- Helmet AGV Pista GP R milik Valentino Rossi dengan kemasan grafik Mexico yang istimewa telah diperkenalkan bagi ujian musim sejuk di Litar Sepang yang bakal tiba.
- Diinspirasikan oleh seni manik suku kaum Huichol, Rossi telah membawa inspirasinya itu kepada Drudi Performance bagi membolehkan mereka menghasilkan rekaan yang unik itu.
- Hasilnya adalah sebuah seni buatan tangan yang akan dipakai oleh Rossi semasa ujian musim sejuk MotoGP 2018 nanti yang akan diadakan dari 28 Januari 2018 di Litar Antarabangsa Sepang.
Musim motoGP 2017 telah pun berakhir namun ianya juga bermakna yang ujian musim sejuk MotoGP 2018 telah semakin hampir tiba dan ianya pasti akan mengujakan mana-mana penggemar motosikal yang ada di mana-mana sahaja. Dengan rombakan semula keseluruhan grid beserta dengan beberapa orang ‘rookie’ baru yang menyertai kelas premier ini, kami tidak sabar menanti untuk menyaksikan mereka semua bersama dengan jentera perlumbaan generasi terkini tunggangan mereka.
Bagi Valentino Rossi pula, ianya bagaikan satu tradisi bagi dirinya untuk tampil dengan helmet yang serba baru beserta rekaan yang dibuat khas untuk ujian musim sejuk. Bagi tahun 2018, helmet AGV Pista GP R yang sedia-perlumbaannya itu telah diolah dengan gaya Mexico yang berwarna-warni beserta dengan seni yang teramat unik sekali.
Diinspirasikan oleh seni manik suku kaum Huichol yang telah dia saksikan sewaktu percutiannya di Mexico baru-baru ini, juara dunia sembilan kali itu telah membawa inspirasinya ke tidak lain dan tidak bukan, sahabat baiknya Aldo Drudi dari Drudi Performance. Menurut Rossi, seni suku kaum Huichol itu yang menggunakan manik yang berwarna-warni menarik minatnya kerana ianya menggunakan rekaan dan inspirasi yang sama, berkaitan alam sekitar seperti matahari, bulan, penyu, dan sebagainya.
Para pereka di Drudi Performance telah menerapkan gaya seni ini dan menambah sentuhan Valentino Rossi, Jika dilihat pada hasilnya, ianya bukan satu tugas yang mudah memandangkan setiap satu manik berkenaan telah dilukis dengan tangan. Ia kelihatan lebih kepada sebuah karya seni halus berbanding sebuah helmet perlumbaan.
Rossi bersama dengan Maverick Vinales serta Johann Zarco telah menjalani satu sesi ujian peribadi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di mana mereka telah menguji beberapa buah konfigurasi yang baru. Tumpuan utama mereka adalah untuk menala halus enjin yang bakal mereka gunakan bagi musim 2018.
Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan terkini termasuklah ujian musim sejuk rasmi di Malaysia yang bakal berlangsung pada 28 Januari 2018.
Sumber imej: MotoGP