Tunggang Uji Honda Rebel 500 – Motosikal Bobber Yang Praktikal

 

Artikel oleh: Sep Irran

  • Motosikal Honda Rebel 500 2017 adalah sebuah motosikal bobber buatan Jepun yang praktikal, dilengkapi dengan enjin 471cc yang sama boleh didapati pada model saudaranya, CBR500R.
  • Dengan rupa yang menggiurkan dan prestasi yang baik, motosikal Rebel 500 tampak amat hebat sewaktu perjalanan berulang alik ke tempat kerja mahu pun tunggangan santai di hujung minggu.
  • Ditetapkan pada harga RM31,798.94, ianya bukanlah motosikal yang paling sempurna tetapi tidak syak lagi sebuah motosikal yang paling menarik untuk dimiliki pada masa ini.

Pada ketika dan saat ini, semakin ramai orang yang ingin memiliki motosikal mereka sendiri untuk beberapa sebab yang tertentu. Sesetengah daripada mereka sudah meluat menghadapi kesesakan trafik saban hari manakala ada di antara mereka yang ingin mencari sesuatu yang istimewa untuk hujung minggu bagi menceriakan lagi hidup mereka.

Walau apa pun sebabnya jua, pilihan motosikal di pasaran Malaysia ini bagaikan meninggalkan seorang anak kecil di dalam kedai gula-gula yang dipenuhi dengan pelbagai gula-gula, coklat dan bermacam-macam lagi. Bagi kebanyakan daripada kita, pilihan yang terbaik semestinya indah paras rupa, menggiurkan, menggamit jiwa, dan yang paling penting sekali, dalam bajet yang telah ditetapkan.

Katakan anda mempunyai bajet sekitar RM30,000 yang boleh dibelanjakan. Jumlah itu lebih dari mencukupi untuk meliputi hampir ke semua motosikal sehingga kapasiti 600cc. Mencari motosikal yang dapat melakukan segala-galanya dengan baik sudah pasti satu tugas yang berat memandangkan setiap jentera mempunyai kebolehan unik yang tersendiri.

Pengalaman terbaru kami dengan sebuah motosikal uji telah menghasilkan gambaran yang unik. Beberapa minggu yang lalu kami telah mendapat motosikal Honda Rebel 500 2017 dan secara asasnya telah meliputi jarak 1,000km secara berkumpulan. Secara ringkasnya, saya amat menyukainya. AMAT MENYUKAINYA. Editor kanan kami? tidak sesungguh saya. Inilah sebab-sebabnya.

Ianya senantiasa menjadi satu cabaran bagi semua orang yang tercari-cari akan motosikal yang sesuai di dalam bajet tersendiri masing-masing. Di mana kebanyakan daripada kita tidak benar-benar mampu memiliki motosikal mewah yang bernilai jauh lebih tinggi daripada RM50,000 (harga bagi kebanyakan motosikal cruiser di dalam negara kita), motosikal Honda Rebel 500 sudah pasti merupakan satu nafas yang segar dalam pasaran dan perubah rentak.

Melihat pada rupa parasnya, motosikal Rebel 500 ini dibina untuk kelihatan mirip sebuah motosikal bobber dengan profil tunggangan yang rendah, rupa bentuk yang ‘jahat’, dan roda yang besar yang pada pendapat saya, cukup menggiurkan. Ditetapkan pada harga yang amat berpatutan, RM31,798.94 (harga asas beserta GST), faktor berkenaan membuatkan Rebel 500 ini lebih menggoda memandangkan yang ianya lebih mampu milik bagi pasaran penggemar motosikal yang lebih luas di dalam negara.

Dengan rekaan yang minimalis dan kemasan cat matte, ia bagaikan sebuah kanvas kosong yang mendambakan bakal pemiliknya untuk memberikan sentuhan khusus tersendiri bagi menjadikan mahakarya ini milik mereka sepenuhnya. Semuanya tampak elok dan baik sekali, sehinggalah enjinnya dihidupkan. Di sinilah segala perbezaaan pendapat bermula.

Dilengkapi dengan enjin berkembar-selari 471cc yang sama boleh didapati pada rangkaian Honda CB500 yang lain, motosikal ‘gaya hidup’ Honda ini menghasilkan 45.6hp dan 43.2Nm tork. Jumlah ini hampir sama seperti saudaranya yang lebih sporty, model Honda CB500R.

Mari kita perbetulkan satu perkara di sini, tuan-tuan dan puan-puan. Enjin 471cc dari Honda ini bukannya dibina untuk kuasa dan pecutan yang melampau. Ianya lebih untuk mereka yang tercarikan sesuatu yang ekstra berbanding dengan motosikal berkapasiti lebih kecil yang lain (yang mana semakin biasa ada di jalan raya pada hari ini) di samping mengekalkan praktikaliti dan nisbah penggunaan bahanapi yang hebat.

Model Rebel 500 ini tiada bezanya dan ianya mempunyai kebaikan dan keburukannya. Berita buruknya? Nota bunyi yang dihasilkan tidaklah sehebat atau menusuk kalbu seperti kebanyakan motosikal cruiser berkuasa tinggi atau motosikal bobber yang ada di pasaran. Berita baiknya? Enjinnya (beserta tangki bahanapinya sebesar 11.2 liter) boleh meliputi jarak melebihi 200km yang mana ianya memberikannya purata di antara 18-22km bagi setiap liter bahanapi. Boleh tahan.

