Tunggang Uji Triumph Bonneville T100 Black 2018

Artikel oleh: Wahid Ooi Abdullah

  • Motosikal Triumph Bonneville T100 Black adalah sebuah motosikal moden retro yang telah dilegapkan.
  • Kuasa yang lancar dan pengendalian yang mudah dijangka adalah ciri terbaik motosikal ini.
  • Tidak menakutkan, mudah dan seronok untuk ditunggang.

Penulis ada banyak rakan penunggang yang menamakan motosikal mereka. Dan oleh kerana kebanyakan daripada mereka adalah lelaki, motosikal mereka hampir selalunya diberikan dengan nama perempuan: Suzy, Becky, Hunny, Mimi dan bermacam-macam lagi. Ada yang menamakan motosikal mereka dengan nama yang maskulin seperti Butch, The Rock, dan lain-lain. Penulis, bagaimana pun, tidak pernah tergerak untuk menamakan motosikal-motosikal yang pernah dimiliki. Tidak pernah. Untuk motosikal Ducati 916SP yang pernah dimiliki pun kekal tanpa nama.

Barangkali motosikal penulis tidak mempunyai tarikan yang cukup kuat bagi penulis menganggapnya lebih daripada sebuah jentera.

Di sini, tersergamnya motosikal Triumph Bonneville T100 Black, dilegapkan dengan tangki bahanapi hitam, gegelung lampu hadapan hitam, apit fork hitam, dapra hadapan hitam, rim tayar hitam, ekzos ‘peashooter’ hitam, penutup enjin hitam, panel sisi hitam, pelana hitam, gegelung pegas hitam, dapra belakang hitam. Semuanya hitam. Bahagian yang tidak hitam hanyalah pada penutup tangki bahanapi, gelungan pada blok enjin, jejari wayar roda, dan hujung pendikitnya.

Skema warna ini sebenarnya mengimbau kembali kepada zaman kegemilangan motosikal buatan khas, di mana pemilik sering menggantikan bahagian yang berkrom dan digilapkan dengan kelengkapan yang nampak lebih ‘jahat’. Bak kata orang, lebih punk.

Duduk sahaja atas pelana T100 ini, anda boleh rasakan betapa ringkasnya motosikal pada waktu itu. Ketinggian pelana yang rendah, profil yang ramping, palang pemegangnya tidak terlalu lebar mahu pun pendek, sedang-sedang sahaja, posisi duduk menegak, capaian selesa ke palang pemegang, dan juga pada tempat letak kaki.

Dan seperti mana motosikal-motosikal Triumph yang lain, T100 ini hidup dengan deruan yang penuh berjiwa dan kemudian berada dalam keadaan melahu yang lancar. Pulas sedikit pendikitnya dan anda akan dapat merasakan sedikit getaran enjin, cukup kuat untuk mengingatkan anda yang ianya hidup.

Melihat ke bawah, pandangan anda akan bertemu dengan sepasang tolok yang cukup cantik sekali buatannya. Tidak seperti model Bonneville yang lain, tolok yang ada pada T100 Black ini bermuka hitam, dikelilingi penanda berwarna perak dan dihiasi gegelung berwarna krom. Gegelung tersebut teramatlah indah sekali, lebih-lebih lagi pada waktu malam, sewaktu anda menunggangnya melewati satu punca cahaya ke punca cahaya yang berikutnya. LCD, nombor-nombor, dan jarum pada tolok tersebut bersinar lembut (lembut, bukan malap ya) tanpa menghujani retina mata anda dengan photon.

Triumph Bonneville T100 Black ini terasa istimewa sebaik sahaja klac dilepaskan. Pendikitnya terasa bertindak secara langsung, amat lancar, sangat linear. Bak air sungai yang mengalir deras, tiada apa yang dapat menghalang kelancarannya.

Enjin berkembar selari, sejukan cecair, 900cc HT (High Torque) mempunyai aci engkol berkedudukan 270 darjah bagi meniru aturan pembakaran 90 darjah enjin V-Twin. Ia menarik gear dengan begitu lancar sekali…bayangan tasik yang tenang menjelma di minda penulis. Dan motosikal ini baru sahaja keluar dari bilik pameran Triumph Motorcycle Malaysia. Dari sifar hinggalah kelajuan tertingginya, tidak sekali pun pernah ia tersalah langkah dalam jangkauan kitarannya. Motosikal ini juga tidak terhenggut mahu pun melonjak ke hadapan pada kelajuan yang rendah.

Namun begitu, sentapan enjinnya masih boleh dirasakan sewaktu anda memulas penuh pendikitnya. Keterujaannya masih boleh dirasai tanpa anda perlu berasa seakan bergelut untuk mengawalnya.

Suspensinya cukup lembut bagi menangani sebarang celaan di atas jalan raya, dan pada masa yang sama, cukup keras bagi membolehkan motosikal ini membelok sepantas penulis mengarahkannya. Seperti motosikal Triumph yang lain, penyerap hentakan belakang berkembar dan fork hadapannya telah ditala dengan cukup baik sekali.

Penulis masih ada satu lagi artikel yang perlu disiapkan pada petang itu, tetapi, saya fikir, persetankannya, biar saya tunggangnya buat beberapa kilometer lagi. Saya terus menunggang dari satu tempat ke tempat yang berikutnya, dan untuk menyedapkan hati, saya berulang-ulang kali berkata, “beberapa kilometer je lagi.”

Pendek cerita, saya tiba di rumah tiga setengah jam kemudian selepas menunggang tanpa sebarang hala tujuan.

Kenapa? Kerana saya berasa cukup seronok untuk menunggang Triumph Bonneville T100 Black ini. Separuh daripada perjalanan tersebut saya harungi kesesakan lalulintas waktu puncak, dan juga hujan, namun, langsung tidak saya hiraukan. Ia memberikan keseronokan penunggangan yang hakiki. Keterujaan yang saya rasakan, bagaikan sewaktu kali pertama saya mengambil motosikal pertama yang saya beli, 30 tahun yang lalu.

Palang pemegangnya cukup lebar untuk keseimbangan yang baik, dan pada masa yang sama, mempunyai kelebaran yang tepat bagi membolehkan anda menyelinap di celah-celah trafik. Kalau motosikal kapchai di depan anda boleh lalu, begitu juga dengan anda. Tambahan pula, ketinggian pelananya yang rendah memudahkan anda untuk meletakkan kaki ke tanah.

Digandingkan dengan penggunaan klac yang ringan dan lancar, dan agihan kuasa enjin dan pendikit yang teramatlah lancar, trafik sesak langsung tidak bermain di minda penulis, sehinggalah saya duduk dan menulis ulasan ini. Kemuncak tork enjin ini adalah pada 3230rpm, yang bermakna ian mempunyai daya gerak yang besar untuk meluncur pantas melewati kenderaan lain dengan deruan yang mengusik jiwa.

Sebelum ini, saya pernah menguji motosikal yang terlalu berat tarikan klacnya, dengan pendikit yang mencengkam dalam trafik. Tidak cukup dengan itu, breknya pula terasa kaku, dan suspensinya terlalu keras. Menunggangnya bagaikan igauan buruk yang membuatkan penulis berpeluh sejuk.

Tidak dengan motosikal Triumph Bonneville T100 Black ini; ianya satu pengalaman yang cukup menyenangkan.

Satu lagi faktor yang menyumbang kepada keseronokannya adalah breknya. T100 ini mungkin sebuah motosikal yang berupa paras klasik, namun, brek hadapannya adalah cakera brek terapung. Pernah ada sebuah kereta yang memintas tajam di hadapan laluan penulis. Tarikan tuil brek yang sekata dan padu membuatkan motosikal ini mula berhenti dengan serta merta. Tuil brek hadapan ini tidak bergetar sewaktu ABS diaktifkan, sebaliknya, menjadi lebih keras, membolehkan anda untuk memberikan lebih banyak tekanan brek. Amat membantu, menyelamatkan nyawa penulis.

Selain itu, motosikal ini juga dilengkapi dengan kawalan cengkaman. Satu lagi ciri keselamatan bagi ketenangan minda penunggang.

Satu hari, penulis duduk di atas pelananya dan mula menunggang. Tidak ingat pula penulis apakah sebabnya, mungkin sekali berkaitan dengan ‘mem besar’. Apa pun, tahu-tahu sahaja, penulis telah tiba di Tanjung Malim.

Penulis ingat lagi yang penulis menyanyi lagu-lagu kegemaran yang berkumandang di fon kepala Bluetooth (yang kebanyakannya terdiri dari lagu Judas Priest – bertepatan dengan tema British seperti motosikal yang sedang ditunggangi). Tiupan angin tidak keterlaluan. Tetapi, yang menakjubkan penulis adalah enjinnya yang tidak bergetar langsung sewaktu pendikit berada dalam kedudukan malar, hanya mulai terasa sewaktu anda memecut atau memperlahankan kelajuan. Pada kelajuan tetap 110 hingga 130km/j, deruman yang lembut menjadi muzik latar anda.

Menghampiri sebuah F 800 R yang berada di hadapan saya, penulis ternampak penunggangnya melihat cermin sisinya. “Dia buat dah”, getus hati penulis. Penulis bersiap sedia dan sebaik sahaja dia memulas pendikitnya, penulis juga mula memulas pendikit motosikal T100 ini. Dia membongkokkan badannya, kepala rapat ke tolok kelajuan, begitu juga dengan penulis. Dengan sekelip mata, penulis memecut laju memintasnya, tangan kiri melambainya di tepi. Penulis ternampak matanya terpaku kepada penulis dan penulis mengerling ke arah tolok kelajuan. 180km/j dan masih lagi memecut. Penulis memperlahankannya dengan serta merta.

