Arch KRGT-1 2018 – Motosikal Super Cruiser 2,032cc Rekaan Keanu Reeves

 

  • Motosikal Arch KRGT-1 2018 yang terkini telah diperkenalkan sewaktu EICMA 2017 dengan pelbagai pengemaskinian terbaru.
  • Kemaskini yang dilakukan adalah termasuk penalaan halus kerja badan serta ergonomik, fork hadapan Ohlins, brek ISR, dan bermacam-macam lagi.
  • Arch Motocycles telah ditubuhkan oleh dua orang pengasas dan salah seorang daripadanya adalah seorang bintang ternama Hollywood, Keanu Reeves.

 

Jika anda telah membaca tajuk artikel dan ianya telah menarik minat anda dan telah membuatkan anda untuk menekan pautan ini, dengan sukacitanya kami mengesahkan kebenaran kenyataan itu. Arch Motorcycle adalah sebuah syarikat motosikal yang bertapak di Amerika Syarikat diasaskan oleh Keanu Reeves, yang juga dikenali sebagai “Neo” dari salah sebuah francais filem terhebat di dunia, “The Matrix”.

Generasi pertama motosikal Arch KRGT-1 telah dilancarkan pada tahun 2015 yang lalu dan ianya dianggap ramai sebagai salah sebuah motosikal paling premium yang pernah dihasilkan. Bagi tahun 2018, motosikal KRGT-1 ini telah dikemaskini dengan beberapa pengemaskinian yang terbaru bagi mempertingkatkan lagi rupa paras serta kebolehtunggangannya itu.

Arch Motocycle telah mempertingkatkan lagi motosikal KRGT-1 dengan olahan terkini motosikal cruiser buatan khas ini. Menurut mereka, model 2018 ini telah melalui beberapa penalaan halus pada ergonomik penunggangan serta pada bahagian kerja badannya.

Penjana kuasa utamanya masih lagi kekal sama iaitu enjin V-berkembar, sejukan udara 2,032cc yang menghasilkan kira-kira 121.5hp dan 121.7Nm tork maksima. Keseluruhan kuasanya itu dipacu ke roda belakang menggunakan kotak gear enam kelajuan transmisi Baker. Beberapa buah perubahan telah dibuat pada enjin bagi memastikan yang ianya patuh pada peraturan emisi Euro4 bagi tahun 2018.

Sepasang fork hadapan Ohlins siri FRGT kini mengendalikan bahagian hadapannya manakala bahagian belakangnya kekal sama dengan penyerap hentakan belakang yang dibina sendiri oleh Arch. Sistem brek bagi model 2018 ini telah dikemaskini dengan brek ISR dengan ABS sebagai pilihan tambahan.

Roda berjejari lima karbon fiber yang menggiurkan itu telah diperoleh daripada Blackstone Tek (BST Wheels) yang mana ianya dianggap ramai sebagai salah sebuah pengeluar roda motosikal karbon fiber terbaik dunia. Sebagai salah sebuah jenama motosikal yang paling premium yang berada di pasaran pada ketika ini, Arch Motorcycle juga telah menawarkan pelbagai pilihan pengkhususan serta kemaskini sekiranya anda ingin memiliki sebuah motosikal KRGT-1.

Motosikal ini akan mula dipasarkan di Amerika Syarikat dan Eropah bermula awal tahun hadapan, dan hanya mereka yang mampu mengeluarkan belanja yang besar dapat menempah motosikal ini di rantau yang lain dalam dunia. Terdapat sebuah KRGT-1 2016 untuk jualan di Malaysia ini yang telah dibawa masuk oleh World of Motion yang terletak di Puchong, Selangor. Kami tidak benar-benar pasti akan harga jualannya yang tepat tetapi sekiranya anda ingin memilikinya, sediakan sejumlah wang melebihi RM600,000!

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Arch KRGT-1 (generasi pertama), saksikanlah video eksklusif laman saudara kami, Bikes Republic, mengenai dua buah motosikal yang paling mahal di Malaysia.

 

Sumber: Arch Motorcycle

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.