- WorldSBK musim 2018 akan bermula pada hujung minggu ini dari 23 hingga 25 Februari 2018.
- Pusingan pembukaan Yamaha Finance Australia telah secara rasminya dilancarkan di Litar Phillip Island Grand Prix.
- Perlumbaan 1 akan bermula pada hari esok (Sabtu), dari jam 12 tengah hari waktu tempatan, dan Perlumbaan 2 pada hari Ahad pada waktu yang sama.
Bersiap sedialah tuan-tuan dan puan-puan! WorldSBK musim 2018 bakal bermula pada hujung minggu ini dan ianya menjanjikan perlumbaan yang amat mengujakan. Litar Phillip Island Grand Prix yang ikonik bakal menjadi tuan rumah untuk pusingan pembukaan Yamaha Finance Australia di mana para penunggang superbike akan bersaing sesama mereka.
Dengan pelbagai peraturan baru yang diperkenalkan pada tahun ini, perlumbaan FIM Superbike World Championship pasti akan lebih sengit lagi dengan lapangan yang lebih setara bagi memberi peluang kepada pengeluar yang lain untuk menyaingi Kawasaki dan Ducati.
Setiap pasukan telah diberi masa di atas jentera 2018 mereka beberapa hari yang lalu bagi menyempurnakan atur cara jentera mereka untuk musim ini. Dan seperti yang dijangkakan, Jonathan Rea dari pasukan Kawasaki Racing Team (KRT) berjaya menduduki tempat teratas catatan masa di atas jentera perlumbaan Kawasaki Ninja ZX-10RR, di hadapan penunggang pasukan Ducati Aruba.it, Marco Melandri.
Tom Sykes tampak lebih bersedia pada tahun ini dengan catatan masa ketiga terpantas sewaktu ujian hujung minggu yang lalu. Penunggang seterusnya yang berada di P4 adalah Eugene Laverty (Milwaukee Aprilia), di atas jentera RSV4 RF. Dia telah mengagumkan ramai orang apabila berjaya mengemudi jentera Aprilianya dalam jarak masa di bawah setengah saat di belakang pendahulu sewaktu sesi ujian tersebut.
Chaz Davies (Aruba.it Racing – Ducati) nampaknya telah menghadapi masalah dengan jentera Ducati Panigale R pada hujung minggu lalu. Dia telah menamatkan sesi ujian tersebut di P11 dengan catatan masa satu saat di belakang juara dunia tahun lalu, Jonathan Rea. Rea dan Davies adalah seteru sengit pada tahun lalu dan berdasarkan keputusan ujian pada hujung minggu lalu, ianya nampak jauh berbeza sekali dari sebelum ini.
Latihan Bebas telah pun bermula pada pagi ini dimana sesi kelayakan Superpole akan bermula esok (24 Februari 2018) pada jam 9.30 pagi waktu tempatan. Perlumbaannya bakal bermula dengan Perlumbaan 1 pada hari Sabtu dan pada hari Ahad, Perlumbaan 2 pada jam 12 tengah hari waktu tempatan selepas berakhirnya perlumbaan WorldSSP yang bermula pada jam 10.30 pagi.
Sumber imej: WorldSBK
WorldSBK: Ducati Perkenalkan Jentera Perlumbaan Ducati Panigale V-Twin Terakhir!