Ingat ‘motosikal klasik’ Triumph Bonneville T100 ini tidak laju? Salah sekali tanggapan itu. Penulis pada ketika itu menggunakan gear keenam dan tidak sekali pun menurunkan gear. Semuanya dilakukan dengan mengerjakan pendikit sahaja.

Hari panas terik, namun saya tetap tersenyum sewaktu tiba di Tanjung Malim. Saya bersiul gembira sewaktu saya menggerakkan motosikal bagi mendapatkan gambar yang terbaik. Seorang warga tempatan mendekati saya dan meminta izin untuk mengambi gambar motosikal ini. Seorang lagi berbual dengan saya sewaktu saya mengambil gambar dan menjemput saya ke kedai runcit untuk minum, dia belanja. Dia kata yang dia ingin bertanya dengan lebih lanjut mengenai T100 Black ini, jauh dari terik matahari.

Sewaktu perjalanan pulang, saya ambil keputusan untuk tidak mengikuti laluan lebuh raya dan terus kekal mengikuti laluan jalan raya lama. Jarang saya buat macam ini, lagi-lagi sewaktu hari yang panas.

T100 Black ini terasa amat semulajadi di atas jalan raya sebegini (sebenarnya, atas mana-mana jalan raya pun ia terasa amat bersahaja), sama ada pada laluan yang lurus mahu pun yang bersimpang-siur. Saya menunggangnya dengan santai, tidak pernah mencecah lebih daripada 100km/j, supaya saya boleh menikmati kehebatan enjin, pendikit dan suspensinya yang hebat itu, di samping menikmati keindahan pemandangan. Saya dapati yang enjinnya bukan sahaja lancar sewaktu pemecutan, tetapi juga sewaktu penyahpecutan. Ia terasa seperti motosikal ini mempunyai klac ‘slipper’, walaupun ia tidak dilengkapinya. Pelik sekali, ia terasa lebih lancar berbanding motosikal dengan klac ‘slipper’

Oh ya, penulis juga turut ternampak tasik yang tenang dalam perjalanan pulang. Déjà vu.

Triumph Bonneville T100 adalah sebuah motosikal yang anda ingin tunggang pada setiap masa. Silap-silap, ia boleh buat anda tinggalkan segalanya, hanya anda dan motosikal ini, merantau dari satu pekan, ke pekan yang berikutnya. Ianya cukup menyeronokkan dan cukup mudah untuk ditunggang sehinggakan anda boleh terlupa tentang segala benda lain, diri anda sendiri tidak terkecuali. 100% kenikmatan, 0% tekanan.

Penulis kenal beberapa orang pemilik yang telah menunggang ribuan kilometer di atas, menunggang menuju ceruk yang jauh di atas ‘Bonnies’ mereka. Siapa tahu, mungkin satu hari nanti saya akan tinggalkan segalanya dan menunggang entah ke mana, seperti Forrest Gump yang berlari dan terus berlari.

Saya telah memutuskan untuk menamakan sebuah motosikal. Triumph Bonneville T100 Black ini penuh dengan perwatakan, penuh dengan semangat, ia seakan-akan bernyawa. Ia membuatkan saya berasa amat teruja kerana masih bernyawa.

Saya telah memikirkan beberapa buah nama yang ada ‘Black’ dalamnya. “Black Beauty” telah digunakan oleh Triumph Motorcycles Malaysia, dan ianya nama yang secocok sekali dengan motosikal yang menakjubkan ini. Saya terfikir untuk menamakannya sebagai “Black Widow”, bukan yang nama labah-labah tetapi kerana pelakon wanita yang memainkan watak tersebut, tetapi, seperti terlalu klisé.

Saya putuskan untuk menamakannya “Black Knight”©©©. Kesatria hitam di atas kuda (besi) hitam.

SPESIFIKASI TEKNIKAL

ENGINE
Engine type Liquid-cooled, 4-stroke, SOHC, 8 valves, parallel-Twin, 270o crankshaft
Compression ratio 10.5 : 1
Bore X Stroke 84.6 mm X 80.0 mm
Displacement 899 cc
Fuel system Multipoint sequential electronic fuel injection
Maximum power 94 bhp (40.5kW) @ 5900 RPM
Maximum torque 70 Nm @ 3230 RPM
TRANSMISSION  
Clutch Wet, multi-plate assist clutch
Gearbox 5-speed
CHASSIS
Front suspension KYB 41 mm telescopic forks, 120 mm travel
Rear suspension KYB twin shocks preload adjustment, 120 mm travel
Front brakes Single 310 mm floating disc, Nissin two-piston sliding caliper
Rear brake Single 255 mm disc, Nissin two-piston sliding caliper
ABS ABS standard, front and rear
Front tyre 100/90-R18
Rear tyre 150/70-R17
FRAME & DIMENSIONS
Frame Tubular steel trellis frame
Swingarm Two-sided tubular steel
Trail 104 mm
Rake 25.5o
Wheelbase 1450 mm
Seat height 790 mm
Dry weight 213 kg
Fuel capacity 14.5 litres

GALERI GAMBAR

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]