- Skuter Honda Forza 300 2018 yang baru telah diperkenalkan untuk pasaran Eropah.
- Diperkemaskini dengan casis yang lebih ringan serta rekabentuk yang lebih ‘sporty’, skuter Forza 300 yang baru ini menjanjikan prestasi yang lebih hebat dalam segenap aspek.
- Ciri-ciri lain termasuk kawalan cengkaman, lampu LED sepenuhnya, sistem Smart Key, ABS dwi saluran, dan bermacam-macam lagi.
Skuter Honda Forza 300 2018 terkini baru sahaja diperkenalkan dan versi yang telah diperkemaskini ini lebih dari sekadar sebuah model dengan kemasan warna yang baru. Bagi tahun 2018, skuter Forza 300 ini adalah sebuah jentera yang lebih radikal, yang mana ianya lebih ringan, lebih kompak, ‘sporty’, dan dilengkapi dengan kelengkapan elektronik yang mengagumkan.
Honda telah merekabentuk sebuah kerangka serba baru bagi skuter Forza 300 2018 ini, yang mana ianya lebih ringan dari sebelumnya. Casis yang baru itu adalah sebanyak 12kg lebih ringan dan ini telah meletakkan berat skuter terkini itu pada 182kg, secara keseluruhannya.
Digandingkan dengan jarak antara roda yang lebih pendek dan geometri penunggangan yang dipertingkatkan, skuter Honda terbaru ini menjanjikan tahap kelincahan yang lebih hebat. Berbanding dengan skuter Honda NS300, Forza 300 terkini ini 10kg lebih ringan.
Rekabentuk yang barunya itu juga lebih ramping berbanding pendahulunya, yang mana ianya tidak akan menyukarkan penunggang yang lebih pendek, lebih-lebih lagi dengan penambahan ketinggian pelana sebanyak 63mm. Ini dapat membantu dalam meningkatkan keterlihatan sewaktu berada di atas jalan raya dan juga kebolehtunggangannya semasa menyelusuri kesesakan lalulintas.
Menjana jentera baru ini adalah sebuah enjin satu silinder, sejukan cecair, 279cc, yang menghasilkan skitar 25hp pada 7,000rpm dan 27.2Nm tork maksimum apabila mencecah 5,750rpm. Dari segi prestasi, skuter Honda Forza 300 2018 ini mirip dengan Honda NS300 yang boleh didapati di Malaysia pada harga RM30,727.28 (harga asas beserta GST).
Honda mendakwa yang skuter Forza ini mampu mencecah kelajuan tertinggi hampir 130km/j. Digabungkan dengan tangki bahanapi 11.5 liter (0.1 kurang berbanding Honda NS300), skuter ‘sporty’ terbaru ini mampu merentasi jarak melebihi 320km dengan mudah sekali.
Kemaskini menarik yang lain termasuklah Honda Selectable Torque Control (HSTC), lampu LED sepenuhnya, sistem Smart Key, ruangan simpanan bawah pelan besar yang mampu merumahkan dua buah helmet ‘fullface’, soket pengecas 12V, ABS dwi saluran, skrin boleh laras elektrik, di samping kelengkapan menarik yang lain.
Buat masa ini, tiada sebarang berita mengenai harganya di tanah air kita, namun, ianya akan disediakan dalam empat pilihan warna yang berbeza; Crescent Blue Metallic, Pearl Nightstar Black, Matte Cynos Grey Metallic, dan Matte Pearl Cool White.