- Azlan Shah merupakan Juara ARRC 600cc bagi musim 2017.
- Dia tidak mengalami sebarang kecederaan yang amat serius dalam kemalangan tersebut namun lidahnya memerlukan tujuh jahitan, selain kehilangan telefon serta wang.
- Azlan dijangka akan memulakan persiapan bagi musim 2018-nya dalam masa yang terdekat ini.
Juara Asia Road Racing Championship (ARRC) 600cc 2017, Azlan Shah telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada lewat semalam.
“Saya sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari Sunway. Jalan pada ketika itu sangat gelap dan saya secara tiba-tiba telah terlanggar sebuah lori. Saya serta merta tidak sedarkan diri dan mendapati diri sudah berada di dalam hospital sebaik sahaja saya sedar semula,” ujar penunggang berkenaan sewaktu bercakap dengan sebuah akhbar harian Malaysia, Berita Harian.
Orang awam telah mengejarkan Azlan ke Hospital Selayang setelah berlakunya kemalangan tersebut yang telah menyebabkan kerosakan teruk pada kereta Toyota-nya.
“Saya bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius, walaupun telah kehilangan telefon bimbit dan wang,” tambahnya lagi. Azlan telah menerima tujuh jahitan lidahnya oleh kerana luka yang agak dalam. “Saya tidak dapat kerap bercakap mahu pun makan kerana jahitannya ini. Buat masa ini hanya bubur sahaja yang boleh saya makan.”
Azlan akan menuju ke Litar Antarbangsa Chang di Buriram, Thailand untuk melakukan persiapan pra musimnya pada hari ini.
“Kemalangan ini tidak akan menjejaskan tumpuan saya dalam mempertahankan kejuaraan saya pada tahun ini. Kesungguhan serta motivasi saya tidak berubah dari tahun lalu. Ianya pasti akan lebih sengit lagi pada tahun ini tetapi saya percaya yang saya mampu memberi cabaran buat semua penunggang yang lain.”
Azlan akan menunggang bagi pasukan Manual Tech KYT Kawasaki Racing dari Indonesia untuk tahun ini.