Husqvarna 701 Vitpilen 2018 Akan Tiba Di Tanah Air Kita?

  • Khabar angin mengenai motosikal Husqvarna 701 Vitpilen 2018 telah tersebar berikutan berita mengenai kemungkinan pelancaran rangkaian 401 yang baru.
  • Motosikal 701 Vitpilen yang baru telah pun tersedia bagi pasaran Eropah dan ianya dengan pantas menjadi bualan hangat di kalangan penggemar motosikal.
  • Dengan rekabentuk yang cantik dan spesifikasi yang tercanggih, harga bagi pasaran UK adalah £8,999 (RM49,807).

Husqvarna kini semakin hampir dapat menembusi pasaran motosikal jalan raya. Dengan pengenalan motosikal Husqvarna 401 Vitpilen dan 401 Svartpilen 2018, telah timbul beberapa pertanyaan di minda. Antara persoalan tersebut adalah, bilakah motosikal 401 ini akan tiba di Malaysia dan adakah mereka juga akan turut membawa masuk motosikal 701 Vitpilen?

Kami telah melaporkan pada tempoh hari mengenai kemungkinan pelancaran motosikal-motosikal 401 ini di tanah air kita dalam masa yang terdekat. Walaupun kami berasa amat teruja mengenai jentera ‘neo-retro’ ini, pada masa yang sama kami turut tertanya-tanya mengenai saudaranya yang lebih besar, 701 Vitpilen. Pada waktu ini, motosikal jalan raya, 701 Vitpilen yang baru itu telah boleh didapati bagi pasaran Eropah dan kebanyakan warga media permotoran di benua itu telah mula menunggang uji jentera terbaru tersebut.

Tanggapan awal membayangkan yang motosikal 701 Vitpilen ini tidak syak lagi merupakan sebuah jentera yang menakjubkan jika dilihat sahaja pada spesifikasinya. Dilengkapi dengan salah sebuah enjin satu silinder terbesar di dunia, enjin sejukan cecair 692.7cc tersebut dikatakan mampu menghasilkan sehingga 75hp dan 72Nm tork maksimum pada 6,750rpm. Dilengkapkan juga dengan sistem pendikit ‘Ride-by-Wire’, agihan kuasanya adalah selancar dan sehalus yang boleh dilakukan mana-mana motosikal jalan raya.

Ciri standard menakjubkan yang lain termasuklah pakej suspensi WP yang boleh dilaras sepenuhnya, kelengkapan brek keseluruhan Brembo, sistem kawalan cengkaman, ‘easy shifter’ dwi-arah, dan senggang masa antara penyelenggaraan yang panjang, iaitu 10,000km, ke semuanya dilengkapkan dalam pakej yang amat menggiurkan ini. Unit ABS terkini juga telah dilengkapkan bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan motosikal ini, namun, ianya dapat dimatikan bagi penunggang yang lebih pakar.

Motosikal Husqvarna 701 Vitpilen 2018 ini telah pun ditetapkan harganya bagi pasaran UK, pada harga £8,999 (RM49,807, selepas pertukaran terus matawang). Sekiranya motosikal ini tiba di Malaysia, anggaran harga terbaik bagi motosikal 701 Vitpilen ini adalah di antara RM60,000 hingga RM70,000. Jika ianya melebihi paras itu pasti sukar untuk menyaingi motosikal lain dalam kategori yang sama.

Berkenaan bila ia akan tiba pula, ada beberapa sumber yang mengandaikan yang ianya mungkin tiba di tanah air kita ini pada separuh kedua tahun ini. Apa yang pasti, motosikal Husqvarna 701 Vitpilen ini cukup cantik sekali.

Husqvarna 401 Vitpilen dan 401 Svartpilen 2018 Akan Dibawa Masuk Ke Malaysia?

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]