Sesi Berkongsi Pengetahuan Mengenai Tayar Eksklusif Di Seminar Tayar Pirelli

Seminar Tayar Pirelli telah diadakan pada hari Sabtu (25 November 2017) di Passion Shop Malaysia yang terletak di Sentul, Malaysia.
Bengkel yang eksklusif serta percuma ini bertumpukan pengetahuan asas mengenai tayar, fungsi dan maklumat berguna lain untuk para pengedar serta penunggang.
Perkara-perkara asas seperti jenis tayar, perlengkapan, dan cara memperbaiki dengan betul dapat membantu para peserta dalam memperolehi pemahaman serta kemahiran yang praktikal.

 

Pengeluar tayar legenda, Pirelli, telah mengadakan sebuah seminar yang amat istimewa pada hari Sabtu (25 November 2017) bagi sekumpulan penggemar motosikal. Dianjurkan di Passion Shop Malaysia yang gah terletak di Sentul (bersebelahan dengan GIVI Point), dua kumpulan yang terdiri daripada para pengedar dan penunggang motosikal telah diberikan pengetahuan yang amat berguna mengenai tayar motosikal Pirelli.

Dikelolai oleh jurutera dan pakar tayar dari Pirelli Asia, Encik Koo dan Encik Justin, seminar ini bertumpukan kepada pengetahuan asas mengenai tayar motosikal, pembuatannya, fungsinya, dan bermacam-macam lagi. Kami amat bernasib baik dapat menyertai sesi sebelah petangnya yang berjalan selama hampir 3 jam.

Kedua-dua pakar Pirelli berkenaan amat berbesar hati untuk berkongsi pengetahuan mereka kepada semua yang hadir di seminar itu. Dengan cogan kata “Power is nothing without control“, Encik Koo telah menjelaskan bagaimana pengeluar tayar utama dari Itali berkenaan menghasilkan bukan sahaja tayar untuk motosikal, tetapi untuk kereta, trak, malah untuk basikal.

Bengkel yang diadakan itu bertumpukan kepada pengetahuan asas tayar, fungsi utama tayar, klasifikasi tayar, pembuatan tayar dan bermacam-macam lagi. Seminar sepanjang tiga jam itu menyaksikan interaksi yang hebat di antara para pakar Pirelli dengan pengguna serta pengedar.

Sekiranya anda kurang arif mengenai kehebatan tayar-tayar Pirelli ini, anda pasti akan berasa kagum apabila mengetahui yang mereka telah pun berkerjasama dengan Ducati di mana ke semua motosikal pengeluaran terbaru Ducati akan dilengkapi dengan tayar Pirelli sebagai tayar standard. Begitu juga dengan pengeluar-pengeluar yang lain di seluruh dunia termasuk yang terkini iaitu MV Agusta.

 

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kerjasama yang baru dimeterai antara Pirelli dan MV Agusta serta motosikal edisi terhad mereka, MV Agusta Brutale 800 RR 2018 edisi Pirelli, TEKAN SINI.

Sumber: WorldSBK

Pirelli berjaya mencapai semua itu dengan adanya teknologi pengeluaran tayar yang terkini di mana ianya juga turut diterapkan dalam penyertaan mereka yang telah membuahkan hasil yang amat memberangsangkan di dalam pelbagai jenis sukan permotoran sama ada Formula 1, WorldSBK, hinggalah ke kejohanan dalam negara kita, Malaysia Superbike Championship (MSC).

Mereka mempunyai beberapa buah kilang di seluruh dunia yang menghasilkan pelbagai jenis tayar untuk pasaran dunia tetapi hanya empat buah kilang sahaja yang telah dikhususkan bagi menghasilkan tayar motosikal iaitu di Jerman, Indonesia, China, dan Brazil. Kilang yang paling menakjubkan boleh didapati di Jerman di mana ke semua tayar berprestasi tinggi Pirelli telah diperbuat menggunakan robot tanpa sebarang interaksi manusia dari mula sehingga ianya siap.

Dengan motto hidup “We race what we sell, we sell what we race“, Pirelli memberi jaminan yang produk mereka adalah yang terbaik. Penyertaan mereka dalam sukan permotoran telah terbukti jayanya dan dengan pengalaman sebanyak 145 tahun, tahap dedikasi dan teknologi yang sama boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja yang inginkan yang terbaik.

Kami juga telah mendapat beberapa maklumat yang amat berguna seperti bagaimana tayar berfungsi dalam keadaan menunggang yang berbeza, apa yang menyebabkan tayar untuk pincang tugas yang mana boleh menyebabkan kerosakan tayar atau tayar mengembang, dan yang paling penting, bagaimana untuk memperbaiki tayar yang bocor menggunakan cara yang disyorkan oleh para professional.

Para peserta menganggap yang bengkel ini penuh bermaklumat kerana Pirelli telah menumpukan perhatian lebih kepada cara penyelenggaraan serta teknik yang betul dalam memperbaiki tayar dalam kes kebocoran yang tidak diingini, daripada hanya menghasilkan tayar bergred premium.

Berdasarkan apa yang telah dimaklumkan kepada kami, peralatan asas seperti kit pemalam kebocoran tayar atau lebih dikenali sebagai ‘cacing’ atau pun penampal bahagian dalaman tayar hanya sesuai untuk kecemasan atau kegunaan sementara; IANYA BUKAN PENYELESAIAN YANG KEKAL. Sebab utamanya adalah kerana ‘cacing’ ini boleh menyebabkan lebih banyak kerosakan daripada kebocoran yang asal sekiranya ianya dilakukan dengan silap manakala penampal bahagian dalaman tayar pula masih lagi terdedah kepada elemen daripada lubang yang sedia ada di tayar itu.

 

Ini pada akhirnya nanti akan membuatkan kerja penampalan tayar tidak berkesan selepas satu jangka masa pendek dan akan menyebabkan lebih banyak kerosakan pada bahagian dalaman tayar yang disebabkan oleh faktor luaran seperti hujan dan puing-puing yang boleh menyebabkan kerosakan pada dawai besi. Sejumlah besar kajian dan pembangunan telah dibelanjakan oleh Pirelli bagi memastikan yang produk mereka sentiasa berfungsi pada tahap yang optimum walaupun selepas dibaiki dengan betul untuk kerosakan kecil.

Berkenaan subjek memperbaiki tayar, kedua-dua pakar Pirelli itu telah memaklumkan kepada kami terdapatnya cara untuk memperbaiki tayar yang bocor dengan betul dan ianya adalah dengan menggunakan beberapa cara yang utama, termasuklah dengan penggunaan tampalan getah ala jarum yang kelihatan seperti cendawan atau pun payung. Kesedaran ini secara perlahan-lahan menjadi satu pengetahuan am pemilik motosikal dan bengkel kerana sudah pasti tiada sesiapa di antara kita ingin memperjudikan nyawa mengharapkan cara memperbaiki tayar yang mudah namun tidak berkesan.

NOTA: Kebocoran tayar hanya boleh diperbaiki dengan jayanya JIKA DAN HANYA JIKA kerosakan itu berlaku di bahagian tengah tayar, lebih tepat lagi dalam julat 25% pada setiap sisi bermula dari bahagian tengah. Lebih jauh daripada julat itu anda dinasihatkan untuk menukar tayar untuk sebab-sebab keselamatan.

Salah satu janji yang Pirelli tawarkan dengan megahnya adalah jaminan pengeluar selama lima tahun untuk ke semua tayar mereka. Berdasarkan perkiraan yang telah mereka lakukan, mereka telah memastikan yang setiap satu tayar mereka akan dapat berfungsi secara optimal sebaik sahaja dilengkapkan pada motosikal kesayangan anda. Jaminan ini diberikan dengan syarat sewaktu jangka masa dari pengeluaran hingga ke penghantaran kepada pengedar, cara penyimpanan yang betul telah dipraktikkan.

NOTA: Anda boleh mengetahui ‘umur’ atau bila tayar itu dikilangkan berdasarkan kod empat digit yang dibulatkan yang memberitahu minggu dan tahunnya. Sebagai contoh, sebuah tayar dengan kod empat digit 2417 bermakna yang tayar itu telah dihasilkan pada minggu ke-24 (sekitar bulan Jun) pada tahun 2017.

Dan sekiranya tayar Pirelli anda yang telah dipasang dengan betul dan dalam keadaan yang sempurna mengalami sebarang kerosakan atau pincang tugas, anda boleh failkan tuntutan anda dan mereka akan melakukan yang sebaik mungkin untuk menyediakan perkhidmatan selepas jualan yang terbaik kepada pengguna mereka.

Sumber: bikebandit.com

Anda juga boleh menyediakan diri anda bagi menghadapi sebarang kecemasan berkaitan permotoran melalui tip-tip berguna kami. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, TEKAN SINI.

 

Sebelum berakhirnya seminar itu, pelbagai soalan telah diutarakan kepada kedua-dua pakar Pirelli berkenaan dan mereka dengan senang hati telah menjawab setiap persoalan kami, yang terdiri daripada apakah maksud tanda-tanda yangg terpahat di dinding sisi tayar, saiz yang sesuai, mengenai tayar berprestasi tinggi Pirelli Diablo Supercorsa, jangka hayat tayar dan bermcam-macam lagi soalan.

Berdasarkan pengalaman peribadi kami menyertai Seminar Tayar Pirelli ini, kami berjaya mempelajari pelbagai perkara yang malangnya masih lagi tidak diketahui oleh sesetengah pengedar dan bengkel. Dengan memperlengkapkan penggunanya dengan pengetahuan tayar yang betul, daripada cari memilih tayar yang sesuai hinggalah ke penyelenggaraan dan kerja memperbaiki yang betul, Pirelli bersama dengan Passion Shop Malaysia telah melakukan perkara yang terpuji dalam menganjurkan seminar yang membuka mata secara percuma ini.

Akan ada lagi seminar yang akan datang anjuran Pirelli dan Passion Shop Malaysia. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, layarilah laman Facebook rasmi Passion Shop Malaysia. Dan ianya adalah PERCUMA!

Selain itu anda juga boleh ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada hari ini untuk pusingan kelima dan terakhir bagi kejohanan 2017 Pirelli Malaysia Superbike Championship dari jam 8 pagi hingga 7 malam. Tiket ke Grandstand Utama adalah percuma! atau anda juga boleh menontonnya secara langsung di bawah.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.