Penunggang Terbaik Tahun 2017 BR/MM: Johann Zarco

 

  • Melihat kembali pada musim MotoGP 2017, Johann Zarco mengungguli senarai kami sebagai ‘Penunggang Terbaik Tahun 2017’.
  • Setelah memenangi 2 kejuaraan Moto2 secara berturut-turut, penunggang muda kelahiran Perancis itu telah berpindah ke kelas MotoGP sebagai seorang penunggang rookie, tetapi, telah menunggang seperti seorang penunggang amat berpengalaman yang sedang mengejar takhta kejohanan.
  • Secara keseluruhannya, dia telah menamatkan musim itu dengan tiga penamat di atas podium, 174 mata, dan gelaran “MotoGP 2017 Rookie of the Year”.

MotoGP musim 2017 adalah sebuah musim yang amat menakjubkan sejak permulaannya lagi sewaktu musim bermula di bawah lampu limpah di Qatar. Selain daripada beberapa perpindahan besar dalam siri berkenaan seperti Jorge Lorenzo yang telah berpindah ke pasukan Ducati dan Maverick Vinales mengambil tempatnya di Movistar Yamaha, terdapat juga beberapa kejutan yang tidak dijangkakan yang telah berlaku pada musim ini.

Kebanyakan daripada kita menganggapkan bahawa persaingan yang senantiasa berterusan di antara pasukan pengilang Honda dan Yamaha akan bersambung pada tahun 2017, terutamanya dengan Maverick Vinales (Movistar Yamaha MotoGP) menunjukkan taringnya sepanjang ujian pra-musim (dan juga memenangi dua pusingan perlumbaan yang pertama di Qatar dan Argentina), tetapi ianya Andrea Dovizioso dari Ducati dan Marc Marquez dari Repsol Honda yang telah mempersembahkan kepada kita pertarungan yang amat mengagumkan dalam MotoGP pada zaman ini.

Ianya bukanlah satu kejutan apabila Marc Marquez yang kini lebih matang, telah merangkul kejohanan itu pada perlumbaan terakhir musim berkenaan. Namun begitu, ini hanyalah permulaan bagi kemaraan Ducati dan mereka sudah pastinya pasukan yang perlu diberikan tumpuan pada tahun 2018.

Selain daripada itu, kami sejujurnya perlu mengatakan yang kami berasa kagum dengan seorang penunggang rookie kelahiran Perancis yang baru berpindah ke kelas MotoGP buat kali pertama pada musim ini. Penunggang yang kami maksudkan itu sudah semestinya satu-satunya juara dunia Moto2 sebanyak dua kali dan penunggang bagi pasukan Monster Yamaha Tech 3, johann Zarco.

Pada ketika di mana kebanyakan mata terpaku pada Yamaha, Honda, dan Ducati, tiada ramai yang memberi perhatian kepada penunggang berusia 27 tahun dari Perancis itu. Namun, ianya telah berubah secara mendadak sewaktu pusingan pembukaan bagi musim 2017 di Qatar di mana dia telah meninggalkan ke semua penunggang dan mendahului perlumbaan sebelum terbabas. Pada detik inilah semua orang berpaling ke arah sesama sendiri dan menanyakan soalan “Siapakah Johann Zarco?”

Zarco bukannya seperti mana-mana penunggang yang lain di dalam dunia perlumbaan ini yang mempunyai kelebihan besar, di mana perlumbaan itu sebati dalam darah daging mereka dan mereka telah menghadiri sekolah mahu pun akademi yang khusus untuk seni perlumbaan motosikal. Ianya berbeza buat Zarco, yang secara teorinya, memulakan kerjaya perlumbaannya agak lewat.

Di mana ke semua penunggang muda mendapat sokongan dari keluarga mereka, Zarco perlu memikirkan cara untuk menyampaikan berita kepada ibu bapanya mengenai impiannya untuk menjadi seorang pelumba motosikal dan bukannya meneruskan pengajiannya.

Johann Zarco yang berusia 17 tahun, sewaktu Red Bull Rookies Cup 2007 (Sumber imej: Red Bull)

Pada usia 17 tahun, dia mengorbankan segalanya dan mendapatkan tunjuk ajar mentornya, Laurent Felon. Dengan cara pembelajaran dan latihan yang luar dari kebiasaan, Zarco mula memanjat anak tangga kejohanan dan berjaya memenangi Rookies Cup pada tahun 2007. Mentornya itu amat pasti jauh di lubuk hatinya bahawa Zarco adalah seorang penunggang muda yang istimewa dan akhirnya telah membuat satu pengorbanan yang besar; Felon telah menggadai janji rumahnya bagi membolehkan Zarco mendapat tempat dalam Siri Dunia 125cc.

Sumber imej: Motomag

Zarco mengambil masa selama dua tahun sebelum dia berjaya mengecapi penamat di tangga teratas podium. Yakin yang dia mampu melakukan yang lebih baik lagi, Zarco telah berpindah ke kelas Moto2 pada tahun 2012 di mana dia menamatkan musim tersebut sebagai rookie terbaik pada tahun itu.

Zarco bersama mentornya, Laurent Felon

Pada tahun 2015, segala-galanya berubah secara besar sekali sewaktu dia menyertai pasukan Ajo Motorsport, di mana dia telah menakluki musim itu dengan 8 kemenangan serta 14 penamat di atas podium. Dia ditabalkan sebagai juara, dan mengulanginya pada tahun yang berikutnya, menjadikan penunggang muda dari Perancis itu satu-satunya penunggang dalam dunia yang telah memenangi kejohanan dunia Moto2 secara berturut-turut.

Yamaha menyedari akan kemahirannya yang mengagumkan itu dan telah menjadikannya salah seorang penunggang bagi pasukan Monnster Yamaha Tech 3, menyertai seorang lagi penunggang muda yang berpotensi, Jonas Folger. Walaupun kedua-dua penunggang telah menunjukkan prestasi yang menakjubkan bagi tahun 2017, Zarco telah berjaya mencuri tumpuan ramai sejak dia mendahului perlumbaan di Qatar.

Sebagai seorang penunggang rookie bagi tahun 2017, dia sekali lagi telah mengejutkan ramai pihak dengan mendapat tempat yang ke-lima di Argentina, diikuti dengan pertarungan sengit di Circuit of the Americas di mana dia bersaing secara agresif dengan Valentino Rossi, penunggang pasukan pengilang Yamaha dan legenda MotoGP dengan sembilan takhta Kejuaraan Dunia.

Setiap saat melihat aksi Zarco ‘menyakitkan hati’ penunggang pengilang utama yang lain terasa amat mengujakan, dan pada masa yang sama telah menunjukkan betapa hebatnya kemahiran penunggang dari Perancis itu walaupun dia secara amnya sedang mengemudi sebuah jentera perlumbaan yang ketinggalan zaman, diuruskan oleh sebuah pasukan persendirian/satelit. Dia sememangnya ancaman nyata dalam kejohanan pada musim 2017, dan ke semua penunggang lain telah memberikan perhatian padanya.

Dalam pusingan kelima, Zarco mempamerkan aksi yang amat memberangsangkan di hadapan penyokong senegaranya di Le Mans, di mana dia telah mendahului bagi sebahagian besar perlumbaan sebelum dipintas Maverick Vinales. Jarak masa tiga saat di belakang pemenang perlumbaan yang mengemudi jentera pengilang sepenuhnya, Yamaha M1, adalah satu pencapaian yang besar buat penunggang muda berkenaan, setelah hanya lima pusingan perlumbaan.

Dia mengulang kembali prestasi mengagumkannya itu pada dua pusingan perlumbaan terakhir di Malaysia dan Valencia di mana di menamatkan perlumbaan di tempat ke-tiga dan ke-dua. Hasilnya? Zarco telah mengutip sejumlah 174 mata dalam musim rookie MotoGP-nya dan telah dianugerahkan dengan “MotoGP Rookie of the Year 2017”. Satu pencapaian yang hebat bagi seorang penunggang rookie.

Secara keseluruhannya, Johann Zarco adalah seorang juara yang berbeza, yang rendah diri dan ceria sewaktu bersama peminatnya, tetapi pada masa yang sama, salah seorang penunggang yang paling berpotensi yang kami temui selain dari penunggang Itali atau Sepanyol. Pada suatu ketika dahulu, tumpuan lebih diberikan kepada penunggang pasukan pengilang dan tidak untuk penunggang persendirian, kini ianya sudah berubah disebabkan penunggang ini.

Johann Zarco sememangnya seorang penunggang yang cukup istimewa dan di atas sebab inilah, dialah Penunggang Terbaik Tahun 2017 BR/MM. Tahniah diucapkan kepada Johann Zarco.

Sumber imej: MotoGP

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply