Motosikal Replika Perlumbaan Dengan Skema Warna Tercantik

Honda RC30 (sumber imej: half-mag.com)
  • Skema warna perlumbaan menonjolkan jenama pengeluar dan para penaja.
  • Pengeluar kemudiannya akan menghasilkan motosikal replika perlumbaan bagi ‘memperingati’ jentera perlumbaan berkenaan.
  • Di sini, kami senaraikan beberapa buah motosikal replika perlumbaan yang kami rasakan cukup cantik sekali.

Motosikal replika perlumbaan; adakah ia satu cara bagi pengeluar unyuk mendapatkan lebih banyak wang dari peminat mereka atau pun satu artifak yang menjadi kenangan buat peminat lama? Terdapat begitu banyak motosikal replika perlumbaan yang telah dilengkapi dengan skema warna dan kemasan grafik yang hampir sama, malah ada yang benar-benar mirip dengan jentera perlumbaan yang sebenar, namun, hanya segelintir sahaja yang tampak benar-benar cantik, dan kami senaraikan antara yang terbaik di antaranya. Ada kami tertinggal motosikal kegemaran anda? Anda nilaikannya sendiri.

1. Sebarang motosikal Yamaha dengan “Speed Blocks”

Skema warna kuning dan hitam “Speed Blocks” cukup sinonim dengan Yamaha sehinggakan sekiranya anda menanggalkan ke semua stiker dan logo jenama, ianya masih lagi akan dikenalpasti oleh orang ramai. Ianya bermula pada tahun 1972 sebagai satu pelaksaan penjenamaan perlumbaan dan ianya adalah hasil kejayaan “King” Kenny Roberts yang menjadikannya antara salah sebuah skema warna yang paling dikenali ramai. (Roberts berjaya meraih gelaran AMA Grand National Champion pada tahun 1973 dan 1974, Juara Dunia Motorcycle Grand Prix dari tahun 1978 hingga 1980.)

Yamaha telah ‘mengeluarkan’ rekaan “Speed Blocks” bagi model RD400 pada tahun 1977, beserta pada beberapa buah model istimewa selepas itu, dan rekaan tersebut teramatlah popular, sehinggakan pemilik Yamaha, tidak kiralah apa jenis motosikal sekali pun,akan kerap kali mengubahsuai motosikal mereka ke skema warna ini.

2. MV Agusta F3 657 RC dan F3 800 RC

Tahun 2016 adaah tahun yang baik sekali buat MV Agusta dalam siri perlumbaan World Supersport Championship (WSSP), di atas jentera tiga silinder F3 mereka, lalu, mereka memutuskan untuk memasrkan model replika perlumbaan F3 657 RC dan F3 800 RC (RC adalah singkatan untuk Reparto Corse, frasa kati dalam bahasa Itali yang secara mudahnya boleh diterjemahkan sebagai jabatan perlumbaan).

Namun begitu, kemasan grafik 2018 yang diolah semulalah yang telah mendapat sambutan yang hangat. Setiap jalur garisan telah direka untuk menonjolkan lagi rupa bentuk F3 yang ramping dan agresif. Skema ‘Tricolore’ diolah dengan baik sekali, tanpa ianya menjadi agak keterlaluan, menonjolkan warisan Italinya itu tanpa terlalu menjolok mata.

3. Ducati 900 MHR (Mike Hailwood Replica)

Gabungan warna merah dan hijau adalah gabungan yang saling melengkapi. Sebagai warna perhiasan, ianya gabungan yang klasik sekali, sebagai contoh, ianya adalah warna tradisi sambutan Hari Natal. Namun begitu, warna ini sering kali tidak mengena jika digunakan sebagai skema warna automotif. Kecuali sekiranya jentera tersebut merupakan jentera buatan Itali. Dan kami tidak maksudkannya seperti penggunaan skema warna klasik bendera Itali, ‘Tricolore’, yang mana ianya selalunya digunakan dengan minima di seluruh badan jentera, tetapi kami maksudkan dengan penggunaan warna itu sebagai motif utama pada panel besar pada badan jentera.

Ducati 900 MHR (sumber imej: Pinterest.com)

Namun begitu, ianya menjadi pada jentera Ducati 900 Mike Hailwood Replica (MHR) 1979, yang mana telah dicipta oleh Ducati setelah kemenangan Mike yang mengemudi jentera tersebut di perlumbaan Isle of Man TT. Skema tersebut cocok sekali dengan jentera tersebut padahal gabungan warna tersebut sepatutnya tidak. Cuba anda bayangkan skema warna tersebut pada sebuah Panigale untuk memahami maksud kami.

4. Honda RC30

Motosikal Honda VFR750R – atau lebih dikenali sebagai RC30 – telah dihasilkan oleh Honda Racing Corporation (HRC) sebagai sebuah model homologasi untuk perlumbaan motosikal superbike. Dan atas sebab itu, motosikal 750cc V4 ini adalah sebuah keajaiban teknologi, mencerminkan keinginan Honda untuk mendominasi kejohanan tersebut. Ia juga merupakan sebuah motosikal yang amat mahal sewaktu ianya mula dilancarkan. Fred Merkel mengemudinya bagi memenangi kejohanan World Superbike Championship pada tahun 1989.

Honda RC30 (sumber imej: half-mag.com)

Motosikal ini bukan sahaja amat pantas dan lengkap dengan teknologi terkini pada zaman tersebut, ianya juga amat mempersonakan. Kombinasi warna putih, biru, merah yang digunakan Honda untuk jentera ini, kemudiannya berlatarbelakangkan roda yang berwarna putih salju itu cukup ikonik sekali. Sudah 31 tahun telah berlalu, namun, ianya masih tampak segar. Hanya 3,000 buah unit yang telah dibina.

5. Rothmans Honda

Merokok membahayakan kesihatan. Tamat sudah khidmat nasihat kami. Namun, tidak dapat dinafikan, di antara skema warna terbaik, ada sesetengah daripadanya mempunyai kemasan warna penaja syarikat tembakau

Zaman kegemilangan dominasi perlumbaan Honda adalah sewaktu jentera mereka mempunyai kemasan warna Rothmans. Begitu banyak motosikal dan juara muncul pada era di mana syarikat tembakau menaja perlumbaan, juara seperti Freddie Spencer, Wayne Gardner, Eddie Lawson, Mick Doohan, mengemudi jentera Honda dalam siri perlumbaan GP 500. Namun, ianya bukan sahaja perlumbaan motosikal sahaja yang ditaja oleh Rothmans, tetapi, pelbagai siri kejohanan perlumbaan seperti Kejohanan Porsche di Le Mans dan Rali Paris-Dakar.

Tema warna penaja tersebut juga diterapkan pada motosikal replika perlumbaan, termasuklah motosikal NSR250R SP yang muncul dalam filem popular Hong Kong, Full Throttle, yang dibintangi Andy Lau.

Honda NSR250R (sumber imej: CMPixels.com)

6. Lucky Strike RGV250

Sebuah lagi jentera perlumbaan tajaan syarikat tembakau tetapi motosikal-motosikal inilah antara motosikal tercantik. Atau mungkinkah ianya disebabkan umur penulis ini?

Lucky Strikes telah memulakan penglibatan mereka dalam GP Dunia 500cc dengan menaja pasukan pengilang Yamaha, yang mana penunggangnya adalah Wayne Rainey dan Kevin McGee. Rainey telah memenangi kejohanan tersebut pada tahun 1990.

Suzuki RGV250 Lucky Strike (umber imej: motorcyclespecs.co.za)

Namun, Lucky Strike lebih dikenali sewaktu mereka menaja pasukan Suzuki, dan penunggangnya adalah tidak lain dan tidak bukan, seteru sengit Rainey, penunggang tinggi lampai dari Texas, Kevin Schwantz. Walaupun Rainey merupakan penunggang yang lebih berjaya dalam persaingan mereka dengan kemenangan kejohanan tiga tahun berturut-turut, Schwantz ternyata lebih ‘liar’, memberikan pertunjukan dan hiburan buat jutaan peminat di seluruh dunia dan meninggalkan kesan mendalam kepada bakal juara dunia, Valentino Rossi.

Skema warna Lucky Strike kekal bersama Schwantz sepanjang kerjayanya, sehingga tahun kemenangan kejohanannya pada tahun 1993 dan sewaktu persaraannya pada tahun 1994.

Suzuki telah menghentikan pengeluaran motosikal RG500 yang sangat berkuasa beberapa tahun sebelum itu dan jentera dua lejang yang paling hampir adalah RGV250 Gamma. Jadi, pengeluar yang bertapak di Hamamatsu itu telah melengkapi motosikal itu dengan kemasan warna Lucky Strike tersebut bermula dari tahun 1992. Dan seperti mana skema warna “Speed Blocks” dikaitkan dengan Yamaha, begitu juga dengan skema warna Lucky Strike ini dengan Suzuki, sehinggakan begitu banyak motosikal Suzuki disematkan dengan dua perkataan tersebut dalam bulatan berwarna perang keemasan. Kebanyakan pemilik RGV250 juga telah mengubahsuai skema warna jentera bagi meniru jentera milik Schwantz.

7. Kawasaki Z1000R ELR

Kita lupakan seketika mengenai Kawasaki Z900RS, Ya, betul, ianya merupakan pewaris rohani bagi motosikal legenda, Z 1972, dan merupakan sebuah motosikal yang menakjubkan, namun, motosikal replika perlumbaan yang tercantik sekali sudah semestinya KZ1000R 1982.

Kisahnya bermula pada tahun 1981 dengan motosikal-motosikal KZ1000j (versi Z1 yang ‘sado’) yang tidak terjual. Pada waktu tu, Eddie Lawson baru sahaja memenangi Kejohanan Superbike AMA dan Mike Vaughn, Pengarah Pemasaran Kawasaki di Amerika Syarikat mengusulkan kepada Kawasaki untuk membina sebuah replika perlumbaan Eddie Lawson, Kawasaki bersetuju dan mereka telah membina motosikal KZ1000R menggunakan motosikal KZ1000J sebagai model asas dengan bahagian-bahagian yang diambil dari motosikal GPz1100.

Kawasaki KZ1000R ELR

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Dipendekkan cerita, motosikal KZ1000R ELR (Eddie Lawson Replica) tampak cocok sekali dengan rekabentuk motosikal superbike sejukan udara, dilengkapi lagi dengan warna ‘lime-green’ yang sinonim dengan Kawasaki, beserta dengan jalur garis putih dan biru; bersama dengan pelana dan ekzos ‘4-into-1’ berwarna hitam Kerker. Dan tema inilah yang telah diterapkan pada motosikal Café Racer Z900RS.

8. BMW R90S

BMW berhadapan dengan satu masalah pada awal tahun 1970-an. Orang awam pada ketika itu telah mengaitkan imej motosikal BMW sebagai sebuah motosikal yang bosan, yang lebih sesuai untuk mereka yang lebih tua.

BMW telah mendapatkan khidmat Hans Muth untuk merekabentuk sebuah motosikal lumba. (Hans Muth juga bertanggungjawab di atas rekaan motosikal Suzuki Katana pada tahun 1979, yang mula dihasilkan pada tahun 1981.)

Hasilnya adalah sebuah motosikal R90S pada tahun 1973.

BMW R90S (sumber imej: MCN)

BMW telah mengambil langkah yang seterusnya dengan menyertakan motosikal tersebut dalam perlumbaan Superbike AMA di Daytona International Speedway pada tahun 1973, di mana Steve McLaughlin telah memenanginya, diikuti oleh Reg Pridmore. Pridmore kemudiannya memenangi Kejohanan Superbike AMA 1976. BMW kemudiannya telah menghasilkan R90S dalam skema warna Daytona Orange bagi memperingati kemenangan tersebut.

Sejumlah 17,455 buah unit R90S telah dijual di antara tahun 1973 hingga 1976. Jelas sekali, motosikal R90S ini telah menjadi inspirasi kepada ketua pereka BMW, Ola Stenedard dan Roland Sands, yang telah mencipta Concept 90, yang kemudiannya telah membuahkan motosikal BMW R nineT pada tahun 2013. Tetapi, sudah pasti, pewaris sebenarnya adalah motosikal R nineT Racer 2017.

9. Suzuki Barry Sheene

Barry Sheene adalah juara Grand Prix kelahiran British terakhir sebelum munculnya Danny Kent pada tahun 2015. Lebih dikenali di England sebagai “Bazza”, dia telah berjaya merangkul kejohanan World Motorcycle Grand Prix pada tahu 1976 dan 1977 di atas jentera Suzuki RG500.

Sebahagian daripada aksinya telah melonjakkan namanya ke status legenda, seperti kemalangan selaju 280km/j di atas jentera Suzuki XR11 di Daytona pada tahun 1975. Dia telah mengalami kecederaan patah tulang femur, lengan, selangka, retak beberapa tulang belakang, dan tersiat kulit belakangnya. Dia kembali berlumba tujuh minggu selepas kemalangan tersebut dan memenangi perlumbaan GP pertamanya selepas kemalangan tersebut sembilan minggu selepas kemalangan itu.

Sama hebat status legendanya seperti penunggang yang mengemudinya adalah jentera RG500 “XR14” dan “XR22”. Ianya didatangkan dalam dua warna asas, merah dan putih, dihiasi dengan garisan berwarna kuning dan hitam. Secara rasminya, Suzuki tidak pernah menghasilkan replika perlumbaan dengan skema warna ini, namun, seperti mana utuhnya sesuatu legenda, begitu jugalah halnya dengan skema warna ini, di mana para pemilik sendiri akan mengubahsuai jentera mereka dengan skema warna replika Barry Sheene.

10 Ducati 888 SP5

Walaupun motosikal Ducati 888 bukanlah motosikal yang pertama yang memecahkan dominasi pengeluar Jepun dalam perlumbaan Superbike, ianya motosikal Ducati yang terakhir berbentuk ‘berpetak’ (dan juga bingit) sebelum mereka menukar rekabentuk yang tajam dengan pengenalan motosikal Ducati 916. Di mana motosikal lain tampak agak lantang dengan kemasan grafik yang menonjol, motosikal replika perlumbaan 888 SP5 hanya menggunakan rekaan dengan reraup ‘slab sided’ yang besar diliputi warna merah dan bahagian ekor yang bernombor berwarna putih. Dapra hadapan berwarna hitam karbon menyerlahkan lagi skema warna merah motosikal tersebut.

Ringkas, namun, menawan.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply