- Pengeluar motosikal Benelli bakal melancarkan motosikal cruiser terbaru mereka, Benelli 402S 2018 pada tahun hadapan.
- Secara terang-terangan mengambil ilham dari motosikal power cruiser Ducati XDiavel, motosikal Benelli 402S mempunyai pelbagai persamaan dari segi rupa parasnya.
- Dijana oleh enjin berkembar-selari 399cc, motosikal 402S ini dikatakan mampu menghasilkan 39hp dan 35Nm tork.
Dunia permotosikalan saban hari telah menyampaikan berita baru yang amat menarik sekali. Maklumat terbaru yang datang dari pasaran negara China telah menunjukkan bahawa Benelli telah giat membangunkan sebuah jentera yang cantik sekali yang tampak AMAT biasa dilihat.
Untuk tahun hadapan, Benelli bakal memperkenalkan motosikal Benelli 402S 2018 sebagai motosikal cruiser tahap permulaan mereka dan ianya tampak begitu cantik sekali. Ia bagaimanapun mengingatkan kami kepada sebuah motosikal ‘techno cruiser’ mewah milik sebuah jenama premium Itali. Ianya tidak lain dan tidak bukan motosikal Ducati XDiavel.
Untuk membaca ulasan kami mengenai motosikal Ducati XDiavel S, TEKAN SINI.
Sukar untuk menafikan betapa miripnya rupa paras di antara motosikal Benelli 402S dan Ducati XDiavel namun sapa yang pasti, mereka berada di penghujung spektrum yang bertentangan dari segi prestasi dan yang paling penting sekali; harga.
Pada awal tahun ini, Benenlli telah melancarkan satu rangkaian motosikal yang baru, di antaralah adalah Benelli Leoncino 2017 (RM29,678) dan Benelli RFS150i (RM6,988) yang merupakan motosikal dengan rupa paras yang menarik dengan prestasi yang baik sekali. Kami agak yang motosikal 402S yang bakal membuat kemunculannya itu tidaklah sama hebat dari segi kuasa seperti motosikal power cruiser yang menjadi sumber inspirasi utamanya itu tetapi sekurang-kurangnya rupa sama. Saling tidak tumpah rupa parasnya.
Dijana oleh enjin berkembar-selari 399cc, motosikal Benelli 402S ini menghasilkan 39hp dan 35Nm tork maksimum. Dengan beratnya hanyalah seberat 160kg, ianya dijangka mampu meliputi jarak yang luas oleh kerana beratnya yang ringan itu di samping tangki bahanapi sebesar 16 liter.
Ciri-ciri yang lain termasuklah fork hadapan terbalik 41mm, ABS dwi-saluran, meter digital, dan lain-lain lagi. Kami belum enar-benar pasti akan harganya tetapi pada andaian kami ianya akan berada di sekitar RM25,000.
Ada sesetengah pihak mengatakan yang motosikal ini akan mula dijual bermula pertengahan tahun hadapan. Bagi pasaran Malaysia pula, kita hanya mampu menunggu dengan sabarnya bagi mengetahui sama ada M Force Sdn. Bhd. akan membawa motosikal ini ke tanah air kita. Apa pendapat anda?