- Bajaj Auto telah menyingkap tirai di sebalik motosikal Bajaj Dominar 400 2018 di India, yang mana ia didatangkan dengan dua warna baru; Canyon Red dan Glacier Blue.
- Motosikal Dominar 400 ini dijana oleh enjin 373cc satu silinder dan dijangka bakal tiba di Malaysia dalam suku pertama tahun 2018.
- Bajaj juga turut memperkenalkan pengemaskinian motosikal Bajaj V15 2018 dengan pelana belakang dan penyandar belakang yang serba baru.
Bajaj Auto baru sahaja melancarkan motosikal terkini mereka, Bajaj Dominar 400 2018, di India semalam. Model bagi rangkaian utama mereka itu kini didatangkan dengan dua skema warna yang baru iaitu Canyon Red dan Glacier Blue. Para penggemar motosikal Bajaj Dominar 400 masih lagi boleh mendapatkannya dalam warna pilihan Matte Black tetapi warna-warna yang lain telah pun dihentikan.
Spesifikasi lain pada motosikal yang menakjubkan ini masih kekal sama. Dijana oleh enjin 373cc satu silinder yang menghasilkan 34.5hp dan 35Nm tork maksimum, motosikal Dominar 400 ini adalah salah sebuah pilihan untuk tunggangan berulang alik harian yang terbaik di samping sebuah jentera penunggangan hujung minggu yang berkebolehan. Keseluruhan kuasanya itu dipacu ke roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan yang telah dilengkapi dengan klac ‘slipper’.
Editor kami, Keshy Dhillon, baru-baru ini telah berpeluang ke India bagi menunggang uji kebolehan motosikal Bajaj Dominar 400 berkenaan dan nampak gayanya, ia pasti akan mendapat sambutan hangat sebaik sahaja tiba di tanah air kita. Ya, tuan-tuan dan puan-puan. Modenas mempunyai perancangan yang hebat bagi membawa masuk motosikal Dominar 400 seawal suku pertama tahun 2018!
Ciri-ciri lain yang mengagumkan adalah seperti fork hadapan teleskopik 43mm, penyerap hentakan belakang ‘monoshock’ boleh laras berbilang langkah, cakera brek hadapan sebesar 320mm, dilengkapkan bersama dengan ABS dwi saluran (cakera brek 230mm mengendalikan bahagian belakangnya), sebuah unit lampu hadapan automatik, dan bermacam-macam lagi.
Disebabkan kepopularannya dan spesifikasi terbaik dalam segmennya itu, motosikal Bajaj Dominar 400 telah dianugerahkan dengan trofi “NDTV Two Wheeler of the Year 2018”. Motosikal premium tawaran Bajaj tersebut juga turut mengondoli dua anugerah yang lain iaitu anugerah “Premium Motorcycle of the Year” dan “CNB Viewer’s Choice Two Wheeler of the Year, memenangi sejumlah 45% daripada undian keseluruhan.
Bajaj Dominar Mengenepikan Yamaha FZ Dan Memenangi Anugerah Berprestij
Bajaj telah menetapkan harga bagi varian 2018 yang terkini ini pada ₹ 1.42 lakh (sekitar RM8,876 selepas pertukaran terus matawang). Tiada lagi sebarang berita tentang berapa harganya motosikal ini sebaik sahaja ia tiba di Malaysia namun berdasarkan beberapa perbualan dengan sumber-sumber yang boleh dipercayai telah mengatakan bahawa sebaik sahaja Modenas membawa masuk motosikal ini, ianya akan berada di bawah paras RM20,000.
Bajaj juga telah memperkenalkan motosikal Bajaj V15 2018 yang terbaru di mana hampir keseluruhan bahagiannya masih lagi kekal sama kecuali untuk pelana belakang dan penyandar belakang yang baru dan bukannya pelitup ‘cafe racer’ seperti yang terdapat pada model di Malaysia pada waktu ini.
Untuk membaca ulasan terperinci kami mengenai motosikal Modenas V15 2017, tekan pautannya di bawah.
Sumber: Bajaj