Tips Penjagaan Helmet

 

  • Helmet adalah kelengkapan keselamatan yang paling penting.
  • Dengan sedikit penjagaan dan penyelenggaraan akan memastikan ia berfungsi dengan baik.
  • Namun penyelenggaraan haruslah dilakukan dengan betul bagi memastikan ia tahan lama.

Helmet melindungi kepala anda dari kecederaan apabila berlakunya kemalangan atau terbabas, dan sudah pasti ianya untuk kebaikan anda sendiri untuk menjaganya dengan baik. Bagaimana pun, helmet tidaklah memerlukan penyelenggaraan intensif seperti motosikal tetapi ia masih perlukan penjagaan yang rapi.

1. CARA MEMBAWANYA

Sering kali kita lihat cara yang salah ini, dan sejujurnya, kami juga sering kali terlupa dan telah melakukan perkara yang sama.

Menggenggamnya pada palang dagu mungkin lebih mudah, tetapi ianya boleh menyebabkan tertanggalnya atau merosakkan komponen tertentu, selain daripada padding yang ada di bahagian dalam palang dagu itu sendiri. Menyeluk lengan anda di bawah ‘chinstrap’ dan keluar melalui ‘eyeport’ sememangnya stabil, tetapi anda mungkin akan menanggalkan atau mematahkan ‘breath deflector’.

Cara yang terbaik untuk membawa helmet adalah dengan mengikat kemas ‘chinstrap’ dan memegangnya seperti tas tangan atau gunakan sahaja beg yang anda dapat sewaktu membelinya.

 

2. JANGAN LETAK SARUNG TANGAN DI DALAMNYA

Oleh kerana bentuknya itu, helmet sering kali menjadi tempat untuk meletakkan kunci motosikal, rokok, pemetik api, dan semestinya, sarung tangan.

Sekiranya peluh dari tangan anda dan bahan cemar dari lalulintas boleh merosakkan jahitan sarung tangan, ianya sudah pasti akan merosakkan lapikan keselesaan helmet anda. Ia juga pasti akan menyebabkan helmet anda berbau.

Jadi ingat, satu-satunya benda yang patut ada di dalam helmet anda adalah kepala anda.

3. SIMPAN DENGAN BETUL

Ini mungkin kedengaran seperti satu peringatan yang sia-sia, namun pastikan yang helmet anda disimpan dengan betul. Ada sebabnya mengapa adanya pelindung getah pada bahagian bawah helmet.

Meletakkan helmet secara terbalik bukan sahaja akan merosakkan warna serta kemasan helmet berkenaan tetapi mungkin juga akan mula menjejaskan bentuk serta kekuatan tempurung helmet sekiranya ianya berlarutan.

4. PENCUCI

Pengeluar selalunya mengesyorkan untuk mencuci tempurung dan pelindung muka dengan hanya menggunakan sabun dan air suam. Tetapi, terdapat pelbagai pencuci helmet yang ada di dalam pasaran yang mudah untuk di bawa bersama sewaktu penunggangan atau ketika berada di litar.

Ujilah sebarang pencuci baru yang ingin anda gunakan pada helmet anda dengan mencubanya pada satu bahagian yang kecil pada helmet anda sebelum menggunakannya pada keseluruhan helmet atau pelindung muka.

JANGAN sesekali gunakan pencuci seperti pencuci cecair pinggan atau cecair pemetik api (bagi menanggalkan sisa pelekat stiker). Dan, JANGAN sesekali gunakan pencuci kaca pada pelindung muka kerana ia akan menghakis salutan yang sensitif.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

5. MENYANGKUTNYA

Cermin pandang belakang dan hujung palang pemegang sememangnya tempat yang mudah untuk meletakkan helmet.

Bagaimana pun, ianya bukanlah satu perkara yang sesuai untuk dilakukan, kerana bentuk cermin dan hujung palang pemegang mungkin akan mencacatkan lapikan EPS helmet, menjadikannya lebih lemah di sesetengah bahagian. Pelapik EPS perlulah sekata rekaannya untuk penyebaran gegaran impak.

6. BASUHNYA

Pastikan anda membersihkan helmet anda sekurang-kurangnya setahun sekali. Penulis secara peribadinya akan melakukan setiap tiga bulan, mengikut kadar penggunaannya.

Tanggalkan sebarang pelapik yang boleh ditanggal, basuh menggunakan air suam dan bersihkan keseluruhan helmet. Guna putik kapas bagi membersihkan bahagian yang sukar dicapai seperti lohong udara.

7. KERINGKANNYA

Sebuah helmet perlulah dikeringkan terlebih dahulu sebelum ia disimpan di dalam almari kabinet atau di dalam beg.

Namun begitu, pastikan anda cermat sewaktu mengeringkan helmet anda itu. Lebih baik lagi sekiranya anda menanggalkan lapikan keselesaan dan biarkan bahagian dalaman helmet kering secara semulajadi. Penggunaan haba yang tinggi setiap kali helmet anda basah akan melemahkan gamnya di sesetengah bahagian.

Pelapik keselesaannya perlulah dikering-udara tetapi sekiranya haba diperlukan, anda boleh gunakan pengering rambut pada bahagian berpad dan jangan gunakan pada bahagian berplastik, untuk mengekalkan gamnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

8. JANGKA HAYAT

Helmet yang jatuh dari ketinggian yang rendah tidak semestinya sudah rosak, namun ianya lebih elok sekiranya anda menghantarnya untuk diperiksa oleh pengeluar. Sebaliknya pula, helmet perlulah digantikan selepas penggunaan maksimum lima tahun daripada hari pertama anda menggunakannya.

9. MENGGUNAKAN WAX

Terdapat sesetengah pengeluar yang membenarkan penggunaan wax automotif. Gunakan jenis yang lembut, secara sedikit, dan gilap secara lembut menggunakan tangan.

10. MELINCIRKAN

Mekanisma pelindung muka perlu dilincirkan dengan pelincir silikon untuk pengoperasian yang lebih baik. Arai telah menyertakan pelincir berkenaan dengan setiap helmet yang mereka jual.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]