Ujian MotoGP Rasmi Sepang 2018: Laporan Pertengahan Hari, Hari Kedua

Sumber imej: MotoGP
  • Hari Kedua Ujian MotoGP Rasmi Sepang 2018 bermula di bawah terik cahaya matahari.
  • Hanya tiga orang penunggang sahaja telah mencatat masa di bawah 2:00 minit buat masa ini.
  • Pertarungan tiga penjuru di antara Ducati, Honda, dan Yamaha diteruskan pada masa ini.

Hari Kedua untuk Ujian MotoGP Rasmi Sepang 2018 bermula di bawah terik pancaran sinar matahari dengan cuaca yang panas, memberikan peluang kepada para pasukan untuk merekodkan data yang berguna.

Setakat jam 1500 (3 petang), Valentino Rossi (Yamaha), Andrea Dovizioso (Ducati), dan Marc Marquez (Honda) telah bertukar-ganti mencatatkan masa yang terpantas.

Rossi telah memegang rekod masa terpantas dengan catatan 1:59.766 ketika bermulanya jam ini, namun telah dipintas oleh Dovizioso dengan catatan masa 1:59.732, 0.034 saat lebih pantas. Marquez, yang mula menguji motosikal 2018 pada hari ini, mencatat masa terpantasnya, 1:59.988.

Sumber imej: MotoGP

Lebih menarik lagi adalah di bahagian manakah di atas litar Rossi lebih pantas berbanding Dovizioso. Rossi terpantas di sektor 1, 3, dan 4. Dovi pula lebih pantas berbanding Rossi di Sektor 2.

Rujuk pada gambarajah Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di bawah.

 

Sektor 1 (kuning) adalah dari garisan Mula/Tamat hingga ke keluar dari Selekoh 3, Sektor 2 (merah) pula bermula dari keluar Selekoh 3 hingga sebelum masuk Selekoh 7, Sektor 3 (hijau) adalah dari Selekoh 7 hingga ke mula Selekoh 13, dan Sektor 4 (kelabu) adalah dari Selekoh 13 ke garisan Mula/Tamat

Setakat ini, ianya menunjukkan yang jentera baru Yamaha tersebut lebih pantas di bahagian berselekoh lebih tajam pada Sektor 1 dan 3, membolehkan penunggang membawa kelajuan tersebut ke Sektor 4.

Sektor 2 terdiri daripada sebuah jalan lurus yang ke Selekoh 4, kemudiannya selekoh yang lebar di Selekoh 5 dan 6, sebelum pecutan pendek ke Selekoh 7. Catatan masa Dovi bagi Sektor 2 adalah 27.339 saat, berbanding dengan catatan masa Rossi, 27.577 saat.

Sumber imej: MotoGP

Seperti yang telah kami nyatakan sebelum ini, ianya adalah sekadar permulaan pada waktu ini dan para penunggang pasti akan mencatatkan masa yang lebih pantas pada masa yang lebih lewat hari ini.

Juga perlu diingatkan bahawa para penunggang dan pasukan bukan sekadar menguji motosikal itu sahaja, malah ianya adalah satu ujian yang penting buat para pembekal komponen-komponen yang lain seperti elektronik, suspensi, brek, tayar, sistem ekzos, minyak dan bendalir di dalam motosikal: kelengkapan menunggan seperti helmet, sarung tangan, sut, but, dan bermacam-macam lagi peralatan dan kelengkapan yang lain.

Sumber imej: MotoGP

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]