Diuji: Blaze 100 Petron – Adakah Ia Memberi Perbezaan Pada Motosikal Anda?

Sejujurnya, kebanyakan daripada kita tidak endah langsung mengenai sifat molekular minyak petrol yang kita gunakan. Kita lebih didorong oleh harga minyak petrol dan oleh kerana itu, kebanyakan daripada kita mengambil mudah hal ini dengan memilih minyak petrol RON 95 yang lebih murah. Ada di kalangan kita yang sekali sekala mengisi motosikal kesayangan dengan minyak petrol RON 98 atau pun V-Power Racing Shell dengan tanggapan yang tidak benar yang ianya akan ‘membersihkan’ enjin.

Ya, ianya satu tanggapan yang tidak benar kerana ianya bukanlah tugas minyak petrol untuk membersihkan enjin, tetapi minyak pelincir. Apa yang pasti mengenai kebanyakan warga Malaysia yang sangat peka dengan harga semasa minyak Petrol (yang sering kali berubah saban minggu), ialah mereka sering memilih minyak petrol yang lebih murah bagi menjimatkan duit mereka. Tetapi, adakah yang murah itu lebih baik untuk motosikal anda?

Petron baru-baru ini telah menjemput kami menyertai tunggangan hampir sejauh 1000km ke Pulau Pinang dan pulang ke Kuala Lumpur melalui beberapa hentian yang terpilih bagi menguji minyak petrol Blaze 100 mereka. Satu-satunya syarat yang ditetapkan adalah kami perlu membawa motosikal kami sendiri, atau motosikal yang kami sudah biasa tunggangi, serta tangkinya mestilah hampir kosong sewaktu pertemuan di stesen minyak Petron di MRR2 berdekatan Selayang.

Saya tidak mahu menunggang mana-mana motosikal saya kerana salah sebuah daripadanya hanyalah bertangki sebesar 8 liter dan sebuah lagi berbekalkan tayar Pirelli Super Corsa yang lama, yang mana tidak sesuai untuk perjalanan jauh ini. Jadi, saya telah meminjam sebuah motosikal yang mana telah saya tunggangi buat beberapa kali dan kenal dan sifat dan perwatakannya – motosikal Triumph Tiger XCx.

Tinggi dan selesa beserta dengan enjin tiga silinder yang merdu, dengan kawalan bersiar juga, motosikal XCx ini dikatakan sebagai salah sebuah motosikal dwi-sukan terbaik dalam pasaran. Dan bahagian terbaik pada motosikal ini tidak syak lagi adalah enjinnya. enjin tiga silinder 800cc ini kaya dengan daya kilas dan gemar untuk me’rev’, menjarakkan diri dari kereta yang mengekori rapat semudah memulas pendikit, tidak perlu menukar ke gear yang lebih rendah. Kadang kalanyalah. Satu-satunya kelemahannya adalah enjinnya kerap kali ‘dahagakan’ minyak petrol jika anda bersiar pada kelajuan malar 150-160km/j. Apa sekali pun, anda tidak sepatutnya bersiar dalam kelajuan sebegitu.

“Kami harap anda akan menikmati penunggangan ini dan rasakan perbezaan yang ditawarkan oleh minya petrol RON 100,” kata salah seorang wakil Petron sebelum berlepas.

Kami memulakan perjalanan pada sekitar jam 9.15 pagi, dengan setangki penuh minyak petrol Petron Blaze 100 (nama rasminya), menunggang menuju R&R Tapah yang mana kira-kira 150km dari tempat permulaan kami.

Minyak petrol Blaze 100 Petron ini didakwa akan memberikan motosikal anda lebih kuasa kerana ianya menggunakan formula khas yang memberikannya kelebihan berbanding minyak petrol yang lain – ianya digelar “Tri-Action Advantage Formula”.

Formula ini kedengaran seperti bait kata pemasaran yang sering kali digunakan bagi memancing anda untuk mempercayai yang minyak petrol ini lebih baik dari yang lain. Tetapi, ianya lebih daripada sekadar sebuah helah pemasaran, ia datang dengan penerangan saintifik yang benar.

Formula ini menjanjikan “Kuasa yang lebih baik, perlindungan enjin yang lebih baik, dan perbatuan yang lebih baik” dan ia telah memenuhi janji ini dengan menggunakan detergen molekular yang membersih dan mengekalkan kebersihan enjin yang kotor. Jangan salah anggap yang ianya seperti bahan cuci yang anda gunakan untuk mencuci pakaian pula, kerana ia adalah molekul yang memastikan saluran bahanapi anda bersih supaya minyak petrol dan mengalir dengan lancar dan tanpa gangguan. Bagaimana pun, ianya tidaklah membersihkan bahagian dalaman enjin anda seperti minyak pelincir, hanya sekadar melancarkan saluran bahanapi supaya bahanapi dapat mengalir tanpa ada sebarang zarah memperlahankannya.

Kemudian, ada pula “Friction Modifier”, yang mengurangkan geseran dalam kebuk omboh bagi memastikan yang omboh tersebut berfungsi dengan sepatutnya tanpa sebarang zarah mengganggunya. Dan akhir sekali, terdapat “Combustion Enhancer”, yang memberikan anda kuasa kerana ianya secara asasnya memastikan setiap molekul bahanapi dalam kebuk omboh terbakar sepenuhnya bagi mengelakkan pembaziran. Dan apabila minyak petrol lebih mudah terbakar, letusan tenaga yang terhasil akan mengerjakan omboh dengan lebih kuat, dan memberikan anda lebih kuasa.

Itulah asas bagaimana minyak petrol RON 100 Petron berfungsi, malah, kajian syarikat berkenaan telah mendapati yang minyak petrol RON 100 memberikan peningkatan kuasa sebanyak 6.3%, dan peningkatan daya kilas sebanyak 2.95%. Kajian ini telah dijalankan ke atas kereta di UK namun ianya juga relevan untuk motosikal. Satu lagi kajian di UK menunjukkan peningkatan dalam masa pemecutan sebanyak 3.7%, peningkatan kelajuan tertinggi sebanyak 2%, dan satu ujian dyno menunjukkan peningkatan dalam kadar pemecutan sebanyak 2.9%.

Tetapi, adakah saya dapat merasakan perbezaannya sebaik sahaja saya menunggangi motosikal? Tidak. Tidak dengan serta merta.

Kami telah mengisi tangki kami sebanyak enam kali di sepanjang perjalanan ke Pulau Pinang dan kembali ke Kuala Lumpur. Dan walaupun ianya satu keperluan untuk kami menunggang mengikut had laju, saya pasti anda tahu apa yang berlaku sebenarnya.

Tetapi menurut kepada taklimat teknikal yang diadakan sewaktu majlis makan malam pada malam itu, seorang penunggang perlu mengisi tangkinya sehingga lapan kali sebelum benar-benar merasa kehebatan minyak petrol RON 100. Ini kerana minyak petrol yang lama perlu dipam keluar dari sistem secara menyeluruh, dan ianya mengambil masa bagi zarah mikro untuk sebati dalam enjin bagi membawa perubahan yang boleh dirasai. Jadi mengisi semula sebanyak lapan kali sebelum perbezaannya benar-benar dirasa tampak seperti jumlah yang selamat.

Bagaimana pun, saya perlu mengakui sesuatu – motosikal itu terasa lebih ringan, lebih mudah untuk di’rev’, dan lebih berdaya kilas, dan secara keseluruhannya, lebih berkuasa dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.

Dan pasti ada yang akan berkata bahawa “rasa” ini adalah satu benda yang subjektif, yang mana pasti berbeza mengikut individu, tetapi, sejujurnya, motosikal itu terasa lebih mudah untuk memecut. Dan ada ketikanya di mana pemandu bas secara tiba-tiba menukar ke laluan paling kanan tanpa memberikan isyarat, tidak menyedari akan kehadiran penunggang motosikal yang sedang dalam kelajuan yang tinggi. Pembrekan yang keras selalunya ditemani dengan penurunan gear yang pantas dan pemecutan bagi mengelak zon bahaya, tetapi, pada kali ini, bertukar dari gear enam ke gear lima sudah mencukupi, dan motosikal tersebut terasa cukup mudah untuk dipecut.

Secara mudahnya, tidak dapat dinafikan bahawa lebih tinggi RON sesebuah minyak petrol itu, lebih mudah untuk ia terbakar dan secara amnya, lebih berkuasa. Minyak petrol RON 100 Petron pada masa ini adalah minyak petrol paling berkuasa di Malaysia, lebih berkuasa berbanding dengan V-Power Racing Shell yang dikatakan adalah minyak petrol RON 98. Namun, ianya juga yang paling mahal dengan harga RM3 untuk seliter. Namun bagi motosikal superbike dengan saiz tangki biasanya itu, harga yang dibayar untuk bahanapi yang amat mengagumkan ini adalah satu jumlah yang kecil sahaja. Cubalah ia tetapi jangan harapkan perubahan dengan serta merta!

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply