WorldSSP – Kenan Sofuoglu Akan Bersara Selepas Hujung Minggu Ini

  • Juara WorldSSP sebanyak lima kali, Kenan Sofuoglu, telah mengumumkan bahawa dia akan bersara selepas hujung minggu ini.
  • Perlumbaan terakhirnya akan berlangsung pada hujung minggu ini di Pusingan Itali Pata dari 11 hingga 13 Mei 2018 di Imola, Itali.
  • Penunggang yang berasal dari Turki itu akan menumpukan perhatiannya pada perkara-perkara lain, terutamanya pada keluarga dan sekolah penunggangannya.

Jika anda pengikut tegar WorldSBK dan WorldSSP, anda pasti cukup kenal siapa Kenan Sofuoglu ini. Berasal dari Turki, dia telah mendominasi kelas pertengahan dengan 43 kemenangan dan lima takhta kejohanan. Selepas hujung minggu ini, Kenan akan bersara dari sukan ini.

Pusingan kelima yang akan berlangsung dari 11 hingga 13 Mei di Imola, Itali, akan menjadi pusingan yang terakhir akan disertai Sofuoglu dalam kategori WorldSSP. Persaraan ini telah lama ditangguhkan oleh penunggang dari Turki itu, yang mana kini dia ingin menumpukan perhatian kepada perkara-perkara lain, terutamanya pada keluarganya.

Ianya juga kerana kecederaan yang telah dia alami pada tahun 2015, yang mana ianya tidak benar-benar pulih sepenuhnya bagi Sofuoglu untuk dia berada di tahap yang berdaya saing. Kecederaan retak tulang pinggul yang telah dialami di Perancis pada tahun lalu bagaikan petanda akhir dan secara asasnya telah menidakkan takhta kejohanan ke-enamnya.

Menurut satu kenyataan akhbar rasmi yang telah disiarkan oleh Kawasaki Racing, “Seperti mana keinginan Presiden, saya akan bersara dari perlumbaan pada hujung minggu ini. Saya akan meraikan ulang tahun perlumbaan saya yang ke-20 pada hujung minggu ini! Beberapa bulan yang lalu saya telah mengalami beberapa kecederaan yang membuatkan keluarga saya risau, begitu juga dengan Presiden kami. Kami memutuskan untuk bersara dari perlumbaan lebih awal dari apa yang saya jangkakan.”

“Saya tidak terlalu sedih, kerana saya telah pun mempunyai beberapa orang penunggang Turki yang telah saya latih untuk terus mengibarkan bendera kami. Dua puluh tahun yang lalu saya memulakan kerjaya perlumbaan saya dengan satu matlamat untuk berlumba dalam kejohanan dunia. Kami telah memenangi lima kejohanan dunia. Saya berasa amat bersyukur kerananya.”

“Ramai orang telah menyokong saya dalam usaha memenangi ke semua kejuaraan ini dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua atas sokongan mereka.Bagi pasukan Kawasaki Puccetti Racing Team dan untuk peminat, saya akan berada di atas litar buat kali terakhir pada 12-13 Mei di Itali.”

Sebagai sebahagian daripada rancangan persaraannya, Kenan Sofuoglu juga akan menumpukan perhatian kepada usaha melatih bakat tempatan dalam negaranya di sekolah penunggangannya. Dia masih lagi akan kekal bersama pasukan Kawasaki Puccetti Racing dan akan membantu mereka di paddock. Selamat maju jaya diucapkan kepada Kenan. #ThankYouKenan

Video: Epic rolling burnouts with a Kawasaki Ninja H2R

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]