harapan negara, Hafizh Syahrin (Monster Yamaha Tech 3). Hafizh Syahrin menamatkan perlumbaan dengan cemerlang di P12, di hadapan ke semua penunggang-penunggang rookie yang lain dan hanya 2.6 saat di belakang penunggang pasukan pengilang KTM, Pol Espargaro.
Pusingan MotoGP Perancis 2018 sudah pasti sebuah perlumbaan yang cukup menghiburkan ramai dan kami jangkakan akan ada lebih banyak lagi pengumuman yang mengejutkan pada minggu yang akan datang. Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan terkini segenap dunia permotoran.
Sumber imej: MotoGP
MotoGP: Andrea Dovizioso Kekal Bersama Ducati Sehingga 2020!