- Modenas akan mengadakan sebuah acara yang dinamakan “Pulsar Power Test” pada hari Sabtu ini (23 Disember 2017) di Litar Kart Speedway PLUS di Subang Jaya.
- Dari jam 10 pagi hingga 6 petang, mereka yang menghadiri acara ini akan dapat menunggang uji motosikal Modenas Pulsar RS200 dan NS200 di atas litar.
- Aktiviti-aktiviti lain yang akan disediakan adalah seperti tip penunggangan professional daripada pelumba, ‘time attack’, pemeriksaan percuma bagi pemilik motosikal Pulsar, pertunjukan aksi lagak ngeri dan bermacam-macam lagi.
Kerjasama teknikal di antara Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) bersama dengan salah sebuah pengeluar motosikal terbesar di India, Bajaj Auto Limited, telah membawa kepada pengenalan tiga buah model terbaru Modenas bagi tahun 2017. Motosikal-motosikal ini tidak lain dan tidak bukan adalah Modenas Pulsar RS200, NS200, serta V15.
Model Pulsar RS200 dan NS200 secara khususnya telah menarik perhatian ramai dalam tempoh masa yang singkat disebabkan oleh rekabentuknya serta tanda harganya yang menggiurkan. Kedua-duanya dilengkapi dengan sebuah enjin satu silinder 200cc dengan teknologi tiga palam pencucuh yang menghasilkan sehingga 24.5hp dan 18.6Nm tork maksimum.
Untuk membaca dengan lebih lanjut mengenai tunggang uji Modenas Pulsar RS200 dan NS200 2017 yang telah kami adakan, TEKAN SINI.
Bagi memperagakan betapa hebatnya motosikal-motosikal ini, Modenas bakal menganjurkan satu sesi yang amat istimewa pada hari Sabtu yang bakal kunjung tiba nanti (23 Disember 2017) di Litar Kart Speedway PLUS di Subang Jaya. Diberi nama “Pulsar Power Test”, ianya terbuka untuk semua orang (secara percuma) dan akan terdapat pelbagai aktiviti yang telah diaturkan untuk semua penggemar motosikal.
Bagi mereka yang ingin menunggang uji model Pulsar RS200 dan NS200 di atas litar boleh melakukannya pada sesi itu nanti. Beberapa orang pelumba litar professional juga akan turut serta untuk berkongsi tip penunggangan bagi mengemudi motosikal RS200 dan NS200 sebaik mungkin. Pastikan anda membawa segala kelengkapan keselamatan anda sendiri seperti helmet, sarung tangan, seluar jean, jaket menunggang, atau pun, lebih elok lagi, sut menunggang.
https://www.facebook.com/modenas.malaysia/videos/10155449101332224/
Dari jam 10 pagi hingga 6 petang, pemilik semasa bagi model Pulsar juga boleh datang untuk membolehkan motosikal mereka diperiksa oleh juruteknik terlatih (terhad kepada 200 pemilik motosikal Pulsar yang pertama). Aktiviti-aktiviti ria lain termasuklah pertunjukan aksi lagak ngeri, cabutan bertuah, dan juga pengumuman aktiviti “Pulsar Power Test”.
Lapangkan jadual anda pada hari Sabtu ini, 23 Disember 2017, dan kunjungilah Litar Kart Speedway PLUS yang terletak di USJ Rest & Service Area, Lebuh raya ELITE (arah selatan).
Tahukah anda yang motosikal Modenas Pulsar RS200 dan NS200 merupakan dua model dengan nisbah “kuasa-ke-Ringgit” terbaik? Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, TEKAN SINI.