- Motosikal Ducati Panigale V4 2018 dijangka tiba di Malaysia seawal bulan Mac 2018.
- Tempahan sudah mula dibuka bagi ketiga-tiga varian bermula dari Panigale V4 asas, Panigale V4 S hinggalah untuk motosikal edisi terhad, Panigale V4 Speciale.
- Ducati Petaling Jaya turut menganjurkan acara Ducati Red Weekend pertamanya pada 13 dan 14 Januari 2018 di mana anda boleh mengetahui dengan lebih lanjut mengenai motosikal V4 ini atau pun mana-mana model lain yang sedang dalam promosi.
Menurut khabar-khabar yang telah pun tersebar di atas talian internet, ramai penggemar yang berasa amat teruja menantikan kehadiran motosikal Ducati Panigale V4 2018. Berdasarkan sumber yang boleh dipercayai, motosikal superbike empat silinder pertama dari pengeluar Itali tersebut dijangka tiba di tanah air kita Malaysia seawal bulan Mac 2018.
Baru sahaja pada minggu lalu Ducati Pulau Pinang telah memuat naik pos di laman Facebook mereka yang mengatakan bahawa sudah membuka tempahan bagi motosikal Ducati Panigale V4 janaan enjin V4 1,103cc Desmosedici Stradale 90 darjah. Ianya termasuklah ketiga-tiga variannya iaitu motosikal Panigale V4, Panigale V4 S, serta edisi terhad, Panigale V4 Speciale.
Berdasarkan harga runcit pada waktu ini, harganya dijangka akan berada di antara paras RM133,900 hingga RM359,000 (harga asas beserta GST). Model asasnya bermula dari harga RM133,900 manakala varian S yang dilengkapi dengan suspensi elektronik Ohlins, sub rangka magnesium, bateri litium ion, serta roda aluminium tempa Marchesini akan dijual dengan harga sekitar RM 173,900.
Ducati Panigale V4 2018 Kini Dibuka Untuk Tempahan! Dari RM133,900 – RM359,900
Jika anda inginkan yang terbaik di antara yang terbaik, pilihlah varian terhebatnya, Ducati Panigale V4 Speciale 2018 yang didatangkan dengan ekzos sistem sepenuhnya titanium dan roda yang teramat ringan magnesium. Dengan hanya 1,500 unit specimen terhebat ini dirangka untuk dihasilkan bagi seluruh dunia, anda perlu bertindak pantas sekiranya anda ingin memiliki jentera yang hebat ini.
Selain itu, anda juga bolehlah menuju ke Ducati Petaling Jaya yang terletak di Naza Automall (bersebelahan dengan Lebuh Raya Persekutuan) untuk mengetahui dengan lebih lanjut kerana mereka akan menganjurkan acara Ducati Red Weekend mereka yang pertama untuk tahun ini pada 13 hingga 14 Januari 2018. Tunggang uji juga dibuka bagi mereka yang ingin mencuba ke semua motosikal terkini mereka beserta dengan tawaran-tawaran yang menakjubkan.