Posisi duduknya agak baik tetapi kedudukan tempat letak kakinya terasa agak canggung bagi mereka yang biasa menunggang motosikal cruiser berkapasiti tinggi. Kami telah bertanya beberapa orang lain dan majoriti daripada mereka akan lebih suka dengan Rebel 500 ini sekiranya tempat letak kakinya diletakkan ke hadapan sedikit bagi mendapatkan rasa yang lebih ala-cruiser. Kami bersetuju dengan pandangan ini namun memandangkan betapa hebatnya pengendalian motosikal ini dalam menangani jalan raya bandar dan betapa stabilnya ia pada kelajuan lebuh raya, kami merasakan aturcara ini baik-baik sahaja.

Ada beberapa perkara yang agak teruk setelah menunggang motosikal bobber Jepun ini untuk tempoh yang lama. Pelananya terasa bagus pada awalnya namun setelah beberapa lama di atasnya, ianya boleh terasa agak tidak selesa kerana ianya tidaklah begitu empuk. Palang pemegangnya bergetar sehingga menyebabkan tangan anda letih namun ianya tidak sehingga mengganggu pergerakan otot anda sebaik sahaja anda menuruni motosikal ini.

Pakej breknya juga tidaklah terlalu teruk juga tetapi penekanan lebih telah diberikan kepada cakera hadapan 300mm dengan angkup dwi-omboh Nissin. Aturcara satu omboh 240mm di belakangnya pula terasa amat lembut bagaikan jeli dan tidak mempunyai daya henti yang mencukupi, yang mana ianya sesuatu yang pemilik mungkin ingin khususkan, memandangkan ianya sebuah motosikal cruiser, dan bukannya sebuah motosikal lumba.

Meternya kecil, minimalistik dan praktikal TETAPI ianya tidak mempunyai penunjuk gear jadi, kami sering kali terkial-kial mencari gear ke-tujuh yang ghaib. Malah, penukar gearnya juga berbentuk pelik jadi kami mengambil masa membiasakan diri kerana kami sering kali mendapati diri menghentak keseluruhan palang dan bukannya pada bahagian kecil di hujungnya sewaktu menukar ke gear yang lebih tinggi.

Walaupun motosikal Rebel 500 ini semestinya ada kekurangannya, sejujurnya saya perlu katakan yang ianya tidak syak lagi salah sebuah motosikal yang paling menyeronokkan, praktikal, dan ranggi yang pernah di temui saya pada paras harga ini. Digandingkan dengan jumlah kuasa dan tork yang amat baik sekali, ianya cukup berkemampuan bersiar-siar di dalam bandar dengan penuh gaya, dan pada masa yang sama boleh meliputi jarak yang jauh di atas lebuh raya.

Motosikal Rebel 500 ini mampu mencecah sehingga 160km/j tanpa sebarang masalah dan mencapai hadnya di sekitar 175km/j (menurut speedometer motosikal berkenaan). Ia masih lagi dalam keadaan stabil pada kelajuan 160km/j, yang mana ianya amat menakjubkan namun motosikal ini terasa agak ringan pada bahagian hadapannya sebaik sahaja anda melebihi kelajuan tersebut. Meskipun begitu, menunggang motosikal ini pada kelajuan lebuh raya agak mengasyikkan.

Roda 16 inci yang dilitupi dengan tayar Dunlop digandingkan dengan aturcara suspensi yang agak lembut itu bagaimana pun agak tidak sesuai apabila menangani jalan gunung yang bersimpang siur seperti mana yang kami alami sendiri sewaktu menaiki Genting. Motosikal Rebel 500 ini agak kerap melantun sewaktu menaiki jalan yang berliku dan dengan pertukaran gear yang kerap, penyelarasan ‘rev’ adalah satu perkara yang perlu bagi menghindarkan roda belakang terkunci kerana ianya tidak dilengkapi dengan klac ‘slipper’.

Secara ringkasnya, ianya tidak syak lagi merupakan sebuah motosikal bobber Jepun dengan rupa yang menggoda dan prestasi yang boleh dibanggakan. Beratnya hanyalah sekadar 191kg sahaja, agak ringan. Motosikal ini terdapat kekurangannya namun saya rasa sebaik sahaja pusat Big Wing Honda memulakan operasinya pada tahun 2018, akan ada pelbagai pilihan kelengkapan khusus buat motosikal Rebel 500 bagi menjadikannya lebih menggiurkan.

Mungkin sekali, sebuah ekzos yang lebih lantang dengan pancarongga pada ukur lilitnya untuk rupa yang lebih garang atau palang pemegang yang lebih pendek bagi mengurangkan getaran dapat menyempurnakan lagi motosikal ini. Bagi wartawan permotoran ini, “Ianya tidak sempurna tetapi ianya sempurna untuk saya” adalah mantra yang sering diucapkan pada diri (dan juga isteri).

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply