- Modenas dengan kerjasama Bajaj akan menganjurkan satu program interaksi “Let’s Talk Modenas Bajaj” di Pulau Pinang pada 14 April 2018.
- Ke semua pemilik motosikal Modenas Pulsar RS200, NS200 dan V15 yang berada di wilayah utara dijemput hadir.
- Program interaksi kali ke-empat mereka itu akan diadakan di Dewan Seminar Restoran Pelita yang terletak di Autocity, Juru, Pulau Pinang.
Sebagai sebahagian daripada matlamat utama mereka dalam merapatkan jurang di antara pengeluar motosikal dengan pengguna, Modenas, dengan kerjasama Bajaj akan menganjurkan sebuah acara yang cukup istimewa yang bergelar “Let’s Talk Modenas Bajaj 4.0 Northern”, pada 14 April 2018 di Juru, Pulau Pinang. Ke semua pemilik motosikal Modenas RS200, NS200, dan V15 yang berada di wilayah utara tanah air dijemput untuk menghadiri acara pertemuan istimewa ini.
Ini akan menjadi sesi kali ke-empat seumpamanya yang akan dianjurkan oleh Modenas bersama dengan Bajaj sebagai salah satu cara mereka mendekati pelanggan, penggemar, serta peminat mereka yang senantiasa bertambah, bagi mendapatkan maklum balas secara langsung yang membawa makna berkenaan dengan produk mereka. Usaha yang telah dimulakan pada tahun lalu telah menjadi satu tindakan proaktif di mana para pakar jenama tersebut akan berbicara secara bersemuka dengan para pemilik motosikal.
Acara ini akan diadakan di Dewan Seminar Restoran Pelita di Autocity Juru, Pulau Pinang pada 14 April 2018 (Sabtu) pada jam 11 pagi. Bagi mereka yang berminat untuk menghadiri acara ini bolehlah mengisi butiran diri di pautan yang disediakan di bawah.
Program interaksi di antara pengeluar dan pemilik motosikal ini yang telah dimulakan pada bulan September tahun lalu telah mengundang rasa hormat dan kagum orang ramai, lebih-lebih lagi atas usaha mereka dalam membekalkan bukan sahaja produk yang baik, tetapi juga perkhidmatan selepas jualan yang mengagumkan. Kami telah berkesempatan menyertai acara pertama mereka yang telah diadakan di ibu pejabat mereka di Glenmarie, Shah Alam, di mana para pemilik motosikal juga telah dapat membuat pemeriksaan motosikal secara percuma setibanya mereka di acara berkenaan.
Modenas Bertemu Dengan Pemilik Motosikal Baru Dalam Satu Sesi Interaksi Istimewa
Bermula dari tunjuk ajar mengenai cara penyelenggaraan motosikal yang betul, hingga ke menjawab sebarang pertanyaan dan isu, dan juga hadiah cabutan bertuah, Modenas telah meningkatkan usaha mereka dalam memberikan perkhidmatan selepas jualan yang terbaik.
Kami berasa amat pasti bahawa mereka yang akan menyertai program ini akan pulang dengan persepsi yang lebih baik terhadap pengeluar motosikal kebangsaan kita dan juga rancangan mereka bagi meningkatkan lagi mutu dalam setiap aspek, sama ada menawarkan model yang mengujakan kepada pasaran tempatan hingga ke perkara-perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan selepas jualan.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, TEKAN SINI.