Cal Crutchlow Menerjah Masuk Majlis Makan Malam Randy Mamola!

Pusingan MotoGP Malaysia yang telah berlangsung baru-baru ini merupakan satu tempoh yang cukup sibuk bagi kami di MotoMalaya. Ianya telah dipenuhi dengan pelbagai acara sama ada acara perhubungan awam, pelancaran, ‘meet & greet’, serta majlis makan malam eksklusif yang perlu kami hadiri. Satu tempoh yang cukup sibuk namun pada masa yang sama, amat menyeronokan kerana pada waktu inilah kami berpeluang untuk bersemuka dengan para wira serta idola masing-masing, dan ada masanya mendapat peluang untuk berjumpa dengan hero-hero pada suatu ketika dahulu.

Salah sebuah majlis makan malam eksklusif ini telah dianjurkan oleh Alpinestars, pengeluar kelengkapan kulit, sarung tangan, kasut but dan pelbagai kelengkapan penunggangan motosikal tercanggih yang telah direka bentuk secara klinikal bagi memastikan penunggang kekal selamat dalam sebarang situasi.

Majlis makan malam ini telah diadakan di Hotel Sama-Sama pada malam sebelum hari perlumbaan, dan dihadiri oleh wakil media yang telah dijemput, pengedar Alpinestars dari Malaysia serta serantau, dan juga kakitangan Alpinestars. Turut menghadiri majlis makan malam ini adalah legenda MotoGP, Randy Mamola, yang cukup terkenal dengan perwatakannya di dalam dan luar litar.

Penunggang kelahiran Amerika Syarikat itu masih lagi mempunyai personalitinya yang mengujakan; apabila dia berkata-kata, anda pasti akan terpaku mendengar setiap patah perkataannya, Dia hadir sebagai duta Alpinestars, jadi dia telah tampil ke hadapan bagi berkongsi pengalamannya di atas litar dan juga mengenai hal-hal yang lain.

Randy telah berucap sekitar 10 minit apabila dengan tiba-tiba pintu masuk tela terbuka dan muncul pula Cal Crutchlow. Penunggang berasal dari Britain yang juga dikenali dengan gaya perbualannya yang “no-holds-barred” kerana dia tidak akan berselindung dan akan mengatakan apa sahaja yang bermain di mindanya.

Menyaksikan mereka berdua berbual mengenai perlumbaan pada zaman sekarang, teknologi, serta mengenai Marc Marquez adalah satu penghormatan yang besar, yang sempat kami rakam dengan telefon kami.

Kami berharap anda terhibur dengan video ini, seperti mana terhiburnya kami sewaktu berada di dalam bilik yang sama dengan dua orang legenda ini. Kami tidak sempat merakamkan saat ketibaan Cal, namun kami dapat merakamkan perbualan mereka di bawah ini:

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]