- Sebuah motosikal buatan khas Bajaj Pulsar RS200 telah ditukar menjadi sebuah motosikal yang berilhamkan motosikal Kawasaki H2.
- Pembina motosikal buatan khas dari Vietnam, Leeat Moto merupakan pembina yang bertanggungjawab bagi motosikal buatan khas ‘Bajaj Pulsar RS2’ ini.
- Sebahagian daripada kelengkapan buatan khasnya adalah reraup serba baru, fork hadapan Ohlins, ekzos Akrapovic, dan bermacam-macam lagi kelengkapan yang lain.
Dengan peningkatan populariti sebuah motosikal berkapasiti kecil, Modenas Pulsar RS200, telah ada beberapa orang yang telah memberikan sentuhan peribadi tersendiri bagi menjadikan motosikal tersebut lebih cantik dan juga unik. Seringkali kita lihat proses ini melibatkan kemasan warna yang tersendiri, stiker dan pengemaskinian pada bahagian belakangnya, namun, ada yang mengambil langkah yang lebih berani dalam mengkhususkan motosikal mereka.
Sebagai contoh, Leeat Moto, dari Vietnam. Atas rasa minat yang mendalam terhadap motosikal hyperbike Kawasaki Ninja H2, bengkel berkenaan telah memutuskan bahawa mereka boleh menjadikan sebuah motosikal kelihatan mirip seperti motosikal tersebut pada suku dari belanjanya. Diilhamkan dari jentera yang dicas lampau yang mengagumkan itu, bengkel tersebut telah menggunakan sebuah Bajaj Pulsar RS200 dan mengubahsuai rupabentuk keseluruhannya. Dan pada pandangan kami, ia tampak mengancam sekali.
Digelar Pulsar RS2, keseluruhan bahagian hadapannya telah diubahsuai secara besar-besaran dengan reraup buatan khas yang dilengkapi dengan lampu hadapan LED dan juga DRL (Daylight Running Light). Bagi melengkapkan lagi rupa bentuknya, motosikal bajaj Pulsar RS200 H2R ini dilengkapkan dengan sepasang fork terbalik (USD) Ohlins dan penghadang angin yang tinggi untuk disuaikan dengan profilnya yang baru dan lebih agresif itu.
Profil sisi dikekalkan dalam keadaan yang agak standard kecuali untuk kerangka trellis tiruan bagi menjadikan lebih mirip sebuah H2. Dengan beberapa kemasan jalur berwarna hijau, bahagian belakangnya telah diperkemaskan lagi dengan lampu belakang terterap. Bagi melengkapkan rupa paras motosikal superbikenya itu, ekzos sisi Akrapovic telah dipasang bagi menjadikan motosikal tersebut kelihatan lebih garang.
Walaupun motosikal buatan khas Bajaj Pulsar RS200 ini tidaklah kelihatan benar-benar serupa seperti sebuah H2, kami andaikan yang pembinanya melakukannya dengan sengaja dengan tujuan yang ianya lebih kepada sebuah inspirasi dan bukannya tiruan semata-mata.
Satu usaha yang baik dari pembina dari Vietnam tersebut.
https://youtu.be/-VIWTx2EHr8