- Tech3 tidak akan terus kekal sebagai pasukan satelit Yamaha pada tahun 2019.
- Ketua pasukan, Herve Poncharal, mengatakan bahawa dia telah diberikan satu tawaran yang istimewa.
- Dia bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang maklumat tambahan.
Dua hari yang lalu, warga Malaysia keseluruhannya telah menyambut gembira berita pengesahan Hafizh Syahrin sebagai penunggang bagi pasukan Monster Yamaha Tech3 untuk musim ini, menjadikannya penunggang negara pertama dalam kelas premier MotoGP. Namun, cerita mengenai pasukan Monster Yamaha Tech3 ini mempunyai satu perkembangan yang baru semalam. Pasukan tersebut telah mengumumkan bahawa mereka akan berpisah dengan Yamaha bermula dari musim 2019 MotoGP.
Diumumkan bersama dengan pasukan pengilang tersebut, ketua pasukan, Herve Poncharal, telah mengatakan bahawa, “Kami telah ditawarkan dengan satu perjanjian, dan ianya sesuatu yang telah kami nantikan sejak kami mulakan pasukan Tech3 dan saya tidak dapat berkata tidak padanya.”
“Perjanjian…yang telah mereka nantikan…?”
Meneliti sebaran akhbar dalam MotoGP.com, tiada sebarang maklumat tambahan mengenai apa yang dimaksudkan Poncharal, dan ianya merupakan satu lagi teka-teki dalam saga ini.
Teori kami tentang apakah yang telah ditawarkan kepada Poncharal adalah dia telah ditawarkan untuk mengendalikan sebuah pasukan pengilang penuh. Jika ini adalah jawapannya, terdapat beberapa buah calon yang ada di luar sana: KTM atau pun Aprilia. Mungkin sekali ianya adalah Suzuki. Atau mungkinkah ianya sebuah pasukan satelit Honda? Adakah Poncharal akan berpindah ke pesaing paling rapat Yamaha setelah bersama mereka selama 20 tahun?
Dan dengan semua teka-teki ini, anda pasti ingin mengetahui nasib penunggang negara kita, Hafizh Syahrin, untuk tahun 2019. Hafizh ada menyebut sewaktu sidang akhbar tempoh hari bahawa kontraknya bersama pasukan tersebut adalah untuk musim 2018 sahaja, buat masa ini. Namun, walau apa pun jua kesudahannya nanti, kami berharap dan berdoa yang Hafizh akan dikekalkan untuk musim seterusnya, tidak kiralah jentera atau pasukan mana menjadi pilihan Poncharal.
Jika Yamaha tidak dapat mencari pengganti atau kumpulan yang boleh mengendalikannya, mereka tidak akan mempunyai pasukan satelit bagi musim 2